Oleh pada 15 Feb 2018 kategori

Kredit foto: beritakopak.org

Isu fesyen penyanyi Wany Hasrita di Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) Ahad lalu berterusan hingga menjadi buah mulut ramai.

Bukan sahaja dikatakan seperti botol air, malah segelintir menggelarkan ia tak ubah seperti fesyen 'kampung'.

Sehubungan itu, PRO syarikat FMC, Sam Samin yang merupakan syarikat rakaman tempat Wany bernanung, tampil memberikan penjelasan menerusi laman sosialnya.

“Bila baca komen-komen di media sosial tentang pakaian finalis #ajl32 , baru saya tersedar rupanya kat negara kita ni ramai betul manusia yang ambil bidang fesyen masa belajar dulu. Tak sangka ramai sungguh bijak pandai yang aktif melontarkan pendapat dan membandingkan pakaian si polan itu dan si polan ini dengan pelbagai objek dan benda.

“Sebenarnya tak salah untuk beri pandangan tetapi sebelum menyuarakan sesuatu sepatutnya kita fahami dulu tema #ajl32 iaitu fesyen dan muzik. Bukan mudah untuk mengilhamkan sesuatu design yang bertepatan, tambahan pula bila beberapa perkara perlu diberi perhatian terutama agar tidak terlalu menampakkan susuk tubuh,” luah Sam.

diejek teruk ini rupanya motif sebenar rekaan baju juara lagu wany hasrita 2

Kredit foto: Harian Metro

Sam menjelaskan tindakannya bersuara kerana berasa kasihan dengan nasib yang ditanggung Wany mahupun pereka fesyen berkenaan.

Apatah lagi sebagai individu yang terlibat di belakang tabir, dia memahami situasi yang dilalui kedua-duanya.

“Bagi saya pakaian Wany Hasrita kelmarin tiada cacat celanya. Tambahan pula bagi wanita yang menampilkan imej gadis muslimah dan menjaga batas berpakaian.

“Pereka yang membuat pakaian Wany untuk malam #ajl32 juga telah bersusah payah untuk mengilhamkan sesuatu pakaian yang sesuai dengan imej wanita bertudung agar tidak menampakkan susuk tubuh dan dalam masa yang sama berbeza dari yang biasa.

“Nanti, kalau artis pakai jubah polos, dikata artis tidak pandai berfesyen pula,” tulisnya lagi.

Ketika dihubungi Sinar Harian, Sam melahirkan rasa kesal dengan sikap sesetengah netizen yang hanya tahu mengecam tanpa mengetahui perihal sebenar.

“Sebenarnya saya pun malas nak layan komen netizen yang kebanyakannya merepek dan tidak rahu apa yang mereka katakan.

“Namun dalam hal ini saya kesal kerana mereka mengecam artis yang cuba untuk menjaga aurat dengan sebaiknya.

“Tindakan mereka ini mungkin akan membuatkan sesetengah artis bertudung takut untuk berfesyen selepas ini.

“Sepatutnya mereka memberikan sokongan dan komen yang positif untuk memberikan galakan, bukan dengan cara mengecam begini,” luahnya.

Tegasnya, apa yang telah direka Mirol Jonit itu bertepatan dengan apa yang dikehendaki Wany sendiri.

“Wany dari awal lagi sudah memberitahu untuk mengenakan fesyen yang mampu menjaga auratnya.

“Jadi kami sama-sama duduk berbincang dan memilih fesyen yang sesuai dengan imejnya, tetapi dalam masa yang turut memberi kelainan.

“Jadi nasihat saya kepada netizen, kalau kita tak faham tentang sesuatu, tak perlulah nak bagi komen atau cuba tunjuk pandai kerana ia akan menunjukkan kelemahan sendiri,” katanya.

Sumber berita: Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)