Jepun adalah sebuah negara yang unik, terutamanya daripada aspek gaya hidup atau budayanya yang sentiasa mementingkan kesempurnaan. Kehebatan orang Jepun yang sentiasa mengejar kecemerlangan dan kesempurnaan sememangnya sudah tertanam lama dalam budaya mereka.
Sebahagian daripada kita mungkin sudah tahu apa itu bonsai, sebuah konsep kesenian Jepun yang sudah berusia ribuan tahun dimana pokok kecil yang dipotong dan dijaga rapi agar rupa bentuknya menyerupai sebuah pokok besar. Namun, pernahkah anda dengar mengenai "Daisugi"?
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun konsepnya seakan-akan sama dengan bonsai, ianya mempunyai hasil dan tujuan yang bebeza.
Ancaman pembalakan terhadap biodiversiti bumi
Organisasi Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) baru-baru ini menganggarkan bahawa kira-kira 13 juta hektar hutan dunia hilang kerana penebangan hutan setiap tahun. Kehilangan bersih kawasan hutan tahunan antara tahun 2000 dan 2005 sahaja adalah 7.3 juta hektar (bersamaan dengan kerugian bersih 0.18 peratus hutan dunia).
Terdapat pelbagai sebab pembalakan berlaku antaranya pembukaan kawasan pertanian (seperti ladang kelapa sawit), pembukaan penembatan baharu dan sebagainya. Namun, sumber kayu itu sendiri juga merupakan sebab utama pembalakan kerana harganya yang begitu mahal.
Agak menyedihkan kerana pokok yang memerlukan puluhan atau ratusan tahun hanya memerlukan masa yang singkat untuk ditebang. Adakah alternatif atau solusi untuk teknik pembalakan masa kini?
Apa itu "Daisugi"?
Jika diterjemahkan secara literalnya, daisiugi bermaksud "platform pokok cedar". Ianya dipercayai sebagai teknik abad ke-14 atau ke-15 yang menawarkan pendekatan perhutanan yang cekap, lestari dan menakjubkan.
Kaedah ini berasal dari Kyoto dan melibatkan pemangkasan dahan cedar Kitayama sehingga pucuk dan kemudiannya bahagian yang tersisa ini mampu tumbuh kembali secara lurus menegak ke atas dari bahagian atas pokok ini umpama sebuah "platform"".
Dengan kaedah daisugi ini, penebang tidak perlu menebang keseluruhan pokok untuk mendapatkan kayu sebaliknya hanya menebang bahagian atas pokok, menjadikan struktur pangkal dan akarnya kekal utuh.
Teknik ini membolehkan pokok ini kekal tumbuh dan menghasilkan lagi sumber kayu balak selepas beberapa tahun. Oleh itu, satu pokok boleh menghasilkan sumber kayu-kayan secara berulang-ulang kali kerana walaupun sudah ditebang bahagian atasnya, pokok tersebut masih hidup dan boleh berterusan menghasilkan kayu.
Walaupun daisugi sebagian besar digunakan di kebun atau bonsai hari ini, teknik ini asalnya dikembangkan untuk mengatasi kekurangan permintaan untuk taruki, sejenis kayu lurus dan sangat panjang. Kerana bahagian atas pokok cedar Kitayama dapat ditebang setiap 20 tahun (yang lebih cepat daripada dengan kaedah lain) teknik ini semakin popular.
Asal-usul Daisyugi
Teknik ini awalnya diciptakan oleh masyarakat di wilayah Kitayama. Kaedah ini digunakan untuk menyelesaikan masalah kekurangan anak benih. Terdapat hanya sedikit kawasan tanah rata di wilayah ini dan penanaman pokok di lereng curam terbukti sangat sukar.
Akibatnya, teknik daisugi dicipta bagi memungkinkan para penanam pokok untuk mengurangi jumlah penanaman semula dan pada masa yang sama menghasilkan kayu yang lebih padat dalam masa yang singkat.
Dengan menggunakan kaedah ini, kayu yang dihasilkan adalah 140% lebih lebih fleksibel daripada kayu cedar biasa dan 200% lebih kuat dan tumpat. Dalam erti kata lain, kayu yang dihasilkan melalui teknik ini cukup kuat untuk kegunaan pembuatan bumbung rumah dan bentuknya yang lurus menjadikannya tahan serangan puting beliung.
Walau bagaimanapun, saban tahun populariti teknik menebang pokok seperti ini semakin menurun. Hari ini, pokok cedar jenis ini kebanyakannya tumbuh di kebun yang dijaga rapi kerana penampilannya yang langsing dan elegan.
Pada masa kini, sekiranya anda ke Kyoto, anda boleh melihat pokok-pokok yang ditebang menggunakan teknik ini masih lagi hidup dan sudah bersaiz gergasi. Pokok-pokok tua itu dahulunya pernah menjadi sumber kayu balak untuk 200 - 300 tahun sebelum "berhenti" menghasilkan kayu baru.
Kredit: