Kredit foto: Instagram Haqiem Rusli

Penyanyi remaja, Haqiem Rusli yang menyatakan hasrat mahu bersara daripada dunia nyanyian pada 17 Jun lalu, akhirnya membatalkan hasrat itu demi tidak menghampakan harapan ramai.

Menghargai sokongan padu kelab peminatnya, Qiemilio, termasuk bantahan netizen yang menghalang niatnya berundur, penyanyi terbabit nekad meneruskan karier seni yang diceburi sejak kecil itu.

"Saya akan meneruskan kerjaya nyanyian. Satu sebab saya memutuskan untuk tidak berhenti menyanyi kerana sokongan padu peminat yang saya sayangi," katanya dalam kenyataan terbuka menerusi akaun media sosial, semalam.

bersara atau tidak akhirnya haqiem rusli dedah keputusan 2

Kredit foto: Instagram Haqiem Rusli

Terdahulu, Haqiem menggemparkan industri hiburan selepas memberi bayangan bakal menamatkan kerjaya seni menerusi satu catatan di laman Instagram.

Dia mendakwa berdepan kemurungan serta menjadi mangsa buli siber.

Dalam pada itu, Haqiem memohon maaf kepada mana-mana pihak yang berkecil hati dengan beberapa siri kiriman media sosial yang dikemaskininya sebelum ini.

Menyentuh rencana kerjaya, Haqiem berkata, dia mempunyai single terbaru yang sudah disiapkan sejak dua bulan lalu.

"Saya memohon maaf jika ada yang terasa dengan tulisan atau kata-kata saya di media sosial. Sejujurnya, sejak dua bulan lalu saya sudah menyiapkan kerja sempena kemunculan lagu baharu. Cuma, ketika itu, masa tidak sesuai untuk memperkenalkannya.

"Ia akan dikeluarkan dalam masa terdekat kerana saya sudah membuat keputusan meneruskan kerjaya yang saya sayangi ini," katanya yang juga menayangkan sedutan klip video single terkini berjudul Selamat Tinggal Sayang.




Hakcipta iluminasi.com (2017)