bolehkah sebuah negara beli negara lain

Pada Ogos 2019, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menimbulkan kekacauan ketika beliau meminta bantuan untuk mencari kemungkinan untuk membeli Greenland dari Denmark.

Seperti yang dilaporkan oleh Fox News, Trump menjelaskan bahawa pada asasnya, ia merupakan perjanjian hartanah yang besar dan berkata ia akan memberi manfaat kepada Denmark, yang menyediakan ratusan juta dolar dalam bentuk subsidi setiap tahun kepada pulau itu".

"Jadi pulau tersebut dilihatkan sebagai beban dan kerugian kepada Denmark tetapi bagi Amerika Syarikat, ia sangat strategik," kata Donald Trump. 

Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen dengan cepat menolak sebarang perjanjian, dengan menyatakan bahawa Greenland, yang menjadi wilayah autonomi sendiri di Denmark pada tahun 1970 dan mempunyai parlimen, pemimpin dan bendera sendiri, adalah bukan milik Denmark untuk dijual.

"Greenland bukan milik orang Denmar, Greenland adalah Greendland dan saya harap ini (permintaan Trump) bukanlah sesuatu yang serius," kata Mette Frederiksen.

greenland 86

Ada yang berpendapat bahawa minat Trump untuk membeli Greenland bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Dari tahun 1800-an hingga awal 1900-an, A.S. sebenarnya mendapat banyak wilayahnya melalui pelbagai pembelian tanah, termasuk Pembelian Louisiana 1803 dan perjanjian tahun 1867 untuk membeli Alaska dari kerajaan Czarist Rusia.

Malah, A.S. dan Denmark telah mempunyai hubungan perniagaan sebelum ini, walaupun ia sudah lebih dari satu abad yang lalu.

Pada tahun 1917, A.S. membeli Kepulauan Virgin dari negara Skandinavia ini. Malah, pada tahun 1946, pentadbiran Presiden A.S. sebelum ini, Harry Truman secara diam-diam cuba mencari cara untuk membeli Greenland dari Denmark.

Namun, perjanjian yang dicadangkan oleh Trump adalah jauh berbeza daripada mana-mana yang berlaku sebelum ini kerana beliau menawarkan untuk membeli sebuah pulau yang mana kini merupakan sebuah negara berasingan dalam sebuah negara iaitu Denmark.

Jadi persoalannya adalah, bolehkah sesebuah negara itu membeli negara lain? 

Pernahkah hal ini berlaku?

raja leopold ii

Anehnya, terdapat sekurang-kurangnya satu contoh sejarah tentang hal ini yang berlaku pada abad ke-19.

Kembali pada tahun 1880-an, Raja Leopold II dari Belgium dan sindiket pelabur membuat perjanjian dengan beratus-ratus pemerintah tempatan, dan akhirnya menuntut kawalan terhadap hampir seluruh lembangan Sungai Congo.

Kumpulan itu membahagikan tanah itu dan mengisytiharkan ia menjadi sebuah negara merdeka baru, Negara Bebas Kongo, dengan Raja Leopold II sebagai yang pemimpin tertinggi.

Negara baru ini diiktiraf oleh kuasa penjajah Eropah yang lain di Persidangan Berlin Afrika Barat  1884-1885, menjadikannya seolaholah sah.

Raja Leopold II kemudiannya menjadi seorang pemerintah yang tamak dan kejam.

negara bebas kongo di bawah pemerintahan raja leopold ii

Antara salah satu daripada contohnya adalah ramai orang Kongo terpaksa bekerja sebagai buruh hamba di ladang getah, di mana pengawal bersenjatakan cambuk menjadi penyelia pekerja. 

Akhirnya, berlaku bantahan antarabangsa terhadap kekejaman Raja Leopold II yang menyebabkan penduduk negara itu menurun lebih daripada separuh.

Bantahan tersebut menjadi terlalu dahsyat sehinggakan Raja Leopold II terpaksa melepaskan negaranya sendiri.

Raja kejam ini memindahkan kawalan kepada kerajaan parlimen Belgium pada tahun 1908, sebagai pertukaran untuk pembayaran peribadi sebanyak 50 juta franc Belgia, ditambah sumbangan 40 juta franc kepada yayasan raja.

Nilai tersebut bersamaan dengan sekitar RM263 juta pada hari ini. Nilai tersebut mungkin kelihatan tidak banyak sebagai pertukaran dengan sebuah negara, tetapi ingat bahawa Raja Leopold II telah mengaut kekayaan yang ada di negara tersebut sebelum itu.

Undang-undang antarabangsa pada hari ini

beli negara

Namun pada hari ini, membeli sebuah negara adalah sesuatu yang rumit, seperti pembelian tanah utama yang serupa dengan wilayah Louisiana atau Alaska.

Profesor Joseph Blocher dari Duke Law School berkata bahawa perkara seperti ini adalah sesuatu yang biasa satu ketika dahulu dan peraturan tradisional undang-undang antarabangsa menjadikannya mudah di mana negara-negara yang terlibat hanya perlu bersetuju dengan harga yang ditawarkan.

Namun, landskap undang-undang telah berubah pada abad yang lalu, jadi peraturan lama tidak lagi terpakai dengan cara yang sama.

Dan yang paling penting adalah kebangkitan prinsip penentuan nasib sendiri bermakna bahawa, untuk menjadi sah, apa-apa penjualan wilayah yang berpenduduk harus berdasarkan kelulusan orang-orang yang tinggal di wilayah tersebut.

Jadi, jika Denmark sebenarnya memiliki Greenland, tetapi rakyat Greenland mempunyai hak untuk sama ada menolak atau menerima tawaran tersebut.

trump nak beli greenland

Selain itu, seorang pensyarah dalam hubungan antarabangsa di Universiti Keele U.K. di Newcastle iaitu Rebecca Richards berkata bahawa selain undang-undang antarabangsa dan undang-undang domestik, sukar untuk melihat bagaimana penjualan wilayah dilihat sebagai tingkah laku yang dapat diterima dalam sistem antarabangsa hari ini.

Ini terutamanya apabila wilayah yang berkenaan adalah wilayah yang bergantung kepada autonomi.

"Hal ini sangat serupa dengan amalan penjajah dan sangat sukar untuk membayangkan perkara seperti ini untuk diterima, terutamanya memandangkan negeri-negeri akan terlibat dalam hal ini," kata Rebecca Richards.

Selain itu, membeli dan menjual negara bukanlah sesuatu yang baik dari segi ekonomi dan terdapat banyak lagi cara yang efisyen untuk mendapatkan apa yang kita mahu. 

Menurut Robert Deitz, bekas kaunselor kanan kepada pengarah Agensi Perisikan Pusat A.S., adalah lebih ringkas dan murah untuk menyewa tanah untuk tapak ketenteraan atau mencapai kata sepakat untuk mengesktrak kekayaan mineral.

Robert menyatakan bahawa beliau tidak tahu apa yang Trump mahukan dari Greendland untuk A.S yang tidak dapat diperoleh tanpa pemindahan hak milik atau kedaulatan.

Dan Perdana Menteri Denmark Mette Frederiksen setuju dengan pendapat ini dan berkata bahawa nasib baik zaman di mana sesebuah negara dan penduduknya boleh dibeli telah tamat.

Rujukan:

1. Fox News

2. Naalakkersuisut

3. History

4. Britannica



Hakcipta iluminasi.com (2017)