Tindakan menampar adalah sesuatu yang dianggap sebagai kekasaran melampau terhadap seseorang di mana ia boleh mencederakan dan malah menyebabkan komplikasi serius pada otak.

Namun berbeza di Rusia apabila ia dijadikan satu sukan di mana Kejohanan Menampar Lelaki pertama diadakan di Krasnoyarsk, Rusia. Ia dimasukkan ke dalam salah satu acara oleh Siberian Power Show (SPS) yang diadakan setiap tahun.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Seperti namanya, persaingan menampar ini dilangsungkan di mana para peserta akan menampar muka antara satu sama lain, atas nama kesukanan dan atletisme. 

Video yang tersebar dari persaingan menampar SPS menampilkan pemenang tahun ini, Vasily Kamotskiy dengan berat mencecah 168 kilogram, yang digelar sebagai mesin penampar.

Menurut seorang wartawan yang retweet klip pertandingan baru ini yang dikongsi oleh penyiar Rusia, NTV, kekuatan hebat Vasily dalam menampar dan bentuk badannya yang gempal memberikan nama gelaran "Pelmen" atau "Dumpling" kepadanya.

Peraturan pertandingan menampar ini kelihatan sangat mudah. Kedua-dua peserta akan berdiri bersemuka, dipisahkan hanya oleh meja kecil yang di antara mereka.

Para peserta, atau dikenali sebagai penampar, dibenarkan untuk mempersiapkan diri beberapa minit dengan menyapu telapak tangan mereka dengan serbuk putih dan memperkuat cara mereka berdiri agar dapat menahan tamparan lawan dengan lebih baik.

Apabila pertarungan bermula, para peserta bergilir-gilir menampar satu sama lain sehingga pengadil menamatkan pertandingan.

Para peserta tidak dibenarkan untuk mengelak daripada tamparan pihak lawan. Kelihatan seperti tiada sains yang tepat untuk bagaimana pengadil memutuskan bila pertarungan akan selesai kerana tidak ada mata terkumpul atau had masa untuk setiap pertarungan.

Dikatakan bahawa pertarungan biasanya berakhir apabila salah seorang peserta enggan meneruskan.

Pengadil juga nampaknya menggunakan penghakiman mereka yang lebih baik untuk menentukan sama ada ia dibenarkan dari segi keselamatan untuk seseorang peserta untuk menerima lebih banyak tamparan.

Menurut sumber, perjalanan Dumpling untuk menjuarai pertandingan ini yang termasuk hadiah tunai sebanyak RM1,920, mungkin adalah lebih mudah baginya berbanding para pesaingnya.

salah seorang daripada peserta pertandingan menampar

Semasa pertarungan terakhir pertandingan, lawan Vasily Kamotskiy menerima dua pukulan amarah yang kelihatannya hampir membuatkan dia jatuh ke tanah.

Sebagai perbandingan, wajah Vasily Kamotskiy kelihatan hampir tidak bergerak ketika dia ditampar.

Akhirnya, Vasily ditabalkan sebagai pemenang dan tidak jelas berapa banyak pesaing lain yang ditumpaskan oleh Vasily untuknya memenangi kejohanan ini.

Berdasarkan rakaman beberapa pertarungan Vasily, kelihatan seperti dia harus mengalahkan sekurang-kurangnya 4 peserta lain untuk sampai ke pusingan akhir.

Terdapat video penuh berdurasi 17 minit memaparkan pertandingan baru ini termasuk beberapa peserta serta reaksi penonton.

Laman web rasmi SPS menyifatkan acara ini sebagai perayaan sukan, kecantikan, dan gaya hidup yang sihat di Siberia.

Lebih daripada 2,000 atlet mengembara dari seluruh Rusia dan Eropah untuk mengambil bahagian dalam acara yang dilangsungkan selama 2 hari itu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)