Apabila Xyza Cruz Bacani memberitahu bahawa dia inginkan sebuah kamera, ibunya mengatakan kamera hanyalah untuk orang kaya sahaja. Ibunya, Georgia, bukanlah seorang yang kejam tetapi hanya berterus-terang kepada anaknya.

Ketika itu, ibu dan anak itu bekerja di Hong Kong sebagai pembantu rumah. Mereka menyimpan semua duit yang ada untuk dihantar pulang ke Filipina supaya adik-adik Xyza dapat melanjutkan pelajaran.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Majikan mereka, Kathryn Louey telah mendahulukan wangnya untuk membeli sebuah kamera SLR apabila melihat Xyza begitu meminati fotografi. Namun, mereka tidak mengetahui bahawa kamera itu akan mengubah segala-galanya.

Merantau di negeri orang

Pada tahun 1996, seorang ejen pemerdagangan manusia telah memujuk Georgia untuk meninggalkan suaminya dan tiga anak kecil di Filipina untuk bekerja sebagai pembantu rumah di luar negara

Georgia bersetuju kerana gaji yang ditawarkan mampu membawa keluarganya keluar dari kepompong kemiskinan. Georgia telah diseludup ke Singapura dan ditugaskan bekerja dengan seorang majikan yang suka mendera. Dalam tempoh dua tahun, Georga hanya dibenarkan keluar sebanyak tiga kali sahaja.

xyza louey dan georgia

Xyza, Puan Kathryn dan Georgia

Georgia kemudian melarikan diri ke Hong Kong di mana dia diambil bekerja oleh Kathryn Louey. Kathryn merupakan seorang majikan yang sangat baik dan sebagai balasannya, Georgia bekerja dengan rajin.

Sementara itu di Filipina, kehidupan Xyza terumbang ambing kerana ketiadaan Georgia. Sejak berusia lapan tahun, Xyza terpaksa menggalas tanggungjawab menjaga adik-adiknya sementara bapanya bekerja di tapak pembinaan yang jauh.

Dia mengemas, memasak dan membantu membesarkan adik-adiknya sambil cuba untuk menyiapkan kerja sekolahnya sendiri. Ia adalah satu kehidupan biasa bagi keluarga miskin di Filipina. Apabila mencapai umur 19 tahun, Xyza mengikuti jejak ibunya untuk bekerja di luar negara.

Takut dengan pengalamannya ketika di Singapura, Georgia tidak mahu Xyza bekerja dengan majikan yang tidak dikenali. Ketika itulah Kathryn menawarkan untuk mengambil Xyza bekerja di samping ibunya.

Melihat dari sudut berbeza

Pada mulanya, hubungan ibu dan anak itu agak renggang kerana terlalu lama berjauhan. Xyza selalu membenci apabila ibunya memberikan nasihat. Namun, keadaan itu semakin lama semakin baik.

karya xyza

Antara karya Xyza Cruz Bacani

Xyza melihat sendiri bagaimana ibunya menyimpan wang untuk dihantar pulang. Georgia pula mendengar semua kisah Xyza membesar tanpa seorang ibu di sisi. Hubungan mereka lebih akrab apabila Xyza memperolah kameranya.

Xyza akan keluar mengambil gambar di sekitar Hong Kong apabila mempunyai cuti. Dia menunjukkan gambar-gambar tempat menarik di Hong Kong kepada ibunya kerana Georgia jarang keluar berjalan demi menjimatkan wang. Menurut Xyza, ibunya dan Puan Louey adalah pengkritik pertama gambar-gambarnya. 

Atas dorongan mereka juga, Xyza mula memuat naik gambar-gambarnya di Facebook di mana ia menarik minat beberapa jurugambar profesional seperti Rick Rocamora. Rocamora kemudian telah menghantar karya Xyza kepada editor New York Times.

xyza pembantu rumah

Pada tahun 2014, karyanya diterbitkan oleh akhbar New York Times dalam ruangan fotografi. Ketika itu, Xyza masih lagi seorang pembantu rumah dan pengasuh. Hampir semua karyanya adalah fotografi hitam putih.

Peluang keemasan

Setahun selepas karyanya diterbitkan New York Times, Xyza dianugerahkan Human Rights Fellowship oleh agensi fotografi Magnum. Dia juga ditawarkan biasiswa untuk menyambung pengajian di New York University Tisch School of Art.

Namun, dia tidak memberitahu majikannya mengenai hal itu kerana tidak terfikir untuk menjadi jurugambar sepenuh masa atau berhenti kerja. Xyza juga khuatir tiada jimanan pekerjaan setelah tamat pengajian di sana.

Majikannya hanya mengetahui hal itu apabila terbaca akhbar ketika di pejabat dan segera bergegas pulang. Xyza merahsiakan perkara itu kerana tidak bercadang untuk pergi. Puan Louey memaksa Xyza untuk menerima tawaran itu. Sekiranya tidak berjaya mendapatkan pekerjaan, Puan Louey sedia menerima bekerja semula.

karya xyza 3

Antara karya Xyza Cruz Bacani

Walaupun sedih, Georgia dan Puan Louey rela melepaskan Xyza pergi. Mereka tahu ini adalah peluang keemasan untuk Xyza mengejar impiannya dan memiliki kehidupan yang lebih baik.

Jurugambar profesional yang berpengaruh

Xyza kini adalah seorang jurugambar profesional yang pakar dalam mendokumentasikan masalah penghijrahan, pekerja dan hak asasi manusia. Dia memotretkan pekerja asing di tempat perlindungan di Singapura yang lari dari majikan yang suka mendera dan menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Gambar-gambar yang menyentuh jiwa ini telah diterbitkan di seluruh dunia dan dipamerkan di sebuah galeri di New York. Setelah digesa ramai jurugambar profesional, Xyza akhirnya menerbitkan buku pertamanya berjudul "We Are Like Air".

we are like air 206

Buku itu memaparkan lapan orang pekerja asing tetapi paling banyak menonjolkan tentang kisah ibunya sendiri, Georgia. Xyza merasakan kisah ibunya dapat menjadi inspirasi kepada ramai orang.

Georgia juga berbangga apabila kisahnya yang diceritakan melalui karya anaknya mampu membuka mata dunia terhadap pekerja asing yang sering diabaikan.

Walaupun sering dipanggil untuk memberi ceramah dan bertemu ramai tokoh-tokoh terkenal dunia, Xyza akan tetap kembali ke Hong Kong apabila mempunyai kesempatan untuk bersama ibunya dan Puan Louey. Xyza mengatakan bahawa kedua-dua wanita itu adalah penyokong terhebatnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)