Oleh pada 26 Apr 2018 kategori

Semut kamikaze meletupkan dirinya sendiri atau nama saintifiknya Camponotus saundersi spesis semut yang dijumpai sekitar Malaysia and Brunei. Semut ini akan meletupkan dirinya untuk merembeskan cecair membunuh sebagai langkah terakhir pertahanan atau penyerangan. Semut ini memiliki rahang mulut (sepit) yang hampir 4 kali ganda lebih besar dari semut kebiasaan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Terma Kamikaze merujuk kepada tindakan tentera Jepun yang mengorbankan diri untuk bangsa dan negara terutamanya kepada era Perang Dunia ke-2. Terma semut kamikaze pula merujuk kepada semut yang meletupkan diri demi melindungi koloni mereka. 

Mengenali Sistem Kasta di Dalam Koloni Semut

Seperti manusia, semut juga hidup secara 'berkasta', yakni mempunyai status tersendiri. Koloni semut terdiri 3 kumpulan, iaitu ratu semut, semut jantan dan semut pekerja. Kesemua semut ini mempunyai peranan masing-masing dalam memastikan kesinambungan spesis mereka. 

Ratu Semut

ratu semut bersayap

Ratu semut adalah tumpuan sesebuah koloni serangga jenis ini. Segala kerja dilakukan adalah bagi memastikan proses bertelur berjalan dengan lancar. Ratu semut adalah ibu kepada semua semut pekerja, dan mereka akan melakukan apa sahaja untuk melindunginya. Melalui perspektif evolusi, tindakan ini bukanlah kerana kasih sayang, namun lebih kepada memastikan kelansungan penyebaran gen semut. Disebabkan semut pekerja tidak boleh bertelur, ratu semut menjadi semut terpenting dalam koloni mereka. 

Semut Jantan

semut jantan

Semut ini menetas di dalam sarang. Misi utama mereka bukanlah untuk menyumbang kepada koloni, sebaliknya untuk bersama dengan ratu semut sebanyak mungkin. Apabila datangnya hari yang dinantikan, semut jantan akan mati beberapa jam selepas melakukan aktiviti reproduksi bersama ratu semut. Sekiranya mereka bertuah, mereka akan hidup selama beberapa hari. Semut jantan tidak akan bersama dengan ratu semut daripada koloni yang sama, sebaliknya mereka akan mencari ratu semut daripada koloni lain. 

Semut Pekerja

semut pekerja

Semut pekerja adalah semut betina yang tidak bersayap, dan tidak boleh bertelur. Mereka bergantung kepada ratu semut bagi kelansungan spesis mereka. Semut pekerja akan mendedikasikan hidup mereka untuk menjaga ratu semut, telur-telurnya, larva dan pupa, menggali terowong dan ruang, serta memperbesar dan melindungi sarang. 

Maklumat Tentang Semut Kamikaze

semut kamikaze

Camponotus saundersi adalah sejenis spesis semut daripada keluarga semut Carpenter, dan ianya hanya boleh dijumpai di borneo Malaysia dan Brunei. Turut dikenali sebagai semut kamikaze atau Colobopsis explodens, semut ini berupaya bertindak secara agresif bagi mempertahankan diri daripada serangan musuh dengan meletupkan dirinya. Kebolehan ini turut boleh dilihat daripada beberapa spesis semut dari keluarga yang sama dan serangga-serangga lain. 

Secara fizikalnya, semut kamikaze mempunyai kelenjar mandibular (rahang) yang besar, beberapa kali ganda lebih besar berbanding saiz semut normal. Struktur fizikal ini bertujuan sebagai pertahanan dengan menghasilkan rembesan cecair beracun.

Sifat pertahanan serangga ini meliputi pemusnahan diri melalui autothysis, suatu terma yang digunakan oleh Maschwitz and Maschwitz. 2 buah kelenjar mandibular yang besar dipenuhi dengan racun mengalir ke seluruh badan semut ini.

Bagaimana Semut Kamikaze Meletupkan Dirinya

semut bersedia untuk meletup

Bukan semua semut yang meletupkan diri mereka. Semut yang melakukan tindakan kamikaze adalah semut pekerja. Apabila terdapat ancaman atau berlakunya pertarungan, semut ini akan menaikkan bahagian ekor mereka ke udara, bersedia untuk melakukan sesuatu. 

Semut ini kemudiannya akan bertindak balas dengan ganas, dengan menekan otot abdomen sehingga tekanan dalaman badan mereka menjadi terlalu kuat. Akibatnya daripada tekanan ini, kelenjar mandibular akan mula membesardan akhirnya meletup. 

Kesannya, racun yang melekit akan tersembur keluar melalui pelbagai arah daripada kawasan kepalanya. Gam beracun ini mempunyai sifat menghakis dan berfungsi sebagai perengsa kimia yang akan melumpuhkan pergerakan musuh-musuh berdekatan. 

Kandungan Rembesan Toksik Beracun 

kandungan rembesan toksik beracun semut

Melalui pemerhatian penyelidik, rembesan racun ini adalah berwarna putih cerah pada penghujung musim hujan. Pada musim kering dan awal permulaan musim hujan, warnanya adalah lebih kepada kuning pucat. Perbezaan ketara dari segi warna ini mewakili perubahan dari segi kandungan pH dalaman, yang disebabkan oleh perubahan diet yang bergantung kepada musim. 

Komposisi sebenar cecair tersebut masih dalam kajian, namun ianya diketahui mengandungi beberapa elemen anti bakteria, dan juga beberapa jenis toksin. Sekiranya musuh tertelan toksin beracun ini, ia akan mati serta merta. Sekiranya terkena pada badan musuh, mereka akan lumpuh sepenuhnya sehingga ia mati. Selalunya badan semut kamikaze yang sudah meletup akan melekat pada badan musuhnya. 

Siapa sangka semut pun boleh meletup secara semula jadi. Menarik bukan ciptaan Tuhan?

Rujukan & Bacaan Tambahan:

  1. cbc.ca
  2. nationalpost.com
  3. rt.com
  4. en.wikipedia.org
  5. antkeepers.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)