Gambar Juita dari drama Nur 2 sekadar hiasan

Salah satu kontroversi yang timbul sekitar bulan April tahun 2019 melibatkan drama bersiri popular 'Nur 2.'

Dalam drama tersebut, salah seorang watak lelaki pada penghujung kisahnya terpaksa membuat laporan polis mendakwa dirinya telah dirogol seorang wanita. Siasatan yang dijalankan mendapati wujud bukti kes rogol itu berlaku, menyebabkan wanita perogol itu ditahan dan dikenakan hukuman undang-undang.

Kenapa adegan ini menimbulkan kontroversi?

Secara teknikalnya, walaupun memang boleh berlaku kes wanita merogol lelaki, undang-undang kita tidak mengiktiraf kes tersebut. Mahkamah tidak boleh menganggapnya sebagai satu kes rogol. Anda tak percaya?

Undang-undang peninggalan British yang lapuk

Takrifan 'perbuatan rogol' di negara kita sehingga kini belum berubah sejak dulu. Kita masih lagi mengekalkan takrifan yang diguna pakai sejak dulu dan takrifan kita turut sama dikongsi dengan adik tiri kita, Singapura. Kedua-dua negara mempunyai undang-undang jenayah rogol yang terlalu longgar.

lelaki sedih

Apa itu 'rogol' dari segi undang-undang? Mari kita lihat kanun pertama undang-undang yang wujud dalam mendefinisikan perbuatan rogol. Dalam draf undang-undang kebanyakan negara sejak memperkenalkan jenayah rogol, rogol ditakrifkan sebagai;

“The carnal knowledge of a female forcibly and against her will."

Ini bermakna sejak mula lagi kejadian rogol dari segi undang-undang hanya mengambil kira wanita sahaja berpotensi sebagai mangsa. Dalam undang-undang kita pula, rogol didefinisikan sebagai satu jenayah di bawah akta 574 seksyen 375 (rogol) yang menyebut;

Seseorang lelaki adalah dikatakan melakukan “rogol” jika ia, kecuali dalam hal yang dikecualikan kemudian daripada ini, bersetubuh dengan seseorang perempuan dalam keadaan seperti berikut :

a) bertentangan dengan kemahuan perempuan itu;

b) dengan tiada kerelaan perempuan itu;

c) dengan kerelaan perempuan itu manakala kerelaannya telah didapati dengan mendatangkan kepadanya atau mana-mana orang lain ketakutan mati atau cedera, atau telah didapati melalui salah tanggapan fakta dan lelaki itu tahu atau ada sebab untuk mempercayai bahawa kerelaan itu telah diberi akibat dari salah tanggapan tersebut;

Panjang lagi sebenarnya kalau nak diletakkan, tetapi memadai untuk anda faham. Undang-undang kita dengan jelas menyebut rogol hanya diterima berlaku apabila seorang lelaki memaksa seorang wanita lain bersamanya dalam bentuk seksual dan lelaki itu memasukkan zakarnya ke dalam faraj wanita itu tanpa kerelaan wanita tersebut.

Oleh yang demikian, takrifan rogol tidak mengambil kira kes di mana wanita memaksakan dirinya pada seorang lelaki, wanita memaksa wanita atau lelaki memaksa lelaki lain.

Memahami limitasi Akta 574 Kanun Keseksaan Seksyen 375

mahkamah undang undang

Sekiranya kita membuka dan menyemak akta kod penal 574 seksyen 375 -  jenayah rogol sehingga Februari 2018 masih mengambil kira perbuatan rogol mesti dilakukan oleh seorang lelaki kepada seorang wanita.

Ini bermakna, secara amnya - wanita tidak boleh diklasifikasikan sebagai seorang perogol dari aspek undang-undang, walaupun wanita itu seorang perogol bersiri. Ini kerana syarat sesuatu kes itu layak diambil sebagai kes rogol mestilah berlaku penetrasi zakar ke dalam faraj. Jika faraj ke zakar - itu bukan rogol. Kelakar kan?

Adakah wanita boleh dijatuhkan hukuman sekiranya dia benar-benar merogol? Boleh, tetapi bergantung kepada situasinya. Jika kita rujuk seksyen 375(b); seseorang wanita boleh dijatuhkan hukuman merogol sekiranya wanita itu melakukan perbuatan merogol dalam kumpulan; yakni tidak berseorangan atau beramai-ramai.

Ini kerana dalam seksyen 375(b) tidak ada disebutkan jantina pelakunya, jadi kelompongan ini bakal membolehkan kedua-dua jantina layak didakwa di bawah seksyen ini. Bagaimanapun, takrifan ini masih boleh disanggah oleh peguambela bagi menyelamatkan anak guamnya daripada disabitkan jenayah rogol, kerana pelaku tidak memenuhi ciri-ciri yang perlu berlaku dalam kes rogol.

Berdasarkan apa yang penulis fahami, seseorang wanita tidak boleh dijatuhkan hukuman ke atas jenayah rogol sekiranya dia merogol seorang lelaki lain. Bagaimanapun, seandainya wanita itu menyertai satu kumpulan merogol seorang wanita - secara teknikalnya dia boleh dianggap telah melakukan jenayah rogol.

Kelam-kabut kan undang-undang jenayah rogol kita? Betulkan penulis kalau pemahaman penulis salah.

Hukuman yang hanya menghukum lelaki

perogol bersiri di hantar ke malaysia

Sama seperti seksyen-seksyen lebih awal, iaitu seksyen 375, 375a dan 375b - takrifan hukuman yang boleh dikenakan ke atas perogol juga sangat bergantung dengan jantina.

