Tidak banyak pihak mengerti tentang sejarah sebenar penyakit berjangkit, iaitu wabak cacar atau 'smallpox' yang melanda manusia di seluruh dunia, sejak 10,000BC lamanya berasal dari kawasan timur laut benua Afrika.

Penemuan-penemuan terawal bukti cacar ditemui pada mumia-mumia dinasti Mesir yang meninggal dunia sekitar tahun 1570 ke 1085BC. Di China, penyakit cacar ernah dilaporkan berlaku sekitar tahun 1122BC, selain turut disebut dalam manuskrip-manuskrip lama yang ditemui di India.

Ini menunjukkan penyakit cacar telahpun menyebabkan kematian jutaan nyawa manusia, bukan satu bentuk jangkitan baru tetapi wujud beribu tahun lamanya.

Berikutan sejarahnya yang panjang serta kesannya pada masyarakat, pada zaman moden tentera British di bawah komander Sir Jeffrey Amherst sendiri pernah menggunakan wabak cacar untuk membunuh secara senyap komuniti orang asal Amerika iaitu orang Indian, yang melawan penjajahan British di kawasan mereka - dengan menggunakan hadiah selimut yang sudah dijangkiti kuman cacar.

Itu adalah peristiwa terawal dalam sejarah moden merekodkan serangan senjata biologi digunakan oleh satu pihak bagi menewaskan pihak lawan mereka.

Kaedah vaksinasi terawal

hospital rawat cacar kematian

Sekitar abad ke 18, di Eropah saja dianggarkan seramai 400,000 orang meninggal dunia setiap tahun disebabkan penyakit ini. Satu per tiga daripada mereka yang terselamat, akan mengalami masalah hilang penglihatan.

Cacar meninggalkan kesan yang sangat mendalam pada mereka yang menghidapinya. Parut-parut yang terhasil mencacatkan rupa paras individu, sehingga ramai digelarkan seperti seekor raksasa yang hodoh.

Sebelum dikenali dengan nama 'smallpox', cacar dikenali sebagai penyakit variola yang membawa makna 'meninggalkan kesan pada kulit' sebelum istilah itu digantikan dengan istilah 'small pockes', merujuk kepada gelembung air yang terhasil pada kulit pesakit.

Cubaan demi cubaan dalam mencegah penyakit ini sudah dimulakan beribu tahun lamanya. Sejak zaman dahulu lagi masyarakat dunia sudah menyedari mereka yang terselamat daripada serangan cacar, tidak lagi diserang penyakit tersebut; menyebabkan orang yang terselamat terpaksa bertugas menjaga mereka yang sedang diserang cacar.

Masyarakat zaman dahulu di Afrika, China dan India sehinggalah abad ke 18 sudah mencuba teknik yang dinamakan sebagai prosedur inokulasi. Inokulasi memerlukan kulit seseorang dilukakan bagi membolehkan lendir cacar yang diambil daripada pesakit, disapukan di bahagian kulit yang terbuka. Ini akan membuatkan individu yang dijangkitkan membentuk imunisasi terlebih dahulu dalam jangkitan yang lebih kecil.

Amalan inokulasi turut sama digelarkan sebagai 'variolisasi' menjadi sangat popular, namun proses ini terdedah dengan risiko besar. Oleh kerana tidak ada cara untuk mengukur tahap jangkitan, mereka tidak tahu apakah kesan yang akan timbul kepada pesakit yang dijangkitkan. Selain itu, penukaran wabak dari satu tubuh ke tubuh lain mampu menyebabkan jangkitan penyakit lain, dengan penyakit kelamin atau sifilis menjadi salah satu risiko paling besar prosedur inokulasi.

Walaupun dengan risiko yang tinggi, pada sekitar penghujung abad ke 18 proses inokulasi mula menampakkan hasil dengan kadar kematian melibatkan pesakit cacar berkurangan sehingga 10 kali ganda.

Edward Jenner pengasas 'vaksinasi'

edward jenner pengasas vaksinasi

Berikutan populariti prosedur inokulasi, pada tahun 1757 seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun bernama Edward Jenner menjadi antara ribuan kanak-kanak yang diinokulasikan. Selepas dijangkitkan dengan kuman tersebut, Edward diserang cacar dan demam seterusnya membantu membentuk ketahanan badannya, bagi melawan penyakit itu. Dia bernasib baik tidak dijangkiti cacar yang lebih teruk.

Menyedari kepentingan prosedur yang dikenakan kepadanya, Edward mula berminat untuk mengkaji bidang sains dan perubatan lebih mendalam. Pada usia 13 tahun semasa dia menjadi pembantu kepada doktor-doktor di Bristol, United Kingdom - Edward mendengar cerita seorang pemerah susu bagaimana dia sudah dijangkiti penyakit cacar lembu, membuatkan dirinya tidak lagi risau dijangkiti penyakit cacar.

Edward yang kehairanan dengan cerita itu bertanya pada pakar perubatan lain, membuktikan memang wujud ura-ura atau pendapat bahawa mereka yang terlibat dalam industri susu lembu dan terdedah kepada haiwan lembu jarang sekali dijangkiti penyakit cacar tetapi setakat itu sajalah - ura-ura. Belum pernah ada pihak benar-benar melakukan kajian ke atas dakwaan itu.

