Datuk Ismail Ahmad, 57, menolak dakwaan dia mempunyai masalah kesihatan hingga berat badannya turun mendadak.
Sebaliknya, cef selebriti ini menegaskan, dia menjaga berat badan atas kesedaran diri melalui kaedah tertentu.
“Semakin meningkat usia, kita perlu menjaga kesihatan. Sebelum ini berat saya mencecah 99 kilogram dan selepas setahun menjaga pemakanan serta menjalani gaya hidup sihat, berat saya sekarang 75 kilogram," katanya memetik laporan portal Harian Metro.
Sebelum ini, perubahan ketara bentuk badannya menimbulkan spekulasi hingga ada mendakwa dia menjalani pembedahan kosmetik seperti menyedut lemak.
Cef Ismail berkata, dia amat menitikberatkan soal pemakanan dalam proses diet yang dijalani.
“Saya mengira jumlah kalori makanan yang diambil setiap hari," jelasnya.
Menyentuh mengenai aktiviti kecergasan yang dilakukan, Ismail berkata, dia mengamalkan senaman Zumba dan melakukan aktiviti mengeluarkan peluh sebanyak tiga kali seminggu.
"Saya juga melakukan senaman. Antara kegemaran saya, melakukan Zumba di rumah selama dua jam.
“Saya bersenam tiga kali seminggu dan membakar sekurang-kurangnya 800 kalori,” ujarnya.
Selain itu, Ismail juga menjaga waktu rehatnya serta mementingkan kaedah diet secara semulajadi tanpa melibatkan pembedahan.
“Saya tidur sekurang-kurangnya lapan jam sehari. Rehat mencukupi sangat penting. Tak perlu pembedahan kosmetik dan menyedut lemak kerana diet seimbang secara semula jadi adalah yang terbaik,” katanya.
Sumber berita & Kredit foto: Harian Metro