Salah satu isu yang akan timbul apabila sesuatu wabak didapati merebak, adalah berkaitan dengan undang-undang yang akan digunakan dalam memastikan kuarantin berjaya dilakukan.

Ini kerana peraturan kuarantin akan menyebabkan hidup banyak pihak terjejas, sehingga menyebabkan rasa tidak puas hati kepada mereka yang terlibat. Persoalannya - bolehkah seseorang enggan di kuarantin?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apakah yang boleh berlaku sekiranya ada pihak melanggar arahan agar kuarantin dilakukan?

Beza 'kuarantin' dan 'isolasi'

wabak virus serang dunia

Sebelum kita masuk kepada aspek undang-undang berkaitan kuarantin, sesuatu yang perlu diperjelaskan terlebih dahulu adalah berkaitan kekeliruan kita tentang kewujudan dua terma yang sering dicampur aduk kegunaannya. Yang pertama adalah kuarantin. Yang kedua, adalah isolasi.

Kuarantin adalah proses atau kaedah menghalang atau menyekat pergerakan seseorang yang menjadi suspek mungkin menghidapi penyakit atau membawa virus yang mampu atau berpotensi menyebabkan jangkitan. Kuarantin berlaku hanya melibatkan individu yang dikhuatiri dijangkiti, tetapi belum menampakkan sebarang simptom atau petanda jangkitan.

Selain pada peringkat individu, kaedah kuarantin boleh juga dikenakan pada peringkat mukim, daerah, negeri atau lebih teruk - negara.

Berbeza dengan kuarantin, kaedah isolasi pula hanya akan digunakan ke atas individu yang sudah disahkan mempunyai jangkitan, bagi membolehkan pergerakan mereka disekat - agar jangkitan mampu dikawal penularannya.

Bolehkah kerajaan mewajibkan kuarantin dan isolasi pada individu?

china virus wuhan

Secara amnya, majoriti kerajaan di dunia mempunyai kuasa bagi mewajibkan mana-mana individu atau pesakit yang dirasakan berisiko, diletakkan di bawah kaedah kuarantin dan isolasi.

Antara penyakit yang masih menular di seluruh dunia yang membolehkan kerajaan melalui kuasa Kementerian Kesihatan negara itu mengambil sebarang langkah perlu, adalah penyakit ebola, tuberculosis atau TB, kolera, cacar, difteria dan beberapa lagi penyakit lain.

Seperti Amerika Syarikat, mereka meletakkan bidang kuasa bagi menjalankan kuarantin dan isolasi mandatori kepada Centers for Disease Control and Prevention atau CDC. CDC diberikan kuasa sepenuhnya untuk menahan, memerika dan melepaskan mana-mana individu yang dirasakan berisiko menyebabkan jangkitan wabak.

Setiap negeri di Amerika Syarikat mempunyai kuasa sendiri untuk mengawal akses masuk sempadan mereka, sekiranya perlu menutup laluan-laluan utama ke dalam negeri.

Pada tahun 2016, kontroversi timbul melibatkan CDC - selepas CDC diberikan kuasa mutlak bagi menahan dan memerika sesiapa saja, walaupun di luar skop jangkitan yang telah disenaraikan sebagai 'wabak berisiko tinggi' tanpa keperluan mendapatkan kebenaran daripada suspek.

Langkah ini mula dijalankan sepenuhnya sejak bulan Februari tahun 2017.

Undang-undang kuarantin Malaysia

warga china coronavirus

Adakah undang-undang serupa terpakai di negara kita? Boleh dikatakan terpakai juga. Negara kita menggazetkan 29 penyakit khusus (pautan PDF) antaranya tetanus, hepatitis, ensefalitis, HFMD, MERS, malaria, influenza dan secara amnya mana-mana wabak, sebagai penyakit berjangkit.

Diwartakan sejak tahun 1988 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit atau Akta 342 - akta ini memberikan kuasa sepenuhnya kepada Menteri bagi mengisytiharkan mana-mana kawasan di luar Malaysia sebagai kawasan jangkitan, sekiranya punca virus itu didapati datang daripada luar negara.

Di bawah akta ini juga, pegawai-pegawai kesihatan diberikan kuasa penuh untuk melakukan pemeriksaan ke atas individu, kenderaan, barangan, binatang atau premis yang dirasakan mempunyai risiko penyebaran wabak.

Bagi mana-mana individu yang didapati menjadi pembawa atau berstatus pesakit, pegawai mempunyai kuasa untuk memindahkan beliau ke stesen kuarantin atau lokasi isolasi yang dirasakan sesuai.

Sesuatu yang jarang kita perkatakan adalah berkenaan kesalahan yang boleh berlaku, sekiranya kita tidak melaporkan tentang kewujudan wabak. Mana-mana individu dalam negara kita yang tahu tentang kes penyakit berjangkit seperti disenaraikan, tetapi tidak melaporkannya boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan tersebut.

Apakah hukuman pada mereka yang melanggar arahan kuarantin?

influenza jangkitan wabak coronavirus

Sekiranya berlaku kes di mana ada individu warganegara Malaysia melanggar arahan kuarantin dan isolasi, dia boleh dianggap telah melakukan kesalahan - dengan hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan pertama, denda atau kedua-duanya.

Seandainya perkara itu berulang untuk kali kedua, hukuman penjara ke atasnya akan ditambah kepada lima tahun, denda atau kedua-duanya. Selepas kesalahan kali kedua dilakukan, hukuman denda akan dikenakan kepada pesalah dalam kadar RM200 sehari bagi setiap satu hari kesalahan itu diulang.

Pegawai kerajaan melalui kuasa Menteri, mempunyai kuasa untuk menyita apa saja yang mereka rasakan perlu bagi tujuan kawalan wabak dan proses pemulangan semula apa yang disita, turut sama memerlukan kebenaran daripada pihak berwajib.

Akta 342 memberikan bidang kuasa yang agak besar kepada Menteri dalam memastikan perlindungan masyarakat daripada wabak, dapat dilakukan. Walaupun demikian, persoalannya adalah - adakah anda merasakan kebebasan anda sebagai warganegara, dilindungi; sekiranya anda dipaksa untuk menjalani kuarantin atau isolasi yang bersifat mandatori?

Nyatakan pandangan anda dalam ruangan komen.

Rujukan

AKTA PENCEGAHAN DAN PENGAWALAN PENYAKIT BERJANGKIT 1988 (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)