Kredit foto: Instagram Chef Wan & The Star

Chef selebriti terkemuka, Datuk Redzuawan Ismail kecewa apabila kerajaan mengambil tindakan menutup pintu rezeki pendatang asing yang berkhidmat sebagai tukang masak di negara ini.

Menurut Redzuawan atau lebih dikenali sebagai Chef Wan, keputusan itu dilihat sebagai satu bentuk diskriminasi kepada chef luar sedang negara asing tidak sekalipun melaksanakan dasar sebegitu kerana terbuka menerima warga tempatan membina kerjaya di sana. 

"Makanan seperti cinta yang tiada batasan. Ramai chef dari Malaysia yang bekerja di pelbagai bandar di dunia dan melakukan perkara sama.

"Soalan saya kepada menteri, mengapa pendatang ke negara ini tidak boleh memasak masakan Malaysia hanya kerana mereka bukan orang tempatan?

"Kenapa perlu kita mendiskriminasikan mereka? Negara lain tak pula layan bangsa lain seperti penduduk kelas kedua," tulis Chef Wan di Instagram.

chef wan soal menteri isu pendatang tak boleh masak 2

Kredit foto: Instagram Chef Wan

Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran sebelum ini memaklumkan hanya tukang masak tempatan sahaja layak bekerja di premis restoran negara ini mulai 1 Julai.

Namun pengusaha akan diberi tempoh sehingga hujung tahun ini kerana peraturan baharu itu hanya akan dikuatkuasa bermula 1 Januari 2019.

Katanya, ia bagi mengelakkan kebergantungan terhadap pekerja asing selain untuk menjamin tahap kualiti makanan.

Dalam pada itu, Chef Wan berkata, warga Malaysia sepatutnya mencerminkan kelemahan diri terlebih dahulu sebelum menuding jari kepada pihak luar atas masalah kualiti makanan yang dihadapi. 

"Sikap chef Malaysia sebenarnya yang perlukan perubahan besar daripada kita menunding jari pada orang-orang asing ini... Adalah lebih baik kita lihat kelemahan sendiri.

"Jika ada chef yang tidak bagus kita didik mereka, tingkatkan kemahiran mereka.

"Jika ada sifat pengotor ajar la mereka dan sentiasa awasi restoran untuk memenuhi tahap kebersihan dan sebagainya," katanya lagi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)