Oleh pada 18 Jul 2022 kategori

Ramai di antara kita berkongsi nama yang hampir serupa. 

Mungkin ada di antara kita mempunyai nama yang unik serta jarang didengari atau kurang menjadi pilihan, tetapi bagi kebanyakan ibu bapa kita lebih gemar memilih nama yang selamat, ada unsur pegangan agama serta mudah disebut. 

Sekiranya ada individu naik menjadi tokoh masyarakat atau selebriti yang sama namanya dengan kita, situasi itu pasti membawa kepada usikan-usikan. Bagaimanapun ada juga situasi di mana nama individu terkenal bunyinya hampir mirip - sehingga kita jadi kekeliruan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima pasangan individu yang mempunyai bunyi nama hampir serupa yang kami harapkan anda tak tertukar antara satu sama lain.

1. Onn Jaafar - Jaafar Onn

jaafar onn onn jaafar nama keliru

Nama tokoh politik terkenal Allahyarham Dato' Onn bin Jaafar rasa tidak lagi perlu diperkenalkan kepada masyarakat Malaysia.

Beliau adalah salah seorang tokoh yang mengepalai kesedaran kebangkitan nasional sebelum era kemerdekaan, menjadi penentang paling ternama gerakan Malayan Union yang akhirnya membawa kepada penubuhan parti UMNO di Tanah Melayu.

Meninggal dunia pada tahun 1962, legasi beliau dalam politik diteruskan oleh anak beliau Hussein bin Onn, Perdana Menteri Malaysia ketiga dan cucu beliau, Hishamuddin bin Hussein - ketika artikel ini ditulis bertugas sebagai Menteri Pertahanan negara.

Sementara itu Jaafar Onn pula adalah seorang selebriti yang terkenal dengan bakat melawak, berlakon dan mengacara. Sering membawa pesona-pesona lelaki lembut dalam kariernya, Jaafar Onn memulakan kerjaya sebagai seorang pengacara rancangan masakan sekitar dekad 1970-an. 

Celotehnya yang semulajadi dan menghiburkan membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada beliau, membolehkan dia menjadi antara pelawak komedi yang sering menghiasi kaca TV. Kini sudah berusia 70 tahun, Jaafar Onn masih aktif berlakon dalam industri hiburan.

2. Mustapha Kamal - Mustafa Kamal

mustapha kamal mustafa kamal perumahan pelakon

Sekiranya anda mengikuti sektor pembangunan perumahan negara kita, nama Mustafa Kamal bin Hawari pasti pernah anda dengari.

Beliau adalah pengasas kepada syarikat perumahan MK Land Holdings yang banyak membangunkan kawasan-kawasan terkenal seperti Cyberjaya.

Beliau sebenarnya adalah seorang penolong pegawai daerah di Ulu Selangor. Mempunyai kelulusan dalam bidang sejarah, beliau menggunakan pengaruhnya untuk membantu masyarakat-masyarakat yang tinggal di kawasan terpencil.

Menyedari peluang lebih besar ada untuk membantu orang ramai mendapatkan kediaman pada harga berpatutan, Mustafa Kamal nekad berhenti kerja dan berkhidmat dengan sebuah syarikat pembinaan.

Mustapha Kamal bin Mohamad Daud pula adalah selebriti dan pelakon yang seringkali memainkan watak orang kaya dalam drama lakonannya, sehinggakan dia lebih terkenal dengan gelaran 'Papa Megah Holdings.' 

Pernah menjadi antara individu paling digilai wanita Malaysia berikutan ketampanan beliau serta tubuh sasa yang dimiliki, kini 'Papa' tampak selesa untuk terus memainkan watak-watak hartawan serta sering memberikan nasihat kepada orang ramai melalui media sosial. Kami tidak tahu siapa lebih kaya - Mustapha Kamal atau Mustafa Kamal? Anda rasa siapa?

3. Aman Shah - Aman Shah

aman shah scam penyanyi pop

Bagi mereka yang pernah merasai demam hiburan tanahair sekitar dekad 80-an dan 90-an, nama Aman Shah pasti tidak mampu anda lupakan.

Penyanyi dan pelakon kacak yang mempunyai raut wajah tampan keanak-anakan ini sering menghiasi dinding wanita (dan mungkin juga sesetengah lelaki). 

Satu lagu dendangan beliau yang kami yakin anda tahu, adalah lagu 'Kepulangan Yang Dinanti' - sebuah lagu klasik hari raya aidilfitri.

Ketika ini beliau sudah berusia 68 tahun, keadaan Aman Shah sudah semakin uzur dilaporkan telah mengalami serangan jantung pada tahun 2021. Beliau memilih untuk berhenti sementara dari dunia hiburan untuk berehat.

