Oleh pada 05 Sep 2018 kategori

Ramai manusia sentiasa mencari memanjangkan usianya, sama ada melalui sains dan perubatan, aktiviti fizikal, penjagaan pemakanan ataupun bermacam cara lain.

Tempoh hayat manusia dengan purata 70 ke 75 tahun ketika ini, dianggap sebagai jangka hayat normal seorang manusia lahir sehinggalah menghembuskan nyawa yang terakhir. Bagaimana pula dengan makhluk lain pula?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima jenis makhluk di dunia ini, yang mempunyai usia paling panjang meneruskan hidup bersama-sama kita.

5. Rougheye Rockfish

rockfish makhluk umur paling lama

Seekor ikan dari spesis Rougheye Rockfish berjaya ditangkap di pesisiran pantai Alaska oleh seorang pemancing bernama Henry Liebman.

Oleh kerana saiznya yang terlalu besar berbanding biasa, Henry menghantar ikan tersebut kepada Alaska Department of Fish and Game bagi menentukan usianya.

Ikan tersebut dianggarkan berusia lebih 200 tahun berdasarkan kepada perkiraan saiznya yang mencecah lebih 1.04 meter.

Walaupun begitu, ikan yang ditangkap Henry itu disahkan hanya berumur 64 tahun.

Ini menyebabkan rekod ikan rockfish paling tua pernah ditemui masih lagi kekal dipegang oleh seekor ikan lain yang hanya berukuran 82 cm tetapi mempunyai usia 205 tahun.

Ikan Henry pada mulanya diramalkan berusia lebih tua berikutan saiz yang lebih besar, tetapi rupa-rupanya ikan yang ditangkap beliau sebenarnya masih lagi remaja berbanding seekor ikan 'rockfish' lain. (rujukan)

4. Paus Bowhead

bowhead whale makhluk paling lama hidup

Spesis mamalia yang mempunyai usia paling panjang dalam dunia, paus Bowhead tertua pernah ditemui berusia 211 tahun.

Merupakan haiwan mamalia kedua terbesar dunia selepas paus biru, usia sebenar paus Bowhead ini hanya diketahui selepas satu insiden melibatkan pemburuan ikan tersebut yang pernah berlaku satu masa dulu.

Akibat daripada mata panah yang tersangkut pada mata paus tersebut yang ditemui tidak dikeluarkan, penyelidik mendapati paus tersebut mengalami insiden tembakan lebih kurang 130 tahun lalu, berdasarkan reka bentuk panah itu.

Makhluk mamalia ini yang mampu membesar sehingga 18 meter dan seberat 100 tan, dianggarkan mempunyai purata umur melebihi 200 tahun setiap seekor. (rujukan)

3. Escarpia laminata

tubeworm makhluk paling panjang umur

Escarpia laminata adalah sejenis 'tubeworm' yang hidup di dasar Teluk Mexico pada kedalaman 1000 hingga 3300 meter.

Berdasarkan sampel-sampel yang telah berjaya dikaji, majoritinya mempunyai usia melebihi 250 tahun dengan beberapa sampel didapati telah pun hidup selama lebih 300 tahun.

Makhluk ini hidup dengan menyedut gas hidrogen sulfida, methane dan banyak lagi cecair hidrokarbon daripada permukaan laut. 

Sehingga kini tidak banyak lagi yang dapat diketahui berkenaan makhluk ini kerana kajian terhadapnya baru saja dimulakan dengan lebih meluas.

Namun apa yang dapat dipastikan, Escarpia laminata mampu hidup lebih lama berbanding 'tubeworm' lain di lautan. (rujukan)

2. Jerung Greenland

greenland sharks makhluk paling panjang usia

Seekor jerung yang dinamakan spesis Greenland diiktiraf sebagai makhluk bertulang belakang tertua di dunia pada tahun 2016.

Mempunyai proses tumbesaran yang sangat perlahan iaitu sekitar 1 cm setahun, jerung Greenland kerap ditemui di bahagian utara pesisiran pantai Ireland.

Dianggarkan setiap ekor jerung Greenland dewasa mempunyai jangkah hayat yang mampu mencecah 400 tahun, dengan panjang 16.5 kaki.

Dalam kajian yang telah dijalankan melalui 28 ekor jerung Greenland, purata umur kesemuanya adalah 390 tahun!

Pada penghujung tahun 2017, seekor jerung Greendland sepanjang 18 kaki ditemui menyebabkan ramai beranggapan usianya mampu menjangkau 512 tahun.

Namun sehingga kini, penyelidik belum dapat mengenalpasti usianya yang sebenar. Jadi kita letakkanlah jerung Greenland di tempat kedua. (rujukan)

1. Tiram laut Quahog

tiram berusia 507 tahun makhluk paling panjang usia

Melalui perkiraan yang lebih tepat, sebiji tiram Quahog yang dinamakan dengan nama Ming diiktiraf sebagai makhluk paling tua di dunia pernah ditemui.

Usianya dilaporkan mencecah 507 tahun semasa makhluk tersebut meninggal dunia.

Anggaran tersebut yang dilakukan menerusi perkiraan bulatan pada cangkerangnya, selepas berjaya ditemui di permukaan laut sekitar Iceland.

Walaupun begitu, atas kesilapan penyelidik ketika itu yang tidak menyangka apa yang mereka kutip masih hidup, penyelidik membekukan tiram itu menyebabkan kematiannya.

Berakhirlah riwayat Ming - makhluk paling tua dunia pernah ditemui.(rujukan)




Hakcipta iluminasi.com (2017)