burung cenderawasih 82

Sama seperti haiwan lain, secara umummnya seekor burung juga perlu berehat dan tidur. Oleh itu, setelah beberapa ketika terbang diudara, maka burung tersebut perlu turun ke atas tanah atau hinggap di atas dahan pokok untuk melepaskan lelah dan tidur.

Segelintir daripada kita pasti perlu mendengar mengenai burung Cenderawasih. Malah, ada yang mendakwa burung ini berasal dari kayangan kerana kecantikannya dan keunikannya. Apabila mati, bangkainya tidak akan jatuh ke bumi.

Selain itu, ada juga pihak yang mengatakan burung ini sangat sukar ditemui kerana burung ini tidak perlu hinggap di atas bumi dan sentiasa terbang di kawasan yang sangat tinggi. Sejauh benarkah dakwaan ini atau adakah ianya sekadar mitos yang telah lama berlegar-legar dalam kalangan masyarakat kita?

Kenali burung Cenderawasih

spesis burung cenderawasih 978

Kepelbagaian spesis burung cenderawasih

Ternyata apa yang kita sering dengar mengenai haiwan yang sangat cantik ini hanyalah sekadar mitos yang diperturunkan dari generasi ke generasi. Realitinya, burung ini sememangnya boleh ditemui di kawasan tertentu di atas muka bumi ini. Malah, orang Barat dahulu sering menggunakan bulunya sebagai perhiasan di topi.

Burung Cenderawasih juga dikenali sebagai "Bird of Paradise" dalam kalangan orang Barat. Burung ini berasal daripada keluarga Paradisaeidae dan terdapat 43 spesis burung ini dimana majoritinya berada di Papua, Indonesia.

Burung ini dapat dikenalpasti dengan warna yang sangat unik pada bulunya dan kebiasaannya mempunyai ekor yang panjang. Sebagian besar burung ini hanya terhad kepada habitat hutan hujan tropika yang padat. Makanan utamanya adalah buah-buahan dan arthropod.

Daripada manakah asal-usul mitos ini?

penyeludupan cenderawasih

Berbalik kepada soalan mitos di atas, daripada manakah asal-usul mitos yang tersebar luas mengenai burung Cenderawasih ini? Terdapat beberapa sumber popular bagaimana mitos ini boleh tersebar dari mulut ke mulut mengenai burung ini.

Kisah mengenai burung ini telah dimuatkan dalam sebuah kitab kuno yang bertajuk  Hikayat Tajul Muluk. Dalam kitab ini, ada dinyatakan bahawa burung Cenderawasih ini asalnya dari kayangan dan amat jarang ditemui oleh manusia kerana ia tiada ditemui.

Menurut penulis kitab ini juga, burung ini terbang tinggi di angkasa dan jika terbang rendah ke bumi, itu bermakna hayat burung ini sudah hampir ke penghujung kerana ia akan mati sebaik menjejakkan kaki ke tanah. Bangkainya juga didakwa tidak mereput kerana burung ini dikatakan hanya memakan embun.

corak cenderawasih pada batik

Corak cenderawasih pada batik

Penulisnya turut menambah bahawa burung ini menghasilkan bau wangian yang sangat mengasyikkan dan sukar digambarkan. Malah, setiap inci tubuhnya juga mempunyai manfaat tertentu.

Selain kitab kuno Hikayat Tajul Muluk, kisah mengenai burung ini juga dimuatkan dalam kitab Sahibul Hikayat. Dalam kitab ini, dikatakan bahawa bulu burung ini tersangat berharga dan apabila gugur ke bumi, ia akan bertukar menjadi batu permata yang sangat berharga.

Bulunya juga didakwa mempunyai kuasa kepada si pemakainya. Sekiranya seseorang memakai bulu burung ini di kepala, ianya akan memberi kuasa penunduk dan pengasih kepada sekalian manusia. Ternyata dakwaan-dakwaan seperti ini tidak masuk akal sama sekali dan bagi orang Islam ianya sudah pasti akan merosakkan akidah.

Mitos burung cenderawasih di kalangan orang Barat

perhiasan topi bulu cenderawasih

Penjelajah Barat yang datang ke kawasan yang kini dikenali sebagai Papua juga percaya bahawa burung ini bergantung hidup pada embun dan nektar pada bunga. Mereka percaya bahawa burung ini juga tidak berkaki menyebabkan burung ini diberi nama saintifik apoda yang bermaksud "tanpa kaki".

Pada awal 1900-an, bulu burung cenderawasih ini biasanya digunakan sebagai perhiasan bagi topi yang dipakai oleh golongan bangsawan. Disebabkan permintaan yang tinggi dan harganya yang mahal, ramai orang Barat pada ketika itu menyeludup keluar bulu burung ini keluar dari Papua New Guinea.

Antara spesimen burung ini yang terawal adalah hadiah daripada penduduk Papua New Guinea pada ketika itu kepada Raja di Sepanyol pada tahun 1522. "Hadiah" burung yang diberikan itu diberikan tanpa kaki dan bulu, menguatkan lagi pendapat bahawa burung ini sangat istimewa.

Realitinya, kedua-dua bahagian burung ini telah diambil terlebih dahulu untuk diperdagangkan. Walaupun segelintir penjelajah Barat yang datang ke Papua New Guinea sudah mengetahui akan fakta sebenar mengenai burung ini, mitos yang mengatakan burung ini datang dari syurga sengaja tidak diperbetulkan bagi memastikan mereka dapat terus menjual bulu burung ini pada harga yang sangat mahal.

Disebabkana aktiviti perburuan secara haram ini, maka sesetengah spesis ini dikatakan semakin diancam kepupusan sehingga memaksa pihak pemerintah tempatan untuk mengharamkan aktiviti pemburuan burung ini.

Adakah wujud burung yang tidak jejak tanah?

alpine swift 89

Tamat sudah penjelasan mitos mengenai burung Cenderawasih yang dikatakan datang dari syurga dan tidak pernah jejak di atas tanah. Namun, adakah wujud burung yang benar-benar tidak jejak ke tanah?

Jawapannya, tidak benar. Namun, sekumpulan saintis baru-baru ini telah membuat penemuan mengenai keunikan burung Alpine Swift yang mampu terbang di udara tanpa henti selama 6 hingga 10 bulan lamanya. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?

Para saintis membuