Walaupun kita sebuah negara kecil, negara kita tidak ketandusan dengan individu-individu berusia muda, yang mempamerkan kebolehan berfikir luar biasa jauh melangkaui teman seusia mereka.

Di luar sana pun ramai individu kanak-kanak telah mula menampakkan ada kelebihan berfikir yang duduk di luar spektrum normal, membolehkan ada sesetengah individu yang sangat unik dikurniakan kemampuan belajar sejak bergelar bayi lagi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima individu bergelar graduan universiti pada usia teramat muda serta tahap pencapaian yang telah mereka capai, untuk dijadikan inspirasi bagi kita yang biasa-biasa saja.

Michael Kearney

michael kearney pelajar genius

Michael Kearney lahir pada tahun 1984 di Honolulu, Hawaii, terkenal sebagai individu termuda yang pernah menamatkan pengajian di universiti.

Perjalanan luar biasa beliau bermula sejak bayi lagi; bila dia mengucapkan perkataan pertamanya pada usia empat bulan dan mula membaca pada sepuluh bulan. Setelah didiagnosis ada sindrom ADHD, ibu bapanya memilih untuk mendidiknya di rumah, menyediakan persekitaran yang kondusif untuk mengembangkan kebolehan intelektualnya.

Pada usia enam tahun, Michael menamatkan sekolah menengah dan beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Antropologi dari University of South Alabama pada usia sepuluh tahun.

Pengajiannya tidak terhenti di situ. Beliau memperoleh pelbagai ijazah, termasuk Sarjana dalam Kimia pada usia 14 tahun dan Sarjana Sains Komputer pada usia 18 tahun. Pencapaian Michael tidak terhad hanya dalam bidang akademik; beliau juga memenangi lebih sejuta dolar sebagai peserta dalam rancangan bercorak kuiz.

Kini, Michael meneruskan hidup sama seperti orang kebanyakan, memilih untuk menetap di Nashville, Tennessee, Amerika Syarikat.

Laurent Simons

pelajar genius graduan universiti kanak kanak

Laurent Simons, anak pintar dari Belgium yang dilahirkan pada tahun 2009 telah menjadi perhatian ramai kerana kepintarannya yang luar biasa.

Dengan IQ diukur pada tahap 145, Laurent menamatkan sekolah rendah pada usia enam tahun dan sekolah menengah pada usia lapan tahun. Ketika berusia sembilan tahun, Laurent mendaftar di Eindhoven University of Technology dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik. Bagaimanapun, pengajiannya di situ tersangkut akibat pelbagai cabaran.

Ekoran kesukaran dengan jadual masa universiti tersebut, beliau memindahkan pengajiannya di tempat lain dan berjaya memperoleh ijazah sama. Laurent meneruskan pengajian, memperoleh Ijazah Sarjana dalam Fizik Kuantum dari University of Antwerp pada usia 12 tahun.

Kini beliau sedang melanjutkan pengajian peringkat PhD di Max Planck Institute di Jerman, dengan menjadikan gabungan kimia, perubatan dan fizik sebagai fokus penyelidikan.

Tanishq Abraham

tanishq abraham graduan muda

Dilahirkan pada tahun 2003, Tanishq Abraham dari Sacramento, California merupakan seorang lagi bakat muda luar biasa.

Ibu bapanya imigran dari Kerala, India, membina minat awalnya terhadap buku mengenai dinosaur dan angkasa lepas. Pada usia empat tahun, Tanishq sudah mula menjadikan buku teks peringkat kolej sebagai bahan bacaan dan pada usia tujuh tahun diiktiraf sebagai salah seorang ahli cendekiawan Mensa.

Tansihq menamatkan pengajian di American River College dengan Ijazah dalam bidang Sains pada usia 11 tahun,meneruskan pendidikan di University of California, memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Bioperubatan.

Pada usia 19 tahun, beliau menamatkan pengajian PhD dalam bidang yang sama, dengan fokus penyelidikan berteraskan aplikasi pembelajaran mendalam atau deep learning kaedah patologi digital.

Tanishq meneruskan kecenderungan dalam bidang perubatan, mengasaskan MedARC, sebuah organisasi penyelidikan perubatan yang menggunakan kepintaran buatan sebagai tulang belakang kaedah kerja.

Alia Sabur

individu termuda bergelar graduan

Alia Sabur dilahirkan pada tahun 1989 di New York City, menunjukkan tanda-tanda kecerdasan luar biasa sejak usia muda. Beliau membaca pada usia lapan bulan dan diterima masuk ke Stony Brook University pada usia sepuluh tahun.

Menempuh empat tahun pengajian, Alia menamatkan kursus dengan cemerlang dalam bidang Matematik Gunaan pada usia 14 tahun. Dia melanjutkan pengajian di Drexel University dan memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Sains dan Kejuruteraan Bahan.

Pada usia 18 tahun, beliau menjadi profesor termuda dalam sejarah, mengajar di Konkuk University, Korea Selatan.

Kerjaya Alia dikenali ramai kerana sumbangannya dalam penyelidikan sains bahan dan penglibatannya dalam pelbagai projek penyelidikan, termasuk penyelesaian inovatif untuk masalah dunia sebenar seperti insiden tumpahan minyak melibatkan pelantar Deepwater Horizon.

Erik Demaine

pelajar yang grad universiti masa muda

Erik Demaine dilahirkan pada tahun 1981 di Halifax, Nova Scotia beberapa dekad dahulu terkenal sebagai seorang saintis komputer Kanada-Amerika yang terkenal dengan kerjanya dalam origami pengiraan komputer (computational origami).

Dikenali sebagai anak genius, Erik dididik di rumah oleh bapanya seorang ahli matematik dan pengukir.

Beliau memasuki Dalhousie University pada usia 12 tahun dan menamatkan Ijazah Sarjana Muda pada usia 14 tahun sebelum melanjutkan pengajian diperingkat Doktor Falsafah di University of Waterloo, dengan fokus pada matematik lipatan kertas. Kertas penyelidikan yang beliau terbitkan hasil kajian di situ, telah memenangi pelbagai anugerah berprestij.

Pada usia 20 tahun, Erik menjadi profesor termuda di MIT. Karyanya yang menggabungkan aspek seni dan matematik telah dipamerkan dalam pelbagai acara dan juga ditayang dalam dokumentari, kerana menjadi antara penyelidikan yang mampu menghubungkan seni dan sains dalam satu bentuk jitu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)