Kredit foto: Instagram Abam

Pelawak Abam memilih untuk disatukan dengan wanita pilihannya, Hidayah, 26, pada 8 Disember ini dalam sebuah majlis pernikahan.

Abam berkata, dia menerima gadis itu kerana menjadi satu-satunya insan yang berjaya membuka pintu hatinya.

Abam, 29, bagaimanapun, mengakui tidak menyangka ada wanita yang sudi menjadi teman hidupnya.

“Ramai orang tanya samada saya sudah bersedia menjadi suami atau gementar menanti hari bahagia, tetapi sebenarnya perasaan ini lebih kepada tidak sangka ada juga wanita sudi menjadi surihati saya.

“Saya dan Hidayah mula berkawan sejak 2009, sebelum saya melangkah kaki ke Raja Lawak 6 lagi. Hubungan kami pernah putus sekejap.

“Tapi kalau dah jodoh, macam mana pun akan bertaut juga,” katanya memetik laporan portal Astro Gempak.

Menurut anggota kumpulan Bocey ini, dia telahpun menghantar rombongan merisik kepada wanita berkenaan, September lalu.

“Bukan berniat untuk merahsiakan perkara tersebut, tetapi saya tidak mahu ‘kecoh’ dahulu kerana bimbang tidak jadi.

“Untuk majlis pertunangan pula, kami akan bertunang pada 8 Disember pada sebelah pagi sebelum majlis pernikahan berlangsung,” katanya.

Sementara itu, kongsi abang kepada pelawak Ali Puteh ini, majlis pernikahan tersebut akan berlangsung di kediaman pengantin perempuan, iaitu di Sabak Bernam.

Manakala majlis resepsi sebelah pengantin perempuan akan diadakan pada keesokan harinya, 9 Disember, diikuti majlis menyambut menantu pada 20 Januari di kediaman Abam, di Gombak.

Abam yang dihubungi ketika itu, sedang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas ke London, bagi menjayakan penggambaran drama Tuyul Ke London selama 20 hari bersama dua lagi rakan pelawak, Achey dan Atu.

Drama rantaian itu akan ke udara di saluran Astro Warna.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)