Oleh pada 21 Aug 2017 kategori

Menurut Hays Asia Salary Guide, 56% daripada rakyat Malaysia meletakkan gaji dan faedah sebagai perkara utama yang dititikberatkan dalam pemilihan mencari kerja. Ini bermaksud 1 daripada 2 rakyat Malaysia iaitu separuh daripada populasi pekerja, menjadikan gaji sebagai penentu ke arah mana yang mereka akan ceburi.

Dengan tekanan ekonomi yang semakin buruk, statistik ini tidaklah mengejutkan kerana hampir semua merasakan perkara yang sama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dan bagi mereka yang baru sahaja menamatkan pelajaran di peringkat universiti dan ingin mencari kerja, pastinya anda tertanya-tanya berapakah gaji yang patut anda jangkakan, dan bidang apakah yang memberikan gaji tertinggi kepada graduan baru.

cari kerja

iluminasi.com ingin berkongsi 5 bidang pekerjaan yang menjanjikan gaji tertinggi bagi graduan baru di Malaysia.

Nota : Perbandingan ini adalah antara bidang yang mempunyai graduan baru teramai di Malaysia, mengikut kawasan di Malaysia berdasarkan Laporan Gaji Job Street 2017.

5. Seni / Media / Komunikasi 

seni media komunikasi 2

Gaji maksimum : RM3,255

Industri : Hartanah

Bidang ini bukan lah antara yang paling popular di Malaysia namun permintaannya semakin meningkat bagi eksekutif komunikasi terutamanya perhubungan awam, pereka grafik, komunikasi korporat dan juga penulis. Transformasi ekonomi digital juga telah menyebabkan permintaan menjadi tinggi.

Gaji maksimum yang ditawarkan dalam bidang ini adalah dalam industri hartanah dengan gaji sebanyak RM3,225. Namun, amat sukar untuk mendapatkan kerja di bahagian utara.

Terdapat perbezaan yang begitu ketara antara gaji maksimum dan gaji minimum. Gaji minimum yang ditawarkan adalah sebanyak RM1,300 dalam industri perhotelan dan hospitaliti.

4. Kejuruteraan

kejuruteraan 2

Gaji maksimum : RM3,754

Industri : Minyak dan Galian

Bidang ini adalah antara bidang yang paling popular di Malaysia, dan juga di seluruh dunia. Seperti yang dijangkakan, gaji maksimum yang ditawarkan dalam bidang kejuruteraan adalah industri petroleum iaitu RM3,754, walaupun industri minyak sedikit terumbang ambing sejak kebelakangan ini.

Namun, jurutera yang pernah bekerja dalam industri minyak dan galian memberitahu bahawa agak sukar untuk mendapatkan kerja ketika ini kerana pemulihan yang agak perlahan akibat kejatuhan harga minyak.

Industri pengkomputeran dan IT menawarkan gaji minimum bagi graduan kejuruteraan iaitu sebanyak RM1,644.

3. Teknologi Maklumat

it teknologi maklumat 2

Gaji maksimum : RM3,852

Industri : Telekomunikasi

Dalam dunia yang serba moden dan teknologi semakin pesat membangun, permintaan terhadap graduan IT sangatlah memberangsangkan. Untuk mengikuti perkembangan dunia teknologi sekarang, boleh dikatakan setiap syarikat di Malaysia mempunyai bahagian IT yang berfungsi sebagai tunjang di alam maya.

Walaupun pekerjaan dalam bidang ini agak kurang di bahagian utara dan selatan, namun banyak peluang di bahagian tengah iaitu Kuala Lumpur dan Selangor, malah dengan gaji maksimum yang tinggi iaitu RM3,852 dalam industri telekomunikasi. Industri seperti insurans dan perbankan juga menawarkan gaji yang lumayan kepada graduan IT.

Gaji minimum dalam bidang ini juga tidak mengecewakan iaitu dalam industri pembuatan sebanyak RM1,757.

2. Perkhidmatan pelanggan

perkhidmatan pelanggan 2

Gaji maksimum : RM4,000

Industri : Pusat panggilan

Bahagian khidmat pelanggan adalah antara yang terpenting dalam sesebuah syarikat dimana kepentingannya dalam menjana jualan, serta menjaga reputasi syarikat dan jenama. Industri seperti insurans, bank dan pusat panggilan menjanjikan gaji yang lumayan bagi mereka yang baru mahu menceburi karier dalam bidang ini.

Walaupun bidang ini berada di tangga ke dua senarai gaji tertinggi, namun gaji minimumnya adalah yang terendah di antara senarai ini dengan sebanyak RM1,167 iaitu dalam industri produk pengguna.

1. Jualan dan pemasaran

sales2 34

Gaji maksimum : RM4,600

Industri : Teknologi maklumat

Mengungguli carta gaji tertinggi di Malaysia bagi graduan baru di tahap kemasukan awal adalah bidang jualan dan pemasaran. Jualan dan pemasaran adalah antara bidang yang paling memberikan pulangan yang sangat tinggi kepada syarikat di seluruh dunia. Senarai ini tidak termasuk bonus, insentif dan juga komisyen.

Jika anda mahukan gaji asas yang tinggi, anda bolehlah mencuba dalam industri teknologi maklumat yang menawarkan gaji maksimum di Malaysia iaitu setinggi RM4,600. Gaji minimum dalam bidang jualan dan pemasaran adalah dalam industri produk pengguna iaitu sebanyak RM1,474.

Rujukan :

1. Hays

2. Jobstreet

3. Compare Hero




Hakcipta iluminasi.com (2017)