Kredit foto: Instagram @therealfafau
Angkara seorang teman baik yang juga seorang penyanyi memuat naik kiriman kononnya Fara Fauzana sudah dilamar, bekas penyampai radio Hot FM itu dianggap ramai bakal menamatkan zaman bujang.
Ketika disuakan soalan mengenai dakwaan terbabit, Fara yang kini berusia 39 tahun pantas menafikan.
"Cinta saya sekarang pada Allah SWT, manakala cinta buat seorang lelaki belum ditemui dan masih mencari. Jadi, terkejut juga saya apabila ditanya mengenai dilamar ini. Ingatkan main-main dan sekadar bergurau saja," katanya yang mengesahkan statusnya masih solo.
Tambah Fara, dia tidak mengetahui mengenai dakwaan penyanyi tersebut yang dikatakan ditujukan kepadanya di laman sosial.
Kredit foto: Instagram @therealfafau
"Suka-suka saja dia kata saya sudah 'disunting'. Nak berguraulah tu, tapi tak mengapa kerana pada saya itu adalah doa. Masih ramai yang mendoakan untuk saya bertemu jodoh. Terima kasih di atas doa yang baik-baik itu," kata pemilik nama penuh Farah Fauzana Mohd Fadzil ini.
Biarpun lali dengan pertanyaan jodoh, Fara sentiasa terbuka dan positif dengan anggapan semua soalan diajukan sebagai doa daripada insan sekeliling.
"Saya berpegang pada 'kata-kata itu adalah doa'. Jadi, saya berasakan pertanyaan yang sama itu sebagai doa untuk saya bertemu jodoh. Saya yakin, sekiranya ada jodoh buat saya pasti masanya akan sampai juga. Terima kasih, terus doakan saya," katanya.
Sumber berita: Harian Metro