bolehkah seorang peguam membela seorang pesalah di mahkamah 48

Apabila terjadi sesuatu kes atau jenayah, kes tersebut biasanya akan dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan. Biasanya kedua-kedua plaintif iaitu pihak yang menuntut dan defendan atau tertuduh, iaitu pihak yang bertanggungjawab terhadap tuntutan plaintif perlu hadir untuk mengemukakan hujah mereka di hadapan hakim.

Bagi tujuan ini, pihak mahkamah akan membenarkan kedua-dua plaintif atau defendan untuk melantik seorang peguam untuk berhujah bagi pihak mereka. Seorang plaintif atau defendan juga boleh memilih untuk tidak menggunakan khidmat peguam dan berhujah bagi pihak mereka sendiri.

Mungkin sesetengah masyarakat akan mempertikaikan peguam yang mengambil keputusan untuk berada di pihak defendan bagi mempertahankan mereka. Ada juga pihak yang mendakwa peguam sebegini hanya mahukan duit semata-mata sehingga sanggup mempertahankan si tertuduh. Adakah tuduhan ini berasas? Pihak iluminasi telah mendapat kebenaran En. Hijaupadi untuk mengulangsiar penjelasan beliau di akaun Facebooknya agar kita lebih faham akan tuduhan dan persoalan ini.

defendan di mahkamah

1) Suka atau tidak, kawan-kawan peguam sekalian pasti pernah alami situasi dimana masyarakat mahupun mak ayah kita sendiri bertanyakan satu persoalan yang sangat rumit dan mengundang resah untuk di jawab; iaitu

Bolehkah kita (peguam) bela orang “salah”?

2) Persoalan begini harus dijawab dengan bijak dan tenang, bukan beremosi. Apa yang penting, fahami betul-betul keseluruhan konsep keadilan khususnya dari kaca mata Islam. Masyarakat pastinya akan berfikiran lebih terbuka sekiranya kita dapat memahamkan mereka pula konsep keadilan dan hak undang-undang seorang manusia yang merdeka.

3) Menjadi fitrah kita sebagai manusia bilamana terjadinya sesuatu kes jenayah, kita akan membentuk satu pendapat (opinion) berkaitan perilaku dan pelaku jenayah tersebut. “Dia bersalah!”. “Ishh kecik-kecik lagi dah bakaq orang!!”. Pendapat kita itu hanyalah bersandarkan kepada sumber Harian Metro, Kosmo, Utusan, Malaysiakini, Siakapkeli etc. Jauh sekali kita sebenarnya dari kebenaran. Pendapat (opinion) kita mungkin salah dan tidak relevan disebabkan kita hanya mendengar sebelah pihak sahaja.

4) Harus diingat bahawa wujud perbezaan yang sangat ketara diantara “opinion” dan juga “knowledge”. Situasi akan berbeza sekiranya kita memang mempunyai “knowledge” kerana kita berada di lokasi kejadian melihat, mendengar dan mengingati setiap inci dan saat berlakunya jenayah tersebut.

5) Sekiranya kita tiada di tempat kejadian dan tidak menyaksikan jenayah berlaku, maka tidak selamat untuk kita simpulkan bahawa seseorang itu bersalah walaupun dia telah mengaku dihadapan kita bahawa dia telah melakukan jenayah tersebut.

perbicaraan di mahkamah

6) Ini kerana pengakuan seseorang itu hanya boleh disabitkan kesalahannya jika pengakuan tersebut dibuat didalam Mahkamah. Ini kerana hanya Mahkamah sahajalah tempat yang diiktiraf baik dari segi perundangan Sivil ataupun Islam untuk menerima dan mensabitkan pengakuan bersalah seseorang itu. Pengakuan jenayah kalau dibuat di hadapan Kaabah, atau bersumpah junjung AlQuran dalam masjid pun tiada efek dan sabitan. Apatah lagi kalau pengakuan itu dibuat didalam pejabat Peguam atau dikedai Mamak.

7) Bukan tugas peguam untuk menentukan salah benar seseorang. Tugas peguam adalah untuk memberikan nasihat perundangan, bukan memberikan hukuman. Sebab itulah Hakim diperlukan untuk menilai keterangan dan bebanan bukti serta pengakuan dari kedua-dua belah pihak didalam perbicaraan yang adil.

8) Undang-undang Jenayah Sivil ataupun Jenayah Shariah, beban pembuktian memang terletak diatas bahu orang yang menuduh. Orang yang menuduh/mendakwa mestilah membawa bukti dan keterangan untuk mensabitkan seseorang yang dituduh. Ini selaras dengan Hadith Nabi SAW :

“Al-Bayyinah a’la al-Mudda’I, wal yamin a’la man Ankara”.

Orang yang mendakwa perlu kemukakan bukti, keterangan dan sokongan untuk menyokong tuduhannya. Dan bagi tertuduh pula untuk menafikan tuduhan tersebut.

9) Beban pembuktian ini kini telah diabadikan secara statutory di dalam tatacara perundangan jenayah di Malaysia sekarang ini. Menjadi tugas Pendakwaraya untuk membuktikan tuduhan ke atas Tertuduh. Dan bebanan pembuktian tersebut mestilah melebihi keraguan yang munasabah.

10) KERAGUAN!! Inilah tugas Peguam! Tugas peguam bukan untuk memutar belit didalam Mahkamah, tetapi hanyalah untuk menimbulkan keraguan kepada kes pendakwaan. Dan keraguan yang ditimbulkan itu mestilah keraguan yang munasabah! Keraguan dari segi elemen pertuduhan jenayah ataupun kepada prosedur pengendalian kes jenayah tersebut!

11) Menjadi tanggungjawab dan persoalan akhirat buat semua kita yang terlibat didalam perbicaraan jenayah untuk sentiasa yakin dan faham bahawa “Seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah!”.

12) Iktibar dari kisah Nabi Yusuf AS harus kita teladani. Bagaimana Zulaikha menuduh Yusuf, namun Yusuf menimbulkan keraguan terhadap tuduhan Zulaikha. Baju koyak dibahagian belakang, bukannya di depan. Ini semua adalah cara Islam mendidik kita memperhalusi kaedah pembuktian dan keraguan di dalam sesuatu jenayah, Dan bukannya Allah tak tahu Nabi Yusuf tidak bersalah, namun perjalanan hidup Baginda sampai ke penjara juga. Allah lebih tahu apa yang terbaik buat hambanya.

13) Kesimpulannya, jangan gundah gulana untuk membela hak perundangan seseorang yang belum dibuktikan bersalah di Mahkamah. Yakinlah, Allah lebih tahu akan segalanya. Kita membela bukan kerana kita memihak kepada penjenayah, namun kite membela untuk memberikan perbicaraan yang adil untuk semua. Kalau hak pembelaan tertuduh dinafikan, maka Ilmu dan tanggungjawab kita pula akan dipersoalkan di Akhirat nanti.


tags : , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)