Kredit foto: Instagram Aliff Syukri
Datuk Seri Aliff Syukri diminta menyerahkan anak angkatnya untuk berada di bawah jagaan pembantu peribadinya buat sementara waktu.
Ia susulan kes pukul anak angkat yang dikaitkan dengan usahawan kosmetik itu sebelum ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, Aliff ditahan pada pukul 3.30 petang, Khamis lalu bagi membantu siasatan, sebelum dibebaskan pada hari sama atas jaminan polis.
"Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling Jaya sudah membuat penilaian dan menasihatkan mangsa diletakkan di bawah jagaan sementara pembantu peribadi Aliff.
"Sebelum ini, kami menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita warga Indonesia yang juga pembantu rumah kepada Aliff pada Sabtu lalu pada 3.45 petang.
"Hasil pemeriksaan awal dilakukan pihak hospital mendapati terdapat kesan lebam di bahagian belakang badan mangsa. Namun, pegawai perubatan tidak dapat mengesahkan bahawa kecederaan berkenaan adalah daripada perbuatan dera," katanya.
Tambahnya, percakapan pembantu rumah terbabit dan beberapa saksi yang terlibat sudah dirakam.
Kredit foto: Instagram Aliff Syukri
"Kami juga akan menyambung merakam percakapan beberapa saksi bagi melengkapkan siasatan itu mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
"Kertas siasatan kes berkenaan akan dikemukakan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan seterusnya," katanya.
Terdahulu, Aliff didakwa memukulnya anak angkatnya, Aminah Alip Shah di kediamannya di Petaling Jaya pada 28 Februari lalu.
Pembantu rumahnya bertindak membuat laporan polis sehari selepas kejadian, mendakwa suspek memukul dengan tangan pada muka kanak-kanak berkenaan semasa ingin merakamnya menangis untuk rakaman video YouTube.
Sebelum ini, salinan laporan polis yang memperlihatkan nama Aliff Syukri dan anak angkatnya iaitu Aminah Alip Shah tersebar di laman sosial sebelum mendapat reaksi netizen yang inginkan penjelasan.
Sumber berita: Aliff Syukri diminta serah anak angkat kepada pembantu peribadi buat sementara