Oleh pada 10 Nov 2018 kategori

Apabila berbicara mengenai jenayah terancang di Amerika, kita mungkin akan terus terfikir tentang Mafia, bukan? Dan menyentuh tentang Mafia pula, sudah pasti kita akan membayangkan ia penuh dengan gengster berketurunan Itali-Amerika.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa gengster-gengster berketurunan Yahudi-Amerika juga memainkan peranan besar dalam sejarah jenayah terancang melalui individu terkenal seperti Meyer Lansky dan Bugsy Siegel.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Akan tetapi, hanya beberapa samseng Yahudi sahaja yang digeruni seperti Mickey Cohen. Dia dilahirkan sebagai Meyer Harris Cohen di Brooklyn, New York pada 4 September 1913. Seperti kebanyakan gengster Amerika lain, semasa kecil Cohen bermula sebagai pengedar surat khabar di bandar raya New York.

mickey cohen sebagai peninju

Semasa Cohen berusia 9 tahun, keluarganya telah berpindah ke Los Angeles. Seperti kanak-kanak miskin sezaman dengannya, Cohen juga tidak terkecuali daripada melakukan jenayah-jenayah kecil di sana. Dia sering terlibat dalam pelbagai masalah ketika berada di sekolah.

Tidak lama selepas itu, Cohen telah menemui minatnya dalam sukan tinju amatur dan mula bertarung dalam pertandingan tinju haram di lokasi bawah tanah di Los Angeles. Pada usia 15 tahun sahaja, Cohen telah berpindah ke Ohio untuk mengejar cita-citanya dalam kerjaya sebagai peninju profesional. Walaupun begitu, Cohen masih tidak dapat menghalang dirinya daripada melakukan aktiviti jenayah.

Pada masa itu, kebanyakan pertarungan telah "ditetapkan" dan keputusannya sudah diketahui sebelum perlawanan bermula lagi. Pada 30 April 1930, Cohen telah bertarung dalam perlawanan profesionalnya yang pertama menentang Patsy Farr di Cleveland dan memenanginya. Pada pertarungan yang seterusnya, Cohen telah kalah sebanyak lima kali berturut-turut.

mickey cohen semasa muda

Semasa Zaman Larangan, Cohen telah bekerja sebagai seorang penguat kuasa untuk kumpulan kongsi gelap di Chicago. Di situ, dia telah menemui satu kaedah baru untuk melampiaskan sifatnya yang cenderung untuk melakukan keganasan.

Setelah beberapa kali ditangkap kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan rakan kongsi kumpulan gengster, Cohen mula bertukar kepada menjalankan operasi pertaruhan haram di Chicago. Pada tahun 1933, Cohen telah melepaskan kerjaya tinjunya untuk menumpukan sepenuh masanya dalam aktiviti jenayah terancang. Menurut Boxrec.com, Cohen memiliki rekod 7 kemenangan, 11 kekalahan dan 1 seri.

Tidak lama selepas persaraannya, Cohen mendapat tawaran daripada seorang lagi gengster Yahudi-Amerika yang terkenal iaitu Bugsy Siegal untuk kembali ke Los Angeles dan bekerja di bawahnya. Sejak itu, Cohen berkhidmat sebagai orang kanan kepada Siegel dengan membunuh sesiapa sahaja yang mengganggu keuntungan mereka dan memainkan peranan penting dalam mengurus operasi perjudian Siegel.

mugshot mickey cohan alcatraz

Dengan gaya pesona semula jadi dan keupayaannya untuk bertindak ganas, Cohen mula beralih kepada industri perfileman dengan mengawal persatuan filem dan memeras ugut sebahagian keuntungan daripada penerbit filem.

Tidak lama selepas itu, Cohen berganding bahu pula dengan rakan-rakan Siegel iaitu Meyer Lansky dan Frank Castello untuk mengawal jenayah terancang di bahagian Pantai Barat. Cohen tanpa ragu-ragu akan membunuh sesiapa sahaja yang mengancam kawalan mereka di kawasan itu. Sejurus selepas itu, Cohen telah menjadi satu kuasa besar dalam dunia jenayah dan memiliki haknya sendiri.

Pada masa yang sama, Cohen juga membantu menguruskan hotel Siegel yang terkenal di Las Vegas iaitu Hotel Flamingo. Seperti apa yang mahir dilakukannya, Cohen memainkan peranan penting dalam menubuhkan pertaruhan sukan di Las Vegas. Akan tetapi, bantuan Cohen tidak cukup untuk menyelamatkan Hotel Flamingo daripada bencana.

mickey cohen diiringi pihak polis

Disebabkan penipuan dana yang dilakukan oleh Siegel, Hotel Flamingo telah kehilangan banyak wang. Pada tahun 1947, gengster lain yang banyak melabur di kasino dan hotel milik Siegel telah mengaturkan serangan pembunuhan terhadapnya dan Bugsy Siegel telah ditembak hingga mati.

Cohen yang berang ketika itu telah menyerbu sebuah hotel di mana dia menyangka pembunuh Siegel tinggal dan menembak senjatanya ke siling dengan menuntut agar pembunuh itu keluar dari hotel dan berjumpa dengannya di jalanan. Pada waktu itu pihak LAPD telah menubuhkan satu pasukan rahsia untuk memantau aktiviti gengster dan apabila polis dihubungi, Cohen segera melarikan diri.

Pengaruh Cohen sebagai tokoh utama dalam dunia jenayah semakin meningkat selepas kematian Bugsy Siegel. Namun begitu, sikapnya yang ganas itu mula mengancam dirinya sendiri. Bukan sahaja pihak polis memantau Cohen dengan lebih teliti, malah dia telah mempunyai ramai musuh yang sangat berbahaya dalam dunia jenayah terancang.

mickey cohen 2

Selepas rumahnya dibom, Cohen telah menjadikan rumahnya seperti sebuah kubu yang dilengkapi dengan lampu sorot, penggera dan pelbagai jenis senjata. Dia kemudiannya mencabar musuh-musuhnya agar datang mendapatkannya. Secara keseluruhannya, Cohen telah berjaya selamat dalam 11 percubaan bunuh di samping mendapat tekanan hebat daripada pihak polis.

Akhirnya, undang-undang yang berjaya mendapatkan Cohen. Pada tahun 1951, dia telah dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun bagi kesalahan mengelak daripada membayar cukai pendapatan. Sama seperti mafia terkenal iaitu Al Capone, walaupun terlibat dengan banyak pembunuhan, pihak polis tidak berjaya memperolehi bukti kukuh untuk mendakwanya walaupun terhadap satu pembunuhan sekalipun.

gangster squad

Selepas dibebaskan, Cohen telah menjalankan beberapa perniagaan yang berbeza. Namun, dia sekali lagi ditangkap dan didakwa atas kesalahan mengelak cukai pada tahun 1961 dan dihantar ke penjara Alcatraz yang terkenal. Setelah dikeluarkan daripada penjara "The Rock" itu, dia menghabiskan masa selama 12 tahun lagi di penjara persekutuan di Atlanta.

Cohen akhirnya dibebaskan pada tahun 1972 dan menghabiskan hidupnya membuat beberapa kemunculan di kaca televisyen. Dia meninggal dunia dalam tidur empat tahun kemudian akibat kanser perut.

Sehingga kini, banyak filem telah mengabadikan kisah sebenar legenda gengster terkenal ini seperti "Gangster Squad."

Rujukan:

1. The Mob Museum

2. Biography

3. Boxrec




Hakcipta iluminasi.com (2017)