Kredit foto: Instagram Jihan Muse & Instagram Ungku Hariz

Aktor Ungku Hariz akui tidak menjangka status 'bapa' yang bakal dipegangnya beberapa bulan lagi.

Menceritakan semula detik cemas sewaktu isterinya, pelawak Jihan Muse memberitahu kehamilan, Hariz terpaksa berkejar ke tandas selepas namanya dilaungkan. 

"Saya sedang menonton televisyen ketika itu tiba-tiba Jihan menjerit dan meminta saya ke tandas. Ingatkan ada lipas atau cicak.

"Rupa-rupanya dia mahu tunjukkan saya keputusan ujian kehamilan di tepi sinki.

"Reaksi saya ketika itu terkesima sebenarnya. Kami tidak terkinja-kinja suka atau menangis terharu sebab saya ingatkan dia cuba prank saya.

"Rupa-rupanya kejutan itu lebih besar daripada lipas," katanya memetik laporan portal Astro Gempak.

Hariz membuat kenyataan tersebut di majlis sambutan hari lahir penyanyi Mark Adam yang berlangsung di De Laman, Bukit Jelutong, Selangor baru-baru ini.

Dalam pada itu, Hariz atau nama penuhnya Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli berkata, demi menjayakan peranan sebagai seorang bapa, dia mendapatkan nasihat orang terdekat termasuk keluarga dan kawan rapat yang berkeluarga sejak usia muda.

"Tak terfikir pun untuk menggalas tanggungjawab sebagai bapa tetapi sebenarnya seperkara yang saya belajar, kita tidak akan pernah bersedia selagi tidak melaluinya," beritahunya.

Sementara itu, aktor berusia 32 tahun itu memaklumkan mereka suami isteri tidak mempunyai sebarang alahan yang teruk sepanjang proses awal kehamilan.

"Syukur Alhamdulillah sepanjang tempoh awal kandungan Jihan semuanya dipermudahkan. Jihan tidak mengalami alahan teruk atau mengidam yang bukan-bukan," katanya lagi.

Difahamkan, kandungan Jihan kini sudah berusia lima bulan dan dijadualkan bersalin pada awal tahun hadapan.

Pasangan ini bernikah pada 20 Mac 2016.

Sumber berita: Astro Gempak 




Hakcipta iluminasi.com (2017)