Sekiranya anda pernah mandi di mana-mana pantai di Malaysia, mungkin anda dapat melihat kaum wanita yang memakan pakaian yang masih dianggap sopan dan tidak begitu terdedah. Hal ini kerana negara kita majoriti penduduknya beragama Islam dan kita juga masih mengamalkan budaya-budaya orang Timur.

Keadaan ini sangat berbeza sekiranya anda pergi ke pantai di negara-negara barat. Rata-rata wanita yang ke pantai begitu seksi dan kebiasaannya hanya memakai bikini dan seluar mandi. Mungkin sudah menjadi cara hidup wanita Barat, pemakaian sebegini dianggap sebagai suatu kebiasaan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, apabila dilihat kembali sejarah, keadaannya sangat berbeza. Tahukah anda, pada abad ke 18 dan 19, para wanita tidak boleh sewenang-wenangnya mandi secara terbuka di pantai. Terdapat etika dan pantang larang yang perlu dipatuhi oleh wanita yang ingin mandi di tepi pantai.

Malah, membiarkan diri dilihat oleh individu berlainan jantina (lelaki) juga dianggap tidak sopan dan merendahkan maruah wanita itu sendiri. Oleh itu, wanita yang ingin mandi di pantai mestilah melakukannya di tempat yang tertutup.

Penggunaan bilik mandi mudah alih

bilik mandi pantai 883

Bagi membolehkan wanita mandi air laut dan pada masa yang sama memelihara tubuh mereka daripada dilihat orang lelaki, maka terciptalah bilik mandi mudah-alih. Jika dilihat secara kasar, ia umpama bilik menukar pakaian yang terdapat di tepi pantai. Bezanya terdapat roda besar di bawahnya yang membolehkannya dialihkan.

Wanita yang bercadang untuk mandi akan memasuki bilik mandi ini yang juga berperanan sebagai bilik menukar pakaian. Malah, pakaian mandi pada waktu itu juga lebih tertutup dan dianggap lebih sopan jika dibandingkan dengan pakaian mandi wanita sekarang.

Bilik mandi mudah alih ini kemudiannya akan ditarik oleh seekor kuda ke laut dan dalam sesetengah kes, ditarik oleh manusia. Apabila sampai di tempat yang sesuai, wanita tersebut akan keluar melalui pintu yang menghadap ke arah laut bagi mengelakkan wanita tersebut dilihat oleh orang lain di pantai.

Bagi wanita yang tidak mahir berenang pula, mereka biasanya akan diikat dengan tali khas yang bersambung dengan bilik mandi tersebut bagi mengelakkan mereka dihanyutkan oleh ombak.

Setelah selesai mandi, wanita tersebut akan masuk kembali ke dalam bilik tersebut untuk menukar pakaiannya. Sementara itu, mereka juga akan menghantar signal kepada tukang tarik dengan mengibarkan bendera kecil menandakan mereka sudah selesai mandi dan bersedia untuk kembali ke pantai.

Sejarah penciptaan bilik mandi mudah alih

wanita mandi pantai

Penciptaan bilik mandi mudah alih ini dikatakan bermula di Great Britain sekitar tahun 1750 sebelum penggunaannya mula tersebar ke negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Perancis dan Jerman.

Antara individu yang dikreditkan untuk penciptaan ini adalah Benjamin Beale berasal dari England. Walau bagaimanapun, dakwaan ini mungkin tidak berapa tepat memandangkan terdapat bukti bahawa ciptaan ini sebenarnya sudah wujud 15 tahun sebelum itu. Walau bagaimanapun, sumbangan Benjamin Beale tidak dapat dinafikan terutamanya dalam rekabentuk bilik mandi ini.

Sebelum pemerintahan Permaisuri Victoria, adalah suatu kebiasaan lelaki dan wanita akan mandi bersama-sama secara terbuka tanpa pakaian. Perubahan tampuk pemerintahan telah membawa kepada perubahan nilai-nilai moral yang menyaksikan berenang tanpa pakaian dan bercampur antara lelaki dan perempuan dianggap sebagai tidak sopan.

Walau bagaimanapun, pemisahan antara tempat mandi lelaki dan wanita beransur-ansur hilang bermula tahun 1901 dan penggunaan bilik mandi mudah alih juga semakin berkurang. Menjelang 1920-an, penggunaan bilik mandi seperti ini dikatakan telah pupus sepenuhnya.

Kredit:

  1. Victoriana Magazine
  2. BBC News
  3. Fast Company
  4. The Vintage News



Hakcipta iluminasi.com (2017)