Oleh pada 16 Mar 2018 kategori

bocey dikatakan berpecah abam tampil beri kenyataan

Kredit foto: Instagram Abam Bocey

"Kami tidak berpecah. Perkara itu tidak akan pernah terjadi."

Begitulah ulasan ahli kumpulan Bocey, Abam menjawab dakwaan kononnya mereka bertiga sudah membawa haluan masing-masing.

Abam yang mengakui sudah lama tidak berkongsi pentas dengan kedua rakannya itu, bagaimanapun menegaskan ia bukan bermakna kumpulan itu sudah berkubur.

Dalam pada itu, Abam tidak menafikan kali terakhir Bocey membuat kemunculan bersama adalah ketika program Maharaja Lawak Mega tahun lalu yang menyaksikan mereka dinobatkan juara.

"Ya, saya akui penampilan terakhir kami bertiga di program dan pentas yang sama adalah ketika pertandingan Maharaja Lawak Mega setahun yang lalu.

"Namun, itu tidak bermakna Bocey sudah berpecah. Kami tidak mungkin akan membawa haluan masing-masing kerana kami saling memerlukan," jelas Abam kepada Harian Metro.

Jujurnya, kata Abam, komitmen kerjaya dan keluarga tidak menjejaskan hubungan yang terjalin kerana mereka sering berkomunikasi menerusi aplikasi Whatsapp.

Sementara itu, sebagai mengubat kerinduan peminat, kumpulan pelawak trio ini akan muncul dalam program sitkom Bocey & Friends Live tidak lama lagi.

"Bagi saya, program ini adalah sebagai pengubat rindu khas buat peminat. Mereka sering bertanya bila Bocey akan muncul kembali dalam program.

"Ada juga yang ingin aturkan Meet and Greet tetapi susah untuk kumpulkan kami bertiga. Maka ini adalah masa yang tepat untuk jumpa dengan kami," katanya.

Para peminat boleh menonton siaran secara langsung Bocey & Friends Live di seluran Astro Warna (132) dan Warna HD (124), bermula 23 Mac, setiap Jumaat, jam 10 malam. Sitkom itu antara lain menampilkan pelakon hebat, Nasir Bilal Khan memegang peranan sebagai 'Tukang Buka Panggung'.


tags : , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)