Oleh pada 14 Apr 2018 kategori

Kredit foto: Instagram @biendalavienda

Selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga, penyanyi Bienda mendedahkan dia merahsiakan tarikh serta butiran pernikahannya kerana berkahwin secara 'nikah gantung'.

Pemilik nama penuh Nor Razlinda Razli ini bertindak mengunci mulut kerana takut spekulasi yang barangkali timbul daripada pelbagai pihak, memandangkan dia seorang selebriti yang dikenali umum.

Difahamkan, Bienda, 33, dan suami, Kamarul Zariman Abdul Rahman melangsungkan pernikahan pada 10 Oktober 2009, sebelum bersanding setahun selepas itu.

"Saya terpaksa merahsiakan perkara ini kerana tidak mahu menyusahkan keluarga. Jadi untuk majlis resepi saya guna duit simpanan sendiri. Sebab itu saya dahulukan apa yang wajib dan tak mahu membazir kerana keutamaan saya ketika itu adalah untuk membeli rumah.

"Kalau ketika itu saya beritahu kami 'nikah gantung' sebab nak simpan duit. Pasti perkara ini akan mengundang pelbagai persoalan memandangkan saya seorang selebriti," katanya memetik laporan Harian Metro.

Tambah anak kepada penyanyi dangdut Sheeda ini, majlis pernikahannya bukan berlangsung di Selatan Thailand seperti yang digosipkan, sebaliknya diadakan di masjid bersebelahan rumah ibunya di Gombak.

bukan nikah di thailand tapi selepas 8 tahun bienda dedah punca sebenar rahsiakan perkahwinan 2

Kredit foto: Instagram @biendalavienda

"Kelakar apabila ada pihak cakap saya terpaksa rahsiakan pernikahan sebab kahwin lari di Thailand. Sedangkan saya nikah di masjid sebelah rumah ibu di Gombak," katanya.

Penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagu Penantian ini, mengambil kesempatan untuk memohon maaf sekiranya ada pihak yang berkecil hati dengan keputusan yang dibuatnya.

"Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak yang selama ini tertanya-tanya bilakah tarikh pernikahan kami.

"Bagaimanapun selain keluarga terdekat, ada juga media yang rapat dengan saya tahu cerita sebenar. Mereka faham dan menghormati pendirian saya," katanya.

Beliau yang dilantik menjadi wajah koleksi Aidilfitri, membuat kenyataan itu sewaktu majlis pelancaran single dan video muzik Jaga Hati, yang berlangsung pada Khamis.

Sehingga kini Bienda dan suami memperoleh dua zuriat perempuan yang mana masing-masing mencecah umur enam dan empat tahun.




Hakcipta iluminasi.com (2017)