Sementara itu bagi seorang lagi insan bernama Aman Shah - beliau lebih terkenal sebagai individu yang bertanggungjawab mencuri 1 sen daripada akaun peribadi bank orang ramai, yang membolehkan beliau hidup mewah. 

Seorang yang cakna dengan teknologi maklumat sejak usia muda, gerakan Aman Shah yang berkelulusan perakaunan bermula selepas beliau dihantar untuk mempelajari sistem perbankan elektronik - mendedahkan beliau kepada sistem teknologi perbankan.

Mengetahui kelemahan-kelemahan dalam sistem yang ada, Aman menggunakan pengetahuannya untuk mencuri 1 sen dari mana-mana akaun yang dapat diakses, sehingga mampu memiliki pelbagai jenis kereta mewah walaupun hanya bergaji sekitar RM1,800.

Selepas menyertai satu temuramah media yang memaparkan koleksi kenderaan mewah beliau, majikan dan pihak berkuasa mula menyedari ada sesuatu yang aneh dengan kemampuan beliau.

Bermula dari detik itu, kegiatannya disiasat dan didedahkan menyebabkan beliau tertangkap. 

4. Tuanku Abdul Rahman - Tunku Abdul Rahman

tunku abdul rahman tuanku abdul rahman

Kami yakin masih ramai tidak mengetahui siapakah pemilik wajah yang terpapar dalam semua cetakan wang kertas Ringgit Malaysia.

Sekiranya kami katakan beliau adalah 'Tuanku Abdul Rahman', besar kemungkinan anda akan pelik kenapa wajahnya tak serupa dengan Bapa Kemerdekaan negara kita.

Tuanku Abdul Rahman ibni al-Marhum Tuanku Muhammad adalah Yang Di-Pertuan Agong pertama Tanah Melayu, sebelum penubuhan Malaysia lagi.

Memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebelum naik menjadi YDP Agong, Baginda mangkat pada 1 April 1960 ketika memegang jawatan tersebut. 

Tunku Abdul Rahman pula adalah Perdana Menteri Malaysia pertama, yang mengetuai urusan rundingan kemerdekaan. Aksi beliau mengisytiharkan laungan kemerdekaan tanggal 31 Ogos 1957 merupakan antara detik paling penting dalam sejarah tanah air kita.

Beliau memegang gelaran 'Tunku' kerana Tunku Abdul Rahman merupakan anak ketujuh kepada Sultan Kedah ke 26, Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Beliau menamatkan pengajian di Universiti Cambridge, pulang ke Tanah Melayu dan berkhidmat sebagai penjawat awam di sekitar Kedah sebelum menjadi antara tonggak penting kebangkitan politik orang Melayu di Kedah.

5. M. Daud Kilau - Mat Kilau

daud kilau mat kilau

Dalam banyak-banyak kekeliruan, kekeliruan inilah yang rasanya tidak sepatutnya berlaku.

Datuk Muhammad Daud bin Kilau seorang penyanyi yang cukup terkenal sebagai Raja Gelek Malaysia, berikutan tariannya yang menghiburkan.

Beliau memulakan karier sebagai anak seni selepas menyertai rancangan Bintang Radio yang membawa kepada peluang merakamkan album.

Kini nyanyian beliau kekal segar dalam pelbagai lagu-lagu rakyat yang didendangkan, menjadi legasi dan sumbangan beliau kepada masyarakat.

Malangnya Datuk Muhammad Daud sudah beberapa tahun berada dalam keadaan kurang sihat, memaksa beliau menghentikan aktiviti seni pada usia lebih 80-an.

Mat Kilau bin Imam Rasu pula adalah nama pahlawan Melayu yang bangkit melakukan pemberontakan terhadap penjajahan British di Pahang sekitar penghujung abad ke 19.

Berdepan taktik British yang semakin bahaya, Mat Kilau memilih untuk menyembunyikan diri berdekad-dekad lamanya selepas operasi memburu beliau dijalankan. 

Hanya pada bulan Disember 1969, Mat Kilau muncul kembali di Pahang sehingga menyebabkan seluruh negara tertanya-tanya kebenarannya. Beliau meninggal dunia beberapa bulan selepas itu dan dikebumikan di Kampung Kedondong, Jerantut. 

Legasi beliau memperjuangkan hak orang tempatan diabadikan dalam filem 'Mat Kilau' arahan Shamsul Yusof, juga bergelar filem dengan kutipan paling tinggi dalam sejarah tayangan filem di negara kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)