Oleh pada 07 Jul 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Haqiem Rusli

Penyanyi Haqiem Rusli, 20, mendedahkan dirinya benar-benar berdepan penyakit kemurungan hasil pemeriksaan bersama doktor pakar psikiatri, petang semalam.

Ia sekaligus menidakkan dakwaan kononnya masalah yang dialami itu hanyalah sekadar gimik.

"Doktor mengesahkan saya mengalami kemurungan sederhana, iaitu lebih tinggi daripada kemurungan ringan yang saya nyatakan semalam.

"Kemurungan mempunyai empat peringkat dan apa yang saya alami adalah peringkat ketiga. Ia lebih teruk daripada apa yang saya sangkakan. Berikutan itu, saya perlu mengambil ubat.

"Doktor turut memberitahu, sekiranya tidak dirawat, kemurungan ini boleh memberikan kesan terhadap kehidupan saya," katanya kepada BH Online.

selepas jumpa psikiatri inilah hasil pemeriksaan depresi haqiem rusli 2

Kredit foto: BH Online

Enggan menceritakan lebih lanjut, rentetan pemeriksaan yang dijalani belum selesai, beliau memaklumkan, bakal bertemujanji dengan doktor sama pada minggu hadapan.

Dalam pada itu, penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi pertandingan nyanyian kanak-kanak Idola Kecil tahun 2008 ini, berkata, dia berasa lega apabila doktor sendiri telah mengesahkan masalah depresi berkenaan. 

"Saya memang tidak boleh menghalang orang ramai daripada menuduh saya menipu, tetapi jujurnya saya mengalami kemurungan sejak awal tahun ini. Namun, saya berdegil untuk tidak mendapatkan rawatan.

"Alhamdulillah, saya lega selepas mendapatkan pemeriksaan doktor. Pusat rawatan saya kunjungi juga bukan sebarangan," katanya yang menjalani pemeriksaan selama sejam di Pusat Psikologi Antarabangsa di Taman Desa, Kuala Lumpur.

Sehari sebelum itu, penyanyi remaja tersebut mengadakan sidang media bagi mengesahkan mengenai pendedahan berkaitan masalah kemurungan yang dihadapi sejak awal tahun ini.

Haqiem turut mengemukakan permohonan maaf kepada semua pihak termasuk rakan artis yang terheret dalam perdebatan kontroversi membabitkan dirinya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)