Dianggarkan lebih separuh daripada kesemua kursus yang ditawarkan pada peringkat universiti, bakal menjadi tidak relevan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Itulah hasil kajian yang dijalankan oleh firma penyelidikan Earnst and Young melibatkan lebih 3000 peserta kaji selidik pelajar dan individu yang terlibat dalam bidang pendidikan di Australia. Mereka mendapati bukan semua bidang akan berjaya melakukan transformasi untuk lebih seiring dengan permintaan masa hadapan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

graduan malaysia 323

Kesimpulan yang diperolehi daripada kajian tersebut menganggarkan lebih 40 peratus kursus yang ditawarkan oleh pihak universiti ketika ini, akan dianggap ketinggalan zaman serta tidak relevan. Ya, 40 peratus!

Jurusan yang bakal dianggap tidak relevan

graduan sains sosial ukm

Dalam kajian melibatkan pelajar atau bekas pelajar universiti di Australia, seramai 46 peratus merasakan kursus yang mereka ambil tidak lagi relevan ketika ini disebabkan peralihan teknologi serta impak yang dimainkan daripada pengenalan sistem digital.

Kursus yang diramalkan akan terus kekal relevan adalah kursus kejururawatan yang mendahului senarai dengan 87 peratus setuju apa yang mereka pelajari tidak memerlukan rombakan besar dalam era teknologi. 86 peratus pelajar perubatan merasakan ilmu mereka kekal relevan, diikuti oleh pendidikan (80 peratus), undang-undang (79 peratus), perniagaan dan pengurusan (67 peratus) dan psikologi (67 peratus).

Bagaimanapun beberapa bidang kursus yang masih ditawarkan ketika ini diletakkan dalam kategori bakal tidak relevan. Mendahului senarai ini adalah kursus kemanusiaan, budaya dan sains sosial yang hanya mendapat 36 peratus keyakinan pelajar, sains dan matematik 41 peratus, pembinaan dan artikek 48 peratus, seni kreatif 48 peratus, kejuruteraan 52 peratus dan komunikasi 59 peratus.

Ijazah tidak lagi dipandang tinggi?

artis graduasi

Daripada semua responden kajian, hanya 75 peratus merasakan pengambilan kursus ijazah adalah berbaloi dengan masa dan wang ringgit yang dibelanjakan. Apa yang menyedihkan, 40 peratus daripada mereka percaya sekiranya ijazah bukanlah satu keperluan untuk mereka mencari pekerjaan, besar kemungkinan mereka tidak akan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Hasil kajian ini selari dengan pandangan seorang profesor daripada George Mason University bernama Prof. Bryan Caplan, dalam tulisannya yang terkandung dalam buku 'The Case Against Education.' Pemikiran masyarakat dunia ketika ini tidak lagi meletakkan pemilikan ijazah sebagai sesuatu yang penting, kerana jumlah pemegang ijazah sudah terlalu ramai. Ini menyebabkan nilai pemegang ijazah itu sendiri sudah menurun.

Permintaan untuk jawatan pemegang ijazah juga diramalkan akan semakin berkurangan ekoran pihak majikan lebih banyak memerlukan kemahiran mereka yang berada satu peringkat di bawah tahap ijazah.

Prof. Caplan mengandaikan ijazah dan sistem pendidikan ketika ini sebenarnya hanyalah satu cara untuk melahirkan pekerja yang dimahukan pasaran kerja. Sistem pendidikan sekarang kata beliau, hanya mampu melatih 1/5 kemahiran sebenar seseorang individu dan selebihnya hanyalah satu bentuk isyarat pemudahcara bagi majikan melakukan pemilihan pekerja yang benar-benar layak. Apa yang dapat disimpulkan di sini, Prof. Caplan percaya kursus universiti dalam keadaan sedia ada tidak lagi mampu memenuhi keperluan, tanpa sebarang perubahan besar diperkenalkan.

Pelajar dah mula menyaman universiti

pelajar saman universiti

Kes-kes pelajar menyaman pihak universiti berikutan penawaran kursus-kursus yang tidak membantu pelajar semakin hari semakin kerap kedengaran di luar negara, khasnya.

Pada bulan Mac 2018, seorang pelajar wanita bernama Fiona Pok mengambil keputusan menyaman Universiti Anglia Ruskin (ARU) di United Kingdom sebanyak RM430 ribu berikutan dakwaan kursus yang ditawarkan langsung tidak membantu dalam kerjaya yang ingin beliau ceburi.

Fiona mengambil jurusan ijazah dalam bidang perancangan perniagaan antarabangsa, menamatkan pengajiannya pada tahun 2013 dengan ijazah kelas pertama. Bagaimanapun, beliau bertindak menyamakan ijazah yang diterimanya sama seperti 'ijazah MIckey Mouse' kerana merasa tertipu dengan taktik pemasaran yang digunakan ARU, yang didakwa langsung tidak sama dengan apa yang dilaluinya bertahun-tahun semasa belajar.

Satu lagi kes melibatkan seorang wanita bernama Sarah Doyle, yang menamatkan pengajiannya dalam bidang sains kaunseling dari University of Notre Dame di Sydney. Bidang itu dipilih berikutan impiannya mahu bekerja dalam sektor kebajikan, namun selepas tamat pengajian dia gagal mendapatkan walaupun satu peluang pekerjaan kerana ijazahnya tidak diiktiraf badan-badan sektor kebajikan, walaupun ditawarkan untuk pengambilan pelajar.

Atas sebab itu, Sarah terpaksa bekerja dalam bidang peruncitan sebagai jurujual bagi menampung hidupnya, sebelum berjaya melanjutkan pengajian dalam ijazah kedua jurusan Sains Psikologi di Univeriti of Wollongong.

Masalah sama turut berlaku di negara kita

graduan sertai karnival kerjaya masalah pengangguran

Di negara kita pula, dalam laporan yang dibentangkan pada tahun 2017 seramai 54,103 orang siswazah didapati gagal mendapat sebarang bentuk pekerjaan, dengan majoritinya pula datang daripada Universiti Awam (UA).

Kebanyakan kes siswazah menganggur pula berpunca daripada kurangnya keperluan pekerjaan yang memerlukan tahap pendidikan ijazah. Sudah banyak kes dilaporkan berlaku melibatkan pemegang ijazah terpaksa merahsiakan tahap sebenar pendidikan mereka, bagi membolehkan mereka mendapat sebarang jenis peluang pekerjaan untuk mendapatkan pendapatan.

Amat jelaslah, seandainya dalam tempoh 10 tahun akan datang universiti tetap tidak mampu berubah - akan wujud dua situasi pada ahli masyarakat. Yang pertama, orang ramai akan mula merasakan kursus di universiti tidak lagi relevan untuk diambil. Yang kedua, akan semakin ramai individu bertindak menyaman universiti kerana membazirkan wang dan masa mereka.

Dalam kedua-dua situasi, tidak ada sesiapa pun yang bakal untung.

Rujukan

Sydney Morning Herald

News.com.au




Hakcipta iluminasi.com (2017)