Kredit foto: Instagram Rizalman Ibrahim
Pereka fesyen tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim menegaskan bukan mudah untuk dia menghasilkan persalinan yang digayakan aktres Izara Aishah di majlis pernikahannya baru-baru ini.
Malah dia mengambil masa beberapa bulan untuk mendapatkan idea dan sumber, dari seluruh pelosok dunia demi menyiapkan persalinan bertemakan future classic itu.
Ia sekaligus menjawab kecaman netizen berkenaan pakaian yang digayakan Izara dalam majlis nikah yang menjadi tumpuan sebelum ini.
Menerusi laman sosial, isu pakaian Izara hebat didebatkan, walaupun hakikatnya ia terlihat sopan serta tidak terdedah.
Antara yang diperkatakan ialah fesyen kerudung atau veil kerana dianggap pelik.
Malah ada yang sewenang-wenangnya menyamakan fesyen itu dengan 'roti tisu'.
Menurut portal Mstar Online, Rizalman tidak ambil pusing dengan kritikan orang ramai kerana lebih mengutamakan kepuasan pengantin yang memakainya.
Kredit foto: Instagram Rizalman Ibrahim
"Kerudung itu adalah ilham daripada songket keras yang digunakan zaman Diraja dahulu.
"Biasalah, apabila bercakap tentang fesyen, bukan semua orang akan suka dengan apa yang kita gayakan," katanya memetik portal berita itu.
Pada Jumaat lalu, Izara, 25, disatukan dengan anak tiri penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Muhammad Adib Khalid, 27, dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di Damansara.
Sumber berita: Mstar & Astro Gempak