kesan ekonomi terhadap covid 19 virus 538

Perasan atau tidak, ekonomi dunia banyak dipengaruhi oleh banyak faktor atau stimuli antaranya peperangan, harga minyak, serangan wabak penyakit, faktor geopolitik dan sebagainya.

Serangan dan penularan COVID-19 yang telahpun disahkan sebagai sebuah pandemik oleh WHO juga dilihat telah mewujudkan ketidaktentuan pasaran saham seluruh dunia. Tidak perlu lihat terlalu jauh, jika dilihat di Malaysia, prestsi pasaran saham di Malaysia sahaja sudah menampakkan kesannya.

kesan virus corona covid 19 terhadap ekonomi global 109

Dalam sejarah, kita sudah menyaksikan banyak siri keruntuhan pasaran saham yang disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya Lehman Crisis (November 2008), Perang Dunia (Mei 1940), Dot Com Bubble (July 2002) dan sebagainya.

Graf diatas yang diaambil daripada laman CNBC menyaksikan COVID-19 mempunyai impak yang besar dalam ekonomi dunia. Perbandingan yang dibuat terhadap penguncupan ekonomi dalam tempoh 16 hari menyaksikan faktor COVID-19 berada di bawah faktor Perang Dunia Kedua dengan perbezaan hanya 3.9%.

Malah, sesetengah pihak membuat jangkaan bahawa kesan COVID-19 terhadap ekonomi semasa akan menyaksikan lebih ramai individu yang jatuh miskin atau kehilangan pekerjaan berbanding jumlah mangsa yang terkorban akibat penyakit ini.  

COVID-19 dan kesannya terhadap ekonomi

cable car langkawi

Penularan COVID-19 menyaksikan ramai pelancong seluruh dunia membatalkan tempahan penerbangan hotel. Di Langkawi sahaja, berjuta ringgit kerugian dicatatkan memandangkan pelancong mula membatalkan tempahan-tempahan tempat penginapan disebabkan keadaan semasa.

Malah, sesetengah syarikat yang terkesan teruk juga telah memaksa para pekerja untuk mengambil cuti tanpa gaji bagi memastikan syarikat tidak terus rugi dan mampu bertahan. Yang paling terkesan pastinya golongan pekerja B20 dan M40 yang hidup mereka umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Dalam hanya beberapa minggu sahaja, krisis kesihatan global yang melanda dunia ini bertukar menjadi krisis ekonomi global. Ketika artikel ini ditulis, lebih 100 ribu kes COVID-19 dicatatkan manakala lebih 4 ribu kes kematian direkodkan seluruh dunia.

Perkaitan antara tahap kesihatan global dan tahap ekonomi global sememangnya tidak boleh dielakkan. Bagi kebanyakan keluarga, kehilangan pendapatan yang disebabkan oleh wabak boleh diterjemahkan kepada peningkatan tahap kemiskinan.

pelancong china 358

Kebanyakan impak terhadap ekonomi disebabkan virus ini terjadi akibat tindaka orang ramai yang mula mengambil sikap berjaga-jaga untuk mengelakkan mereka dijangkiti penyakit ini. Tindakan ini dapat dilihat daripada salah satu perkara berikut:

  1. Kerajaan mengenakan larangan ke atas beberapa jenis aktiviti, seperti kerajaan China yang telah memerintahkan kilang-kilang ditutup atau kerajaan Itali menutup kebanyakan kedai di seluruh negara. 
  2. Firma dan institusi (termasuk sekolah swasta dan syarikat swasta) mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan jangkitan. Penutupan perniagaan, sama ada melalui larangan kerajaan atau keputusan perniagaan, mengakibatkan kehilangan gaji untuk pekerja dalam banyak kes terutamanya bagi pekerja yang dibayar mengikut bilangan hari bekerja.
  3. Ramai individu mengurangkan perjalanan ke pasar, pergi bercuti, keluar lepak dan aktiviti sosial yang lain.

Tindakan ini dijangka mempengaruhi semua sektor ekonomi - sektor kesihatan, pembuatan, runcit dan perkhidmatan, perdagangan dan pengangkutan, pendidikan, dan lain-lain. Keadaan ini seterusnya akan menyebabkan pengurangan pendapatan kedua-dua belah pihak pengeluar dan pembeli.

Daripada aspek pengeluar, pengurangan produksi akan menyebabkan harga barang meningkat. Daripada aspek pembeli pula, pengurangan permintaan daripada pembeli  akan memberikan kesan buruk kepada sesuatu perniagaan dan pekerjanya.

Jangkaan kesan COVID-19 terhadap ekonomi global

kilang china

Krisis COVID-19 ini menyaksikan beberapa pihak mula membuat hipotesis impaknya kepada ekonomi. Orlik dan Bloomberg membuat hipotesi akan berlakunya kehilangan $ 2.7 trilion dalam sektor pengeluaran sementara Bank Pembangunan Asia menjangkakan nilai kerugian yang dicatatkan antara  $77 bilion hingga $347 bilion.

Berikut adalah satu analisis menyeluruh mengenai kesan sebenar dan potensi krisis ekonomi setakat ini di negara berpendapatan rendah dan sederhana:

  1. Firma Baker-McKenzie mengkaji kesan yang merentasi sektor-sektor di negara-negara Afrika yang kebanyakannya memfokuskan kepada impak yang berpunca daripada kelembapan ekonomi China. Permintaan China yang berkurangan untuk bahan mentah mungkin mengurangkan pelaburan dalam industri tenaga, perlombongan dan sektor lain serta pengurangan dalam sektor perjalanan dan pelancongan.
  2. Organisasi "Enterprise Survey for Innovation and Entrepreneurship" di China menganggarkan "20 peratus firma yang ditinjau tidak dapat bertahan lebih dari satu bulan berdasarkan aliran tunai semasa dan 64 peratus tidak melebih 3 bulan". Ianya satu anggaran yang mengerikan untuk perusahaan kecil dan sederhana sekiranya keadaan ekonomi semasa tidak dipulihkan segera.
  3. Firma Strategy& menganggarkan potensi kehilangan atau kerugian R200 (Renminbi) juta aliran masuk wang pelancong China yang berbelanja di Afrika Selatan.
  4. Akhbar Financial Times menyatakan bahawa sebahagian besar syarikat penerbangan di Eropah mungkin akan bankrap sekiranya situasi semasa tidak terkawal sehingga Mei. Buat masa kini, syarikat-syarikat seperti AIr France, KLM, easyJet, Finnair, Air New Zealand dan Aeroflot telah mengurangkan kapasiti penerbangan untuk mengurangkan kos memandangkan sesetengah negara sudah menutup pergerakan keluar masuk negara.

ekonomi dunia 751

Seperti yang anda dapat lihat, kebanyakan data dan kesan yang diperhatikan di dunia sedang membangun setakat ini berpunca daripada penghapusan pengeluaran dan eksport dari China dan keadaan ekonomi yang semakin buruk di Eropah dan Amerika Syarikat.

Apabila ekonomi negara-negara lain turut terjejas akibat penularan COVID-19, kita akan dapat melihat kesan-kesan ini muncul dengan lebih jelas dalam data ekonomi dan kemungkinan berkembang daripada semasa ke semasa.

Kredit:

  1. DW
  2. CNBC
  3. Center for  Global Development
  4. Financial Times


Hakcipta iluminasi.com (2017)