Benjamin "Bugsy" Siegel dilahirkan pada 28 Februari 1906 di Williamsburg, Brooklyn. Ibu bapanya adalah pendatang Yahudi yang telah menetap di Bandaraya New York pada awal abad ke-20.

Mereka kemudian berpindah ke Lower East Side di Manhattan, kawasan yang mempunyai banyak kes jenayah. Tidak lama selepas itu, Siegel mendapati dirinya mula menyukai kehidupan jalanan di tempat barunya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sifat panas baran dan perubahan angin dramatik Siegel telah menyebabkan rakan-rakan mula menggelarnya "Gila seperti pepijat". Sejak itu, Siegel mendapat gelaran sebagai "Bugsy".

Murder Inc

lucky luciano 458

Charles "Lucky" Luciano

Semasa remaja, Bugsy berkawan dengan seorang lagi gangster Yahudi iaitu Meyer Lansky. Mereka berdua telah menubuhkan "The Bugs and Meyer Mob," sebuah kumpulan gangster Yahudi di Lower East Side yang khusus dalam aktiviti memeras ugut. Mereka kemudian bertukar menjadi sekumpulan pembunuh upahan dan dikenali pula sebagai "Murder Inc."

Semasa Tempoh Larangan, kumpulan-kumpulan jenayah di New York berkembang dengan pesatnya. Bugsy dan Lansky mula berganding bahu dengan salah seorang gangster yang semakin meningkat naik, Charles "Lucky" Luciano.

Selepas Luciano mengupah empat pembunuh daripada Murder Inc. untuk membunuh seterunya iaitu Salvatore Maranzano, dia menjadi gangster paling berkuasa di New York.

Luciano dan Lansky kemudian menubuhkan pula National Crime Syndicate, yang membahagikan kuasa antara geng berbeza bagi mengelak berlakunya lagi peperangan merebut kawasan.

Kehidupan menonjol Bugsy

bugsy dan peguamnya

Bugsy (tengah) dan peguamnya

Bugsy Siegel pula kelihatan seakan-akan seorang gangster stereotaip, sama seperti yang dipopularkan melalui filem dan televisyen pada tahun 1920-an. Bekas samseng jalanan ini kemudian mempunyai wang yang cukup untuk membeli sebuah pangsapuri mewah di Waldorf Astoria.

Dia menunjuk-nunjuk kekayaannya dengan memakai sut mahal dan berhibur di kelab malam yang paling terkenal di bandar itu. Walaupun mempunyai penampilan yang menyerlah dan menarik perhatian, Bugsy tidak takut untuk melakukan kerja-kerja jenayahnya sendiri.

Bugsy mengaku kepada salah seorang rakannya bahawa dia pernah membunuh sekurang-kurangnya sedozen orang. Dengan bangganya dia menambah lagi bahawa mereka (gangster) hanya bunuh-membunuh antara satu sama lain sahaja.

Oleh kerana terlalu ramai gangster lain yang dibunuh oleh Bugsy, dia juga sebenarnya mempunyai musuh yang ramai dan mereka menunggu masa yang sesuai untuk membalas dendam.

Ketika itu, Bugsy sudahpun dipantau dengan teliti oleh Pasukan Polis New York (NYPD) setelah dia melakukan pembunuhan ke atas tiga ketua samseng daripada kumpulan lawan.

Bugsy dihantar ke California

meyer lansky 907

Meyer Lansky

Tidak lama selepas itu, khabar angin sampai kepada Lansky bahawa Bugsy sudahpun menjadi sasaran seterusnya untuk dibunuh. Memandangkan National Crime Syndicate dalam perancangan untuk mengembangkan sayapnya di Barat, Lansky telah menghantar Bugsy ke California untuk menubuhkan dan menggabungkan operasi perjudian dalam skop mereka.

Bugsy menjadi begitu menonjol di California. Dia telah berpindah ke sebuah villa yang besar dan sering berpesta dengan bintang filem serta sosialit. Tidak lupa dengan tujuan mengapa dia dihantar ke California, Bugsy kemudian mendapat peluang menarik untuk mengembangkan operasinya.

El Rancho Vegas adalah resort pertama yang dibangunkan di Lebuh Raya 91, di tengah-tengah padang pasir Nevada. Kini ia dikenali di Las Vegas sebagai "The Strip," tempat tumpuan bagi penjudi dan pelancong dari seluruh dunia.

Bugsy nampak bagaimana El Rancho membuat keuntungan dan potensi pengaruh samseng di "Sin City" itu. Dia kemudian cuba meyakinkan sahabat lamanya Meyer Lansky, untuk melabur dalam rancangan perniagaan barunya itu. Bugsy ingin bertukar daripada gangster menjadi seorang mogul hartanah.

The Flamingo

the flamingo

The Flamingo, 1950-an

Dia kemudian telah mengambil alih The Flamingo, sebuah resort yang sedang dalam pembinaan tetapi pemiliknya kekurangan dana. Bugsy telah menjanjikan rakan-rakan gangsternya di Pantai Timur bahawa dia boleh menyiapkan resort itu dengan beberapa juta USD sahaja.

Mereka bersetuju untuk membiayai Bugsy. Akan tetapi, disebabkan urus tadbir yang salah dan sebahagian wang telah dicuri, Lansky dan rakan-rakan gangsternya kini kerugian hampir USD 6 juta.

Bos-bos gangster di New York tidak senang mengenai kenaikan kos itu. Namun, The Flamingo akhirnya dibuka pada tahun 1946. Pada mulanya para penjudi yang hadir ke kasino itu sering menang besar, berita baik bagi mereka tetapi tidak bagi kumpulan gangster yang membiayainya.

Bugsy tahu keadaan tidak menyebelahinya, tetapi tidak lama selepas itu nasibnya semakin berubah apabila resort dan kasino itu mula menjana keuntungan yang banyak. Malangnya bagi Bugsy Siegel, dia sedikit terlambat. Nasibnya sudahpun ditentukan oleh bekas rakan-rakan gangsternya pada pertemuan mereka di Havana, Cuba.

Kematian dan legenda Bugsy

bugsy siegel 2

Pada 20 Jun 1947, Bugsy sedang menghabiskan malamnya yang tenang sambil membaca surat khabar di ruang tamu rumah teman wanitanya di Virginia Hill, Beverly Hills. 

Kediaman itu kemudian digegarkan dengan sembilan tembakan daripada senapang Carbine melalui tingkap dan ada antara peluru itu yang terkena tepat pada muka Bugsy. Dia terbunuh dengan serta-merta. Salah satu daripada tembakan itu telah menyebabkan bola matanya hancur dan tersembur di ruang tamu.

Sehingga hari ini, tidak diketahui siapa yang melakukan pembunuhan Bugsy. Apa yang pasti ialah kematiannya berkaitan dengan kumpulan gangster, sama ada disebabkan oleh pelaburan yang gagal, kemungkinan dia mencuri wang daripada bos-bos lain atau mungkin disebabkan perebutan kuasa.

Hanya adik lelakinya yang muncul di pengebumian Bugsy Siegel. Satu filem bertajuk "Bugsy" yang diterbitkan pada 1991 menceritakan kisah hidupnya. Kematian Bugsy telah membantu menaikkan populariti The Flamingo di Las Vegas sebagai salah satu resort dan kasino paling mewah ketika itu.

the flamingo kini 488

Selain itu, resort itu juga telah mengukuhkan kedudukan gangster di Las Vegas dan masih bertahan sehingga hari ini. Tidak lama selepas itu, Las Vegas mula berkembang apabila banyak lagi kasino yang dibuka di kawasan itu dan menjadi salah satu tarikan pelancong dari dalam dan luar Amerika Syarikat.

Rujukan:

1. History

2. The Mob Museum

3. Crime Museum




Hakcipta iluminasi.com (2017)