Setiap hari majoriti antara kita memandu di atas jalan raya, mengendalikan bermacam jenis kenderaan.

Secara amnya kita sudah pun faham dan tahu tentang undang-undang dan peraturan jalan raya. Bila kena berhenti, lampu merah bagaimana, di mana nak memandu - semua itu dah ada dalam kepala kita.

Walaupun demikian wujud beberapa peraturan dan undang-undang jalan raya yang jarang orang ceritakan, tidak kita ketahui serta jika dilanggar - boleh mengakibatkan tindakan saman atau lebih teruk, anda boleh dipenjarakan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Penagih dadah tidak boleh memandu

penagih dilarang memandu lesen gantung

Kita biasa dengar tentang peraturan orang yang khayal dengan dadah tidak boleh dibenarkan memandu. Tahukah anda sekiranya seseorang itu disyaki ada masalah ketagihan dadah - lesennya boleh digantung, walaupun perkara itu belum dibuktikan?

Tempoh penggantungan itu pula boleh berlangsung sehinggalah orang itu dibebaskan atau dibuktikan statusnya. Jika disabitkan status atas sebab tangkapan atau serah diri sukarela, lesen yang ada pula akan digantung minima selama 2 tahun atau selama mana individu itu masih dipercayai seorang yang berdepan ketagihan.

2. Orang yang sakit dan hilang upaya tidak boleh memandu

sakit ketika memandu

Kadang-kadang, ada sesetengah di antara kita mempunyai sikap keras kepala masih mahu memandu walaupun keadaan badan agak tidak mengizinkan, mungkin akibat penyakit ataupun sistem deria seperti mata yang semakin sukar melihat.

Mana-mana individu yang menghidap penyakit atau mengalami ketidakupayaan bersifat sementara atau kekal, tetapi masih gigih nak memandu dikhuatiri boleh mengakibatkan bahaya kepada orang lain.

Sekiranya anda berada dalam situasi ini, bersabarlah dan minta orang lain memandu bagi pihak anda. Sekiranya dilanggar dan ditangkap, anda boleh dikenakan saman RM1,000, penjara tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

3. Wajib berhenti sekiranya terlibat kemalangan

langgar lari satu kesalahan

Sudah banyak kali insiden langgar lari berlaku kan? Dalam situasi lain, ada juga individu yang dilanggar tetapi melarikan diri kerana bermacam faktor.

Menurut undang-undang negara kita, dalam semua insiden kemalangan yang berlaku adalah menjadi satu kewajipan untuk semua pihak terlibat - baik yang terlanggar atau dilanggar berhenti.

Tujuan berhenti itu pula adalah untuk membolehkan pihak-pihak yang terlibat dapat bertukar maklumat dan informasi, seperti nama, alamat, nombor pendaftaran kenderaan dan juga nombor untuk dihubungi.

Beringatlah. Sekiranya anda terlanggar pihak lain, berhenti. Jika orang lain terlanggar anda dan anda tidak ada lesen, berhentilah juga.

4. Orang muda berusia bawah 21 tahun tidak boleh memandu jentera berat

anak muda lesen jentera berat

Semua orang tahu had umur minima yang perlu dicapai bagi memandu motorsikal adalah 16 tahun dan 18 tahun bagi kereta.

Ramai pasti tak tahu untuk seseorang dibenar mengendalikan kenderaan jentera berat seperti traktor, jentolak atau kenderaan perkhdimatan berat seperti bas dan lori - seseorang itu perlu mencapai usia 21 tahun.

Individu 18 tahun yang dilesenkan untuk memandu kereta, dibenarkan memandu jentera berat bagi tujuan pengalihan dalam kawasan tanaman sahaja.

5. Kita sepatutnya ada salinan cover letter dalam kereta

roadblock polis

Dalam filem khususnya filem Hollywood, adegan yang memaparkan situasi polis menahan kenderaan lain biasanya memerlukan pemandu itu menyediakan dua dokumen: lesen dan pendaftaran kenderaan.

Kita di Malaysia pun biasanya dua dokumen itu juga yang disemak, namun ada dokumen ketiga yang seeloknya perlu kita simpan juga dalam kenderaan kita iaitu salinan nota perlindungan insurans/takaful atau lebih popular digelarkan 'cover note.'

Ini kerana menurut Akta 333 Seksyen 58(1), pihak berkuasa baik polis atau pegawai JPJ sebenarnya turut mempunyai kuasa untuk meminta dokumen tersebut bagi tujuan pengesahan. Bagaimanapun, perbuatan ini jarang dipraktikkan di negara kita walaupun undang-undang membenarkannya.

Sekiranya seseorang pemandu gagal mengemukakan salinan seperti yang dikehendaki, dia akan diberikan 5 hari untuk menyerahkan cover note seperti yang diminta di balai polis terdekat.

6. Kereta anda boleh dilelong jika dibiarkan tersadai

kereta tersadai jadi masalah penduduk setempat

Di sesetengah kawasan tertentu, masalah kenderaan yang tersadai seolah sengaja dibuang menjadi isu yang besar. Kita semua tahu pihak majlis perbandaran atau dewan bandaraya mempunyai kuasa untuk menyita dan mengalihkan kenderaan yang ditinggalkan.

Tetapi tahu tak, sekiranya kenderaan yang telah disita itu gagal ditemui tuan punyanya selepas satu bulan notis dikeluarkan - akan dilelong secara lelongan awam. Dana hasil lelongan kenderaan itu pula pertama sekali akan diguna bagi menampung kos penyitaan dan apa saja fi atau denda yang telah dikenakan.

Sekiranya ada lebihan daripada dana tadi, dana itu akan dipulangkan kepada tuan punyanya sekiranya dapat ditemui.

Jika dana itu tidak dituntut dalam tempoh 12 bulan selepas tarikh lelongan atau pelupusan itu selesai, dana itu akan menjadi milik kerajaan, baik kerajaan persekutuan, kerajaan tempatan atau ketua pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, kalau kereta itu ditinggalkan di sepanjang laluan lebuhraya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)