Oleh pada 28 Feb 2020 kategori

abam bocey 874

Kredit foto: Instagram Fad Bocey

    

Achey dan Fad yang merupakan rakan seangkatan arwah Abam dalam kumpulan Bocey, tampil bersuara berkenaan krisis didepani keluarga sahabat mereka itu.

Achey beranggapan, harta yang ditinggalkan arwah seharusnya diuruskan secara faraid, justeru tiada isu yang sepatutnya timbul.

"Apa yang berlaku adalah masalah dalaman keluarga. Jadi, sewajarnya ia dibincangkan dan diselesaikan secara tertutup.

"Aib keluarga itu harus disimpan. Sebenarnya saya sedih dan terkilan dengan apa yang berlaku kerana kematian Abam dalam keadaan sangat baik," katanya yang ditemui bersama Fad selepas majlis tahlil Allahyarham Abam anjuran Astro yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, malam tadi.

Tidak menyebelahi keluarga arwah mahupun balunya, Nor Hidayah Mohd Ali, Achey mengharapkan agar kedua-dua pihak dapat menyelesaikan perkara itu secara baik di pejabat agama.

"Isu harta membabitkan pembahagian faraid ini sewajarnya diselesaikan mengikut perundangan agama dan kedua-dua pihak rujuklah dengan pejabat agama.

"Apapun, saya mengharapkan perkara ini dapat diselesaikan segera di antara sesama keluarga. Usah dibiar terus berpanjangan,' katanya.

Dalam pada itu, diajukan pertanyaan sama ada mereka ada terlibat campur tangan, Achey yang mengakui tahu serba sedikit cerita sebenar, bagaimanapun menganggap diri sebagai orang luar, meskipun adalah bekas sahabat rapat kepada arwah.

"Ini masalah keluarga arwah. Sebagai sahabat akrab, saya dan Fad masih tahu tahap batas kami. Serapat mana hubungan kami bertiga dalam Bocey sejak dulu, kami tak boleh campur tangan masalah keluarga mereka.

"Kami orang luar. Apa yang boleh dilakukan hanya memberi nasihat, pandangan dan pendapat. Selebihnya, terpulang pada mereka sama ada Ali sekeluarga dan Hidayah mahu menerima atau tidak," katanya.

Sementara itu, berkenaan perkongsian Hidayah dalam temubual secara langsung dengan usahawan sensasi, Datuk Aliff Syukri, bagi Achey, wanita itu telah meluahkan masalahnya kepada saluran yang salah.

“Pihak berkenaan pun orang luar dan tidak sepatutnya perkara sensitif membabitkan hal dalam keluarga dikongsikan sebegitu.

"Perkara yang bagi saya masih boleh dibawa berbincang dan untuk itu tidak perlu dikongsikan kepada umum iaitu pihak luar yang merakamnya pula dan dimuat naik ke media sosial," katanya.

Fad pula hanya mampu berdoa untuk kebaikan kedua-dua keluarga, selain dirinya dan Achey pula memberi fokus kepada Syed Uthman Hamzah Al Juffrey iaitu zuriat Abam.

    

fad bocey 119

Kredit foto: Instagram Zon Lawak

   

"Hamzah masih kecil dan baru berusia lapan bulan. Dia pun rasanya belum betul- betul dapat kenal dengan arwah bapanya.

"Tanggungjawab saya dan Achey memastikan Hamzah mendapat kasih sayang seorang bapa yang diperlukan. Kami selalu saja melawat Hamzah dan ibunya untuk mengetahui perjalanan kehidupan mereka," katanya.

Terdahulu, Abam atau Syed Umar Mokhtar Syed Ridzuan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Gombak pada 10 Februari lalu, selepas menderita demam panas.

    

Sumber berita: 'Kami orang luar' - Acey & Fad Bocey

    



Hakcipta iluminasi.com (2017)