Kisah itu terus diingati Edward berpuluh tahun lamanya, sebelum Edward diberi peluang untuk mengkaji sendiri kisah yang didengarinya, pada tahun 1796. Berbekalkan akses kepada makmal perubatan dan ilmu yang mencukupi, Edward berjaya memujuk seorang pemerah susu bernama Sarah Nelms untuk dijadikan peserta ujikajinya. Sarah ketika itu baru dijangkiti cacar lembu pada bahagian tangan dan lengannya.

Dengan menggunakan teknik inokulasi, Edward menjangkitkan cacar lembu daripada tangan Sarah pada seorang budak lelaki berumur 8 tahun bernama James Phipps pada bulan Mei tahun 1796. Keesokannya, James didapati demam yang berlanjutan selama 9 hari. Bagaimanapun, pada hari ke 10 James didapati sihat serta tidak lagi sakit.

Bagi membuktikan andaiannya, pada bulan Julai tahun yang sama James sekali lagi dijemput oleh Edward untuk menjalani inokulasi tetapi kali ini dijangkitkan cacar yang diambil daripada tubuh seorang manusia lain.

Tidak ada jangkitan berlaku pada James membuatkan Edward merasakan teorinya mempunyai asas yang kukuh.

Mencipta vaksinasi berasaskan lembu yang berisiko rendah

sejarah vaksin lembu

Tahun berikutnya, selepas berpuas hati dengan penemuan beliau, Edward menghantar memo kepada kumpulan pakar perubatan bagi menjelaskan penemuannya - namun saranannya ditolak.

Atas sebab itu, pada tahun 1798 Edward mengambil keputusan menerbitkan sendiri sebuah buku risalah yang dinamakan sebagai 'An Inquiry into the Causes and Effects of the Variolae Vaccinae, a disease discovered in some of the western counties of England, particularly Gloucestershire and Known by the Name of Cow Pox.'

Di dalam risalah itu, Edward menamakan apa yang dia lakukan sebagai 'vaccination', diambil daripada perkataan 'vacca' dari bahasa Latin yang membawa makna lembu. Jadi 'vaccination' merupakan prosedur menjangkitkan seseorang individu dengan penyakit cacar yang berasal daripada lembu.

Dalam buku tersebut, Edward menerangkan pendapatnya bahawa seseorang yang telah dijangkiti cacar lembu akan membentuk secara semulajadi kekebalan atau imunisasi terhadap penyakit cacar tanpa risiko tinggi seperti inokulasi biasa. Bagaimanapun, pendapat dia tetap tidak mendapat sambutan malahan kritikan pula yang dihamburkan.

Bagi membuktikan penemuannya, Edward menghabiskan masa 3 bulan di London bagi mencari sukarelawan yang mahu divaksinkan. Malangnya, tiada yang mahu menjadi peserta kajiannya kerana lebih ramai meyakini proses inokulasi, yang dirasakan lebih baik.

Namun prosedur vaksinasi mula menjadi popular selepas beberapa orang doktor yang dibekalkan dengan dos vaksinasi oleh Edward, mula menyokong teori dan penemuan Edward.

Vaksinasi mula tersebar ke seluruh dunia

proses vaksinasi abad ke 19

Hasil daripada sokongan beberapa pakar ini, Edward mula mengedarkan lebih banyak dos vaksin dan mendapatkan maklum balas pengguna vaksinasi bagi menentukan keberkesanannya. Hasilnya, bermula tahun 1800 vaksinasi mula diterima ramai di England dan seterusnya, berjaya diperkenalkan di Eropah.

Dr. John Haygarth yang mengajar di University of Bath menerima beberapa dos vaksin daripada Edward, memberikannya kepada Benjamin Waterhouse, seorang profesor di Harvard University.

Benjamin kemudian menggunakan pengaruhnya memujuk Thomas Jefferson, tokoh pengasas kerajaan Amerika Syarikat dan juga presiden ke 3 Amerika Syarikat untuk menjalani vaksinasi. Penerimaan Jefferson membantu mewujudkan National Vaccine Institute di Amerika Syarikat bagi mengkaji dan menambah baik proses vaksinasi di negara tersebut, 

Atas kejayaan ini, nama Edward mula disebut-sebut sebagai pengasas kepada proses  vaksinasi yang berjaya mengawal penyebaran wabak cacar. Walaupun begitu, Edward tetap tidak dapat lari daripada cemuhan mereka yang berpegang kepada kebaikan inokulasi cara tradisional serta kaitan vaksinasi dengan lembu.

Namun Edward tetap bersabar, berusaha menambah baik pengedaran dos vaksin dan hasilnya pada tahun 1840 kerajaan Britain mengumumkan larangan proses inokulasi di negara tersebut - digantikan dengan vaksinasi; 17 tahun selepas dia meninggal dunia.

statu tugu memperingati penyakit cacar

Tugu memperingati bencana penyakit cacar 

Pada 11 September 1978, pesakit cacar terakhir yang meninggal dunia adalah wanita bernama Janet Parker, seorang jurufoto perubatan di Birmingham University Medical School di England. Tanggal tarikh 8 Mei 1980 dalam persidangan ke 33 World Health Assembly - pengisytiharan bahawa wabak cacar telah berjaya dihapuskan sepenuhnya dengan kaedah vaksinasi diumumkan.

Kebanyakan sampel virus cacar asal yang ada telah pun dimusnahkan, dengan hanya dua makmal di seluruh dunia terus menyimpan bekalan virus ini sekiranya diperlukan di masa depan.

Satu terletak di Atlanta, Georgia dan satu lagi di Koltsovo, Russia.

Rujukan

CDC




Hakcipta iluminasi.com (2017)