Kerja merupakan salah satu ibadah yang mulia disisi agama. Semua agama menganjurkan penganutnya supaya bekerja untuk mencari nafkah hidup di samping memenuhi keperluan dan kehendak. Setiap pekerjaan yang meraih pendapatan halal adalah mulia. Entri kali ini akan akan mengupas tentang profession yang jarang dicanang oleh masyarakat, iaitu guru pra sekolah.
BESARKAN TEKS A- A+
Mungkin ada yang terlepas pandang mengenai profession ini. Mana tidaknya, kerjaya sebagai guru pra sekolah ini dianggap sebagai satu kerja yang remeh kerana cuma bertanggungjawab mendidik kanak-kanak dibawah umur 6 tahun. Silibus yang diajar pula terlalu asas dan tidak kritikal seperti seorang guru yang mengajar di tahun 6 misalnya. Ini kerana, mereka perlu mencapai peratusan lulus UPSR yang ditetapkan oleh pengurusan sekolah demi menjaga standard sekolah masing-masing. Tambahan pula, sekolah yang mereka bertugas merupakan sekolah premier atau projek khas. Perkara ini turut dilalui oleh guru-guru di sekolah menengah yang mengajar murid PT3, SPM dan STPM.
Namun, sedarkah anda bahawa proses yang dilalui oleh bakal murid yang masuk ke sekolah bermula di satu tempat yang paling rendah dalam hierarki institusi pembelajaran, iaitu pra sekolah. Terdapat pelbagai jenis pra sekolah yang dibuka di Malaysia untuk waris menghantar anak-anak mereka mempelajari ilmu asas akademik samada kerajaan ataupun milik swasta. Ada yang memanggil dengan nama pra sekolah, Taska, Pasti, Tadika, Kindergarden dan bermacam lagi nama. Namun ia ditubuhkan dengan satu tujuan yakni memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak sebelum melangkah ke alam persekolahan sebenar.
Hakikat yang perlu diketahui oleh masyarakat ialah tugas seorang guru pra sekolah bukanlah mudah seperti yang disangka. Ini kerana, seorang guru pra sekolah memerlukan kesabaran yang tinggi dalam menerapkan ilmu asas kepada kanak-kanak yang masih belum tahu apa-apa tentang akademik. Persiapan mental dan fizikal sangat diperlukan ketika menjalankan tugas. Pelbagai karenah anak-anak kecil yang perlu mereka tangani, sangat menguji kesabaran seorang guru pra sekolah.
Selain itu, guru pra sekolah biasanya seorang yang penyayang dan mesra kanak-kanak. Mereka tidak menganggap murid mereka sebagai seorang murid, tetapi menatang seperti anak atau adik kandung sendiri. Ini bertujuan menarik minak anak-anak untuk datang dan merasakan pusat pembelajaran pra sekolah itu seperti rumah mereka sendiri. Sehingga satu tahap ada guru yang membancuh susu botol, membasuh air besar dan memasak sendiri makanan untuk murid mereka. Alangkah mulianya hati seorang guru pra sekolah.
Tidak dinafikan ramai juga ibu bapa yang mula mendidik anak mereka sebelum dihantar ke pra sekolah lagi, namun bagi ibu bapa yang tidak berkesempatan, pra sekolahlah medium pertama untuk anak-anak mendapat pendedahan. Paling mengharukan, apabila anak mereka pulang sambil petah membaca doa makan,doa tidur dengan irama yang diajar. Mengenali huruf ABC, mengira 1,2,3 dan mengaji Alif Ba Ta sudah cukup membuatkan ibu bapa tersenyum gembira mengenangkan anak kecil mereka yang membesar dengan bijak.
Oleh itu, hargailah pengorbanan mereka sebagai soerang insan yang mula-mula memberikan pendidikan formal kepada kita dan anak-anak kita. Acapkali kita terbaca appreciation post di media sosial yang dipos oleh mereka yang bergraduasi, cuma menyebut nama pensyarah-pensyarah, guru sekolah menengah, guru sekolah rendah dan guru tuisyen. Jarang sekali ditujukan untuk guru pra sekolah. Adapun yang sudah lupa siapa guru yang membasuh air besar mereka ketika di pra sekolah dahulu.
Walaupun tidak pernah meminta untuk dicanangkan nama mereka, tetapi cara itu sudah cukup untuk membuatkan mereka gembira dan tahu anak kecil didikan mereka dahulu adalah seorang graduan yang berjaya hari ini. Menjelang Hari Guru yang bakal tiba, cuba hubungi mereka dan bertanya khabar. Sungguhpun mereka tidak lagi mengenali anda, tetapi cara itu cukup untuk membuatkan mereka rasa dihargai dan menitiskan air mata. Bagi sesiapa yang mempunyai isteri, ibu atau ahli keluarga yang bertugas sebagai seorang guru pra sekolah, anda sangat bertuah kerana mereka adalah insan yang paling sabar dan mulia. Ingatlah, memang bukan mereka yang mengajarkan anda tentang perubatan, undang-undang mahupun kejuruteraan, tetapi merekalah yang mengajar anda mengeja dan menyebut perkataan-perkataan tersebut.