Hukuman berat ke atas lelaki yang merogol wanita memang agak berat. Perogol boleh dikenakan hukuman penjara maksium 20 tahun dan juga hukuman sebatan. Dalam beberapa situasi tertentu, hukumannya boleh meningkat kepada 10 tahun minima atau 30 tahun maksima dengan hukuman rotan.

Antara situasi yang boleh menyebabkan hukuman ditambah adalah sekiranya rogol itu melibatkan wanita bawah 16 tahun tanpa kerelaan, gadis berusia bawah 12 tahun walaupun dengan kerelaan, wanita yang sedang mengandung, mangsa rogol yang membunuh diri selepas dirogol ataupun perogol lelaki yang merogol wanita kurang upaya.

Penambahan ini tetap tidak boleh lari daripada pengaruh aspek jantina dan situasi ini amatlah mengelirukan. Sebagai contoh, sekiranya seorang perogol berjantina lelaki mempunyai penyakit AIDS atau pengidap virus HIV didapati melakukan jenayah rogol, hukuman ke atas dia boleh ditambah.

Bagaimanapun, sekiranya yang merogol itu seorang wanita dan mangsanya seorang lelaki malang yang akhirnya mengidap penyakit AIDS selepas itu, tidak ada hukuman tambahan akan dijatuhkan kepada wanita tersebut walaupun dibuktikan dia menyebabkan jangkitan wabak AIDS berlaku pada mangsa dia.

Pening betul undang-undang rogol kita!

Untuk kes rogol melibatkan perogol lelaki yang merogol wanita yang tidak boleh dinikahi atau dikahwini; seperti ibu, adik perempuan, kakak, ibu mertua atau nenek pula; hukuman yang dikenakan lebih ringan sedikit.

Hukuman penjara 8 tahun minima akan dikenakan sekiranya terbukti bersalah, tidak melebihi 30 tahun dengan hukuman sebat 10 sebatan minima.

Benarkah lelaki tidak dianggap mangsa rogol?

metafora lelaki terikat

Berdasarkan apa yang termaktub dalam undang-undang kita, itulah kesimpulan yang perlu kita ambil.

Sekiranya seorang lelaki pergi melaporkan jenayah rogol terhadap dirinya yang dilakukan oleh seorang wanita lain, pihak mahkamah tidak ada cara untuk mendakwa perlakuan itu sebagai satu jenayah rogol melainkan wujud beberapa faktor yang boleh mengubah haluan kes itu.

Apa yang penulis maksudkan, sekiranya kita rujuk kepada seksyen seterusnya iaitu seksyen 377 yang menyebut tentang seks luar tabii sebagai jenayah, boleh wujud situasi di mana seorang wanita boleh dicajkan telah melakukan jenayah di bawah seksyen ini.

Sekiranya semasa kejadian seks paksa itu dilakukan perogol berjantina wanita itu telah pun melakukan perbuatan luar tabii seperti contoh memasukkan sesuatu ke dalam dubur mangsa rogolnya tanpa kerelaan mangsanya, tindakan itu boleh dianggap sebagai satu bentuk jenayah.

Bagaimanapun, dari segi teknikalnya kes itu tetap tidak dianggap sebagai kes rogol tetapi kes paksaan seks luar tabii atau 'carnal intercourse.'

Walaupun berbunyi kelakar -  begitulah bagaimana tafsiran undang-undang negara kita jelas sekali berat sebelah dalam mentafsir kes-kes rogol. Undang-undang kita terlalu memihak kepada wanita kerana mungkin ketika undang-undang ini diwujudkan British dulu, ia dicipta untuk melindungi wanita daripada serangan seksual.

warga india jenayah rogol

Pada pendapat penulis, perkara ini perlu diberikan perhatian serius kerana amat jelas akta 574 seksyen 375 sehingga seksyen 377 sudah lapuk. Bagaimanapun, kita harus juga melihat apa yang telah berlaku di India ketika kerajaan India berusaha 'membetulkan' takrifan rogol ini.

Seperti yang kita sedia maklum, India juga mewarisi undang-undang British jadi akta mereka juga sama seperti kita, daripada aspek tafsiran sehinggalah kepada nombor akta dan seksyennya.

Kerajaan India berjaya meminda akta tersebut pada tahun 2013, mentakrifkan 'rogol' sebagai satu perbuatan bersifat neutral jantina dan meminda istilah 'rogol' kepada 'serangan seksual.' Bagaimanapun, bantahan daripada kumpulan penyokong wanita yang merasakan perubahan itu akan mengendurkan perlindungan ke atas kaum wanita daripada jenayah rogol, kerana rogol kini bukan hanya terhad kepada perbuatan lelaki semata-mata.

Atas desakan dan tekanan yang diterima, kerajaan India melakukan u-turn meminda semula takrifan 'rogol' agar kekal sebagai lelaki memaksakan diri kepada seorang wanita tanpa kerelaan.

Pindaan itu juga kembali meletakkan hanya lelaki saja boleh dikategorikan sebagai perogol, tidak bagi wanita.

Begitulah masalah yang berlaku dalam negara-negara bekas jajahan British ketika ini. Yang dah berjaya pinda diminta tukar semula ke asal. Di negara kita pula, entahlah bagaimana pula reaksi yang bakal kita terima seandainya kedua-dua jantina berhak dilabelkan sebagai perogol, sekiranya jenayah kejam ini telah dilakukan.

Rujukan

Akta 574 (fail PDF)

Kajian kes rogol USM (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)