Oleh pada 11 Sep 2017 kategori

doktor cantik tapi masih nak google

Pernahkah anda rasa seperti tidak sedap badan dan mula melayari Internet atau laman web kesihatan kegemaran untuk memeriksa apakah simptom yang sedang dialami?

Kemudian, setelah dibaca artikel melalui carian Google, anda berasa lega kerana ia tidaklah seserius yang anda sangka. Anda pun membeli sendiri ubat di farmasi dan menunggu sahaja sehingga sakit itu beransur pergi.

cyberchondria jangan percaya doktor google 274

Hari berganti hari, sakit itu masih tidak hilang. Malah, ada simptom baru yang dialami. Anda layari semula Internet untuk mengesan apakah tanda yang anda terlepas pandang.

Carian menerusi Google pula memberikan hasil yang negatif. Mungkin ada tanda-tanda yang sama dengan penyakit kronik seperti kanser atau sakit jantung, maka anda mula berasa resah dan sangat takut sedangkan belum berjumpa doktor untuk mengesahkan apa-apa lagi.

cyberchondriacs

Ada pula situasi lain di mana ibu-ibu baru yang terlalu obses dengan setiap simptom kecil yang terjadi pada si kecil sehingga menjadi "pendiagnos tegar Internet". Kadang-kadang simptom yang tak wujud pun diada-adakan sehingga membuatkan mereka risau tidak tidur memikirkannya.

Itulah gejala hipokondria di mana seseorang terlalu bimbangkan kesihatan. Kini ia lebih mudah dengan adanya Internet sehingga wujud terma baru dipanggil cyberchondria. Semua maklumat ada di hujung jari.

cyberchondria doktor google

Lebih teruk lagi apabila individu cyberchondria ini pergi ke klinik atau hospital dan mahu berdebat serta mempersoalkan pula dengan doktor yang memberikan konsultasi. "Saya baca di Internet ditulis sekian-sekian," "Betul ke doktor? Kenapa dekat website xyz kata ini simptom lain?"

cyberchondria jangan percaya doktor google 2

"Penyakit" cyberchondria ini amat berbahaya apabila masyarakat lebih mempercayai penemuan di Internet atau maklumat yang ditularkan melalui media sosial berbanding nasihat pakar profesional. Tafsiran Dr. Google tidak semestinya betul kerana ada pelbagai penyakit yang mempunyai simptom seakan-akan sama.

Di Amerika sahaja, masyarakat di sana menghabiskan masa sehingga 52 jam setahun untuk mencari maklumat berkenaan kesihatan tetapi mereka hanya berjumpa doktor 3 kali sahaja yang secara keseluruhannya tidak sampai pun 45 minit? Ini adalah sesuatu yang amat membimbangkan.

self diagnosis merawat diri sendiri tanpa nasihat doktor cyberchondria

Ya, anda boleh mencari maklumat di Internet tapi anda masih perlu berjumpa dengan doktor untuk membuat pengesahan diagnosis atas sebab-sebab berikut:

1. Banyak penyakit membahayakan mempunyai simptom yang serupa.

2. Kesilapan diagnosis melalui carian Google boleh mengakibatkan nyawa anda dalam bahaya atau memerlukan rawatan yang lebih mahal.

3. Anda terdedah kepada laman web yang tidak boleh dipercayai dan tidak sahih sumbernya.

4. Sesetengah laman web memberikan diagnosis bertujuan untuk mengaut keuntungan dengan menjual produk kesihatan mereka yang berharga ratusan atau ribuan ringgit.

5. Dr. Google tidak boleh memberikan keputusan diagnosis yang tepat. Anda masih perlu melalui ujian makmal, imbasan X-ray atau CT untuk mengetahui penyakit sebenar anda, sekiranya perlu.

6. Ada laman web yang tidak dikemas kini dan mempunyai maklumat yang telah lapuk.

jangan percaya dr google tanpa berjumpa pakar

Para doktor menghabiskan masa bertahun-tahun mempelajari ilmu perubatan dan sentiasa mengemas kini ilmu mereka dari semasa ke semasa. Mereka lebih arif dalam mengesan penyakit yang anda sedang alami.

Jika anda telah membuat carian Google tentang simptom yang dialami, lebih afdal sekiranya anda berjumpa dengan doktor dan dengar sendiri apa yang disampaikan. Jika anda ada soalan, tanya habis-habisan di situ.

jangan percaya dr google

Ingat, jangan sesekali mempercayai bulat-bulat apa yang Dr. Google tulis!

1. WebMD

2. Psychology Today

3. Masters in Psychology Guide

4. Utusan Malaysia


tags : , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)