Di era ini, sekiranya kita sebutkan nama Apple atau mendiang Steve Jobs khasnya - reaksi yang akan kita dapat mempunyai dua kategori berbeza. Yang pertama adalah mereka yang mengangkat beliau sebagai seorang genius, pakar, visionari, berwawasan, melangkaui zaman dan bermacam lagi istilah yang menjulang nama Steve Jobs. Kumpulan kedua pula adalah mereka yang akan mengatakan semua kejayaan Steve Jobs adalah hasil mencuri idea pihak lain.
BESARKAN TEKS A- A+
Yang mana satu betul? Sebenarnya kedua-duanya salah. Jobs bukanlah seorang genius yang mencipta sesuatu yang baru dan belum pernah ada, dia banyak bergantung dengan idea orang lain. Bagaimanapun untuk mengatakan dia pencuri juga salah, kerana kebanyakan idea yang dia ambil - diambil secara sah.
Ada sebuah kisah yang kerap kali dirujuk berkenaan hubungan Steve Jobs dengan syarikat gergasi (satu masa dulu) Xerox yang berjaya menggambarkan realiti sebenar bagaimana Jobs berfikir, menjelaskan bagaimana inovasi menjadi tulang belakang apa saja yang beliau lakukan - bukan originaliti selain dibantu sifat berani mencuba sesuatu yang baru.
Menawarkan perjanjian aneh dengan Xerox
Pada tahun 1979, Apple ketika itu bergelar sebuah firma teknologi yang hangat diperkatakan berikutan kejayaan siri komputer peribadi Apple I dan Apple II. Semua pihak merebut pegangan sahamĀ yang bakal dilancarkan dalam syarikat yang berjaya menaikkan nilainya daripada $775 ribu kepada $118 juta - dalam tempoh 2 tahun.
Mengetahui kedudukan Xerox sebagai antara peneraju pembangunan teknologi ketika itu, Steve Jobs yang baru berusia 24 tahun menawarkan pegangan saham Apple kepada syarikat tersebut pada nilai $1 juta dengan syarat unik; Xerox perlu membenarkan beliau meninjau apa yang ada dalam makmal penyelidikan Xerox di Palo Alto Research Centre (PARC).
Selepas beberapa kali sesi perbincangan bagi memuktamadkan perjanjian kedua-dua syarikat, akhirnya Xerox bersetuju menerima tawaran Jobs walaupun ramai di pihak Xerox merasakan perjanjian itu kurang menguntungkan mereka.
Selepas perjanjian dimeterai, Jobs diberikan 2 sesi lawatan yang dikehendaki. Salah satu sesi melibatkan satu demonstrasi teknologi terkini sistem Xerox Alto, model komputer Xerox terbaru pada waktu itu. Jurutera Xerox bernama Larry Tesler menjalankan demonstrasi itu mengawal paparan di skrin dengan menggunakan peranti yang dipanggil tetikus, berbeza dengan kaedah input biasa siri komputer Apple dan komputer ketika itu yang masih menggunakan papan kekunci sepenuhnya.
Dengan mudah Tesler menukar tetingkap paparan yang ada serta menukar ke program lain, tanpa perlu menaip. Tesler juga menunjukkan pada Jobs sebuah perisian pemproses perkataan dan demo menaip e-mel yang kemudiannya di hantar kepada salah seorang rakan sejawatnya. Rombongan Apple ketika itu diwakili oleh Jobs dan seorang jurutera bernama Bill Atkinson terpesona sekali melihat sistem tetikus dan antaramuka grafik yang digunakan Xerox, tanpa sedar wajah mereka hampir melekat dengan monitor ketika membeleknya.
Jobs sangat teruja dengan apa yang dipersembahkan oleh Xerox kepadanya hari itu. Satu perkara saja bermain di fikiran Jobs - 'kenapa Xerox tidak memasarkan teknologi ini dengan betul?'
Dalam sesi maklum balas, Steve Jobs secara terbuka mengkritik Xerox yang tidak mampu mengenalpasti potensi hasil daripada teknologi yang ada dalam tangan mereka.
"Teknologi ini sangat hebat! Ini sesuatu yang merevolusikan teknologi!" jerit Jobs hari itu takjub dengan teknologi yang dimiliki Xerox, sambil merasa sangat kecewa dengan apa yang Xerox bina dengan teknologi tersebut.
Menginovasikan rekaan tetikus
Kegagalan sistem Xerox Alto yang dilancarkan pada tahun 1981, boleh dikatakan berpunca daripada kelajuan sistem itu yang agak perlahan dalam kuasa pemprosesannya serta perkakasan yang kurang menepati keperluan. Syarikat Xerox mengambil keputusan menghentikan usaha membangunkan sistem komputer sendiri atas kegagalan Xerox Alto.
Walaupun begitu, kegagalan Xerox Alto memberikan peluang kepada Steve Jobs untuk memperbetulkan kesilapan Xerox menerusi syarikatnya sendiri. Hasil lawatannya dua tahun sebelum itu, cabaran besar diberikan kepada pasukannya untuk memperkenalkan cara baru penggunaan komputer. Asasnya perlu datang daripada apa yang dia saksikan di Xerox semasa demonstrasi tersebut - penggunaan menu, antaramuka grafik, paparan tetingkap dan yang lebih penting; kawalan menggunakan tetikus!
Apa yang berlaku di Apple selepas sesi lawatan ke Xerox itu amat menarik untuk diceritakan.
Demonstrasi itu berlangsung pada hari Rabu dan keesokannya tanpa berlengah-lengah, Jobs mengaturkan mesyuarat bersama Dean Hovey, pengasas sebuah syarikat rekaan industri yang dipercayainya. Pada mulanya Hovey mengeluarkan beberapa idea bagaimana untuk menambah baik sistem komputer Apple ketika itu tetapi Jobs hanya meminta satu perkara saja - membangunkan semula tetikus.
Untuk pengetahuan semua, tetikus ketika itu merupakan sesuatu yang sangat asing bagi Hovey jadi apa yang boleh dia katakan pada Jobs berkenaan tetikus adalah "apa itu tetikus?" Selepas menceritakan serba sedikit tentang fungsi tetikus serta apa yang boleh peranti itu lakukan berdasarkan demonstrasi di Xerox - Hovey mula memahami apa yang dikehendaki Jobs.
Melihat Hovey sudah mula jelas dengan visinya, Jobs menerangkan dengan lebih terperinci apa yang dimahukannya; berbeza dengan tetikus Xerox yang berharga lebih $400 setiap satu serta sangat mudah rosak, Hovey diminta mencipta sebuah tetikus yang mampu dikeluarkan dengan modal $15 serta tahan berfungsi untuk beberapa tahun.
Selain itu, satu ciri yang sangat penting dan wajib ada atas permintaan Jobs adalah tetikus itu perlu boleh digunakan di atas pelbagai jenis permukaan, tak kiralah formica mahupun fabrik seluar yang dipakai pengguna ketika itu.
Permintaan Jobs agak kabur bunyinya tanpa ada arahan terperinci, jadi Hovey terus ke pasaraya membeli deodoran kerana di dalam setiap deodoran ada bebola pelincir.
Itu adalah objek pertama yang difikirkan sesuai untuk memenuhi visi Steve Jobs dalam memudahkan pergerakan input tetikus dikesan dan direkodkan. Hovey juga membeli beberapa piring besi berbentuk kotak untuk dijadikan rangka tetikus dalam eksperimen beliau.
Pelancaran Apple Lisa
Apple Lisa yang dilancarkan pada tahun 1983 memperkenalkan kepada dunia beberapa gagasan baru dalam dunia perkomputeran hasil daripada apa yang disaksikan Jobs dan Atkinson pada tahun 1979.
Walaupun begitu dari segi jualan, model Apple Lisa merupakan model yang gagal kerana harganya yang terlalu tinggi. Sistem perisian yang diperkenalkan menggunakan sistem grafik antaramuka yang mengubah cara orang ramai menggunakan komputer.
Tetikus rekaan Hovey pula mengubah tetikus Xerox yang terlalu kompleks dengan rekaan 3 butang, Lisa Mouse hanya mempunyai satu butang dan yang lebih penting, rekaan ini kekal menjadi acuan penggunaan sistem tetikus dan menu sistem operasi Apple berpuluh tahun lamanya.
Apa yang menarik untuk diperkatakan, tetikus itu berjaya dibangunkan dengan kos $25, mempunyai bentuk yang mesra dengan bentuk tangan pengguna serta menggunakan bebola besi untuk memudahkan pergerakan. Kajian mendalam Hovey menggunakan beribu model prototaip, bereksperimen tentang maklumbalas butang serta bunyi yang diterima oleh pengguna setiap kali melakukan 'klik' akhirnya berjaya melahirkan tetikus yang memperbaiki kelemahan tetikus Xerox dan diiktiraf memang mendahului zaman.
Selepas sistem Apple Lisa dilancarkan, Xerox PARC dilihat tidak berpuas hati dengan produk yang telah dikeluarkan oleh Apple. Mereka menuduh Jobs mencuri semua idea daripada mereka, sedangkan idea untuk melahirkan tetikus sudah dimulakan lebih awal dan paparan antara muka menggunakan grafik yang dibangunkan Apple - jauh mendahului apa saja yang dimiliki oleh Xerox ketika itu dari segi keberkesanan dan pengalaman pengunaan.
Apa yang sangat jelas di sini - tidak dapat dinafikan pada ketika itu Xerox mempunyai teknologi yang hebat serta baru. Namun sistem yang mereka bangunkan memerlukan kemahiran yang sangat tinggi untuk menggunakannya.
Apa yang Steve Jobs telah berjaya lakukan, adalah mengambil idea-idea Xerox (dengan kebenaran!) seterusnya menambahbaik dan menginovasikannya untuk menjadi sesuatu yang semua orang boleh gunakan, lebih mesra pengguna. Sebagai contoh, Xerox sendiri mengakui kepada Jobs untuk mengajar orang ramai sehingga mahir bagaimana mahu menggunakan tetikus 3 butang, merupakan sesuatu yang sangat sukar.
Jadi apa yang Jobs dan Apple buat? Mereka cipta tetikus satu butang.
Steve Jobs (1955-2011)
Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel 'Steve Jobs and XEROX : The Turth About Innovation' yang diterbitkan pada bulan Mei 2019.