Gambar sekadar hiasan

Seandainya anda gemar menonton filem, pasti anda pernah melihat adegan dalam filem yang memaparkan bagaimana anggota polis menangkap seorang pesalah.

Kebiasaannya semasa menggari pesalah tersebut, anggota polis itu akan membaca satu ayat yang bermula dengan sebutan 'you have the right to remain silence' atau 'anda berhak untuk diam'; sebelum bersambung dengan beberapa sebutan tambahan lagi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa yang berlaku pada ketika ayat itu, yang dikenali sebagai 'amaran Miranda' atau 'Miranda's warning' merupakan ayat yang mengiktiraf hak pesalah dalam menghadapi situasi tersebut. Persoalannya - kenapa ayat itu perlu dibacakan polis?

Apa itu 'amaran Miranda'?

polis tahan pesalah miranda

Turut dikenali dengan nama 'Miranda rights' atau 'hak Miranda,' empat ayat yang disebutkan oleh anggota polis di negara yang mengamalkannya akan berbunyi begini;

You have the right to remain silent

Anything you say can and will be used against you in a court of law

You have the right to an attorney

If you cannot afford an attorney, one will be appointed for you

Sekiranya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, bunyinya lebih kurang

Anda berhak untuk mendiamkan diri

Apa saja yang anda sebut boleh digunakan untuk mendakwa anda di mahkamah

Anda berhak untuk mendapatkan khidmat peguam

Sekiranya anda tidak mampu, seorang peguam akan dilantik bagi mewakili anda

Apabila empat ayat itu telah dibacakan dalam situasi berlakunya penangkapan, ini bermakna secara rasminya anda mempunyai hak untuk terus mendiamkan diri walaupun didesak oleh penyiasat - selagi mana belum ada peguam datang mewakili anda dalam kes tangkapan tersebut.

Amaran Miranda ini merupakan satu keperluan yang wajib dibacakan mana-mana anggota polis, khasnya di Amerika Syarikat. Seandainya lafaz ini tidak dibacakan semasa tangkapan dan tangkapan tetap dilakukan, tindakan itu boleh dianggap sebagai satu tindakan tangkapan tidak sah.

Sejarah bermulanya Amaran Miranda

ernesto miranda rogol oku

Walaupun dinamakan sebagai Amaran Miranda, asal-usul bagaimana bermulanya pelaksanaan undang-undang pembacaan hak ini sebenarnya dibuat berdasarkan kepada empat kes yang berlaku - dikenali sebagai Westover vs United States, Vignera vs New York, California vs Stewart dan yang terakhir Miranda vs Arizona.

Kesemua kes mempunyai satu persamaan yang serupa apabila suspek yang dipercayai terlibat dalam kes jenayah, ditahan serta disoal siasat tanpa ada sebarang bentuk hubungan dengan pihak luar dibenarkan - termasuklah kehadiran peguam. Tanpa sekatan, pihak penyiasat dan anggota polis didapati menyalah gunakan bidang kuasa mereka, memaksa suspek mengaku secara oral serta menandatangani dokumen pengakuan yang digunapakai sebagai bukti di mahkamah.

Keempat-empat kes menimbulkan keraguan berikutan cara atau taktik bagaimana soal siasat dilakukan pihak polis, sehingga berjaya mendapatkan pengakuan dan persoalan inilah yang ditimbulkan oleh pihak mahkamah.

Ini kerana pihak kehakiman Amerika Syarikat percaya kaedah atau cara tangkapan dan soal siasat yang dilakukan, tidak menepati dengan pindaan kelima perlembagaan negara tersebut; yang melindungi seseorang daripada melakukan pengakuan secara paksa - seterusnya melanggar hak dan peluang suspek untuk membela diri dengan lebih saksama.

Perbicaraan berkenaan kes Miranda vs Arizona dibuka atas dakwaan hak pesalah yang bernama Ernesto Miranda dilanggar semasa tangkapan, dengan mahkamah membicarakan kes tersebut dalam mewujudkan sistem perlindungan yang lebih baik untuk pihak yang ditahan; bermula 28 Februari 1966 sehingga 13 Jun 1966.

Pada tarikh akhir perbicaraan, mahkamah mendapati wujud pelanggaran hak ke atas Miranda dilakukan oleh pihak polis semasa tangkapan dan juga soal siasat, membolehkan kes Miranda dibicarakan semula di mahkamah Arizona.

Pengakuan melakukan jenayah kejam

kubur ernesto miranda

Ernesto Miranda ditahan pihak polis pada 13 Jun 1963 selepas pihak polis percaya, beliau adalah suspek utama kes melibatkan jenayah culik dan rogol seorang wanita kurang upaya berusia 18 tahun. Selepas ditahan dan disoal siasat selama 2 jam, pihak polis berjaya mendapatkan pengakuan dalam bentuk bertaip bagaimana Miranda mengakui semua kesalahan jenayah yang didakwa ke atasnya.

Peguam bela lantikan kerajaan yang ditugaskan membela Miranda menegaskan pengakuan yang dilakukan anak guamnya, bukan dilakukan secara sukarela sebaliknya dibuat dalam keadaan tertekan. Selain itu, Miranda juga tidak diberikan akses kepada mana-mana penasihat undang-undang semasa tangkapan dan soal siasat, membolehkan polis melakukan apa saja cara dalam memastikan pengakuan berjaya direkodkan.

Walau bagaimanapun, pihak mahkamah merasakan pengakuan bertulis yang ada merupakan bukti yang kukuh bagi mensabitkan kesalahan, seterusnya menghukum Miranda hukuman penjara di antara 20 ke 30 tahun bagi setiap satu kesalahan.

Hukuman yang telah dijatuhkan itu bagaimanapun berjaya di bawa ke mahkamah rayuan dan peguam bela Miranda berjaya membuktikan wujudnya keraguan dalam proses penangkapan dan pengakuan dibuat. Hasil daripada hujah ini, perbicaraan rayuan ini mula beralih arah dalam meneliti sama ada benar atau tidak hak Miranda telah pun diabaikan atau tidak.

Selepas perbicaraan mendapati hak Miranda dilanggar pihak polis, mahkamah mengarahkan agar diwujudkan satu jendela semasa tangkapan di mana pesalah atau suspek dibacakan hak mereka dan semua suspek perlu diberikan akses seorang peguam bela.

Walaupun kes Miranda digugurkan dan perlu dibicarakan semula selepas wujudnya undang-undang baru itu, perbicaraan semula tetap mendapati Miranda melakukan jenayah rogol itu - selepas teman wanita Miranda memberitahu mahkamah Miranda pernah mengakui dia melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsanya yang kurang upaya.

Dia didapati bersalah pada tahun 1967 dan dipenjarakan lebih 20 tahun atas kesalahannya, namun sumbangan beliau pada undang-undang amatlah besar kesannya.

Adakah Malaysia mengamalkan dasar mirip Amaran Miranda?

bilik soal siasat

Walaupun pemakaian undang-undang di seluruh dunia semakin lama semakin meletakkan kepentingan hak terpelihara sebagai satu subjek penting, bukan semua negara mengamalkan undang-undang menjaga hak pesalah yang telah ditangkap.

Hanya 108 buah negara di seluruh dunia mempunyai undang-undang membolehkan pesalah atau suspek berdiam diri, sebaliknya masih ada negara yang membolehkan sebarang bentuk tangkapan dilakukan tanpa suspek atau pesalah mempunyai ruang untuk membela diri dengan lebih terbuka.

Di negara kita, kita tidak mempunyai akta yang mewajibkan hak suspek dibacakan di lokasi tangkapan. Sebaliknya kita mempunyai Kod Prosedur Jenayah 2007 yang membolehkan mana-mana suspek yang ditahan, memilih sama ada mereka diberikan akses pada peguam sebelum sebarang soal siasat dilakukan. (rujukan PDF)

Semua pegawai polis penyiasat perlu membacakan Kod Prosedur Jenayah terlebih dahulu sebelum soal siasat, menjelaskan bahawa semua suspek berhak untuk berdiam diri dan memilih untuk tidak menjawab soalan - sekiranya jawapan yang dikeluarkan bakal mensabitkan sebarang bentuk kesalahan jenayah ke atas dirinya.

Selain itu, negara kita juga mempunyai ketetapan khas dalam seksyen 37A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memerlukan pemberitahuan kepada mana-mana suspek yang didakwa di bawah akta ini; bahawa apa saja yang mereka sebut atau ucap dalam soal siasat boleh digunakan di mahkamah sebagai bukti.

Sekiranya suspek tidak dibacakan ketetapan itu sebelum soal siasat, sebarang bentuk pengakuan atau percakapan lisan yang disebut tidak layak untuk diterima sebagai bukti dalam mahkamah - walaupun pengakuannya jelas kedengaran.




Hakcipta iluminasi.com (2017)