Oleh pada 09 Jul 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Sufi Rashid & Instagram Haqiem Rusli

Sebelum ini, penyanyi Sufi Rashid melahirkan kekesalan apabila Haqiem Rusli menggunakan melodi ciptaannya untuk 'intro' lagu Selamat Tinggal Sayang tanpa kebenaran termasuk tidak memberikan kredit kepadanya selaku penyusun muzik asal.

Sufi, 27, berkata, susunan muzik itu sudah dibuat sekitar tahun lalu, justeru dia terkejut apabila mendapati 'intro' lagu terbaharu Haqiem diambil daripada hasil kerjanya.

"Apabila ramai yang berkongsi lagu itu di media sosial, saya pun dengarkannya. Memang tak sangka susunan muzik yang saya buat dalam bentuk demo untuknya, dijadikan 'intro' untuk lagu baru itu," katanya kepada Harian Metro.

Bukan soal penghargaan apatah lagi bayaran, sebaliknya penyanyi Aku Sendiri itu sudah selesa jika diminta izin mengikut prosedur sewajarnya.

sufi rashid dedah bagaimana haqiem rusli curi melodinya 2

Kredit foto: Instagram Sufi Rashid

"Sebelum dia menempa nama seperti hari ini, selalunya dia akan buat demo dengan menggunakan gitar. Sebagai orang yang boleh dikatakan rapat dengannya, saya nak sokong apa yang dia lakukan.

"Satu hari, dia beritahu saya yang dia nak buat demo yang lebih 'proper', jadi saya susun semula lagu itu dan mainkan dengan piano.

"Saya tak tahu sama ada ini salah Haqiem sendiri atau pihak pengurusannya. Kalau dia minta izin untuk gunakan demo yang saya buat itu atau kredit nama sebagai penyusun, tak jadi masalah. Ini tidak," katanya.

Sufi menganggap, tindakan sedemikian amat murahan, lebih-lebih lagi dia mengetahui hakikat lagu tersebut bukanlah ilham Haqiem sepenuhnya.

"Murah sangatlah kalau sekadar curi idea orang lain dan kredit nama sendiri. Lagi pula, lagu itu pun bukan ciptaan dia sepenuhnya, tapi bersama seorang rakannya," katanya.

Sejak tengah malam Rabu lalu, luahan terkilan Sufi yang dikongsi di saluran laman sosial miliknya, iaitu Instagram dan Facebook hangat didebatkan netizen.

Namun difahamkan konflik tercetus antara mereka sudah diselesaikan secara baik.




Hakcipta iluminasi.com (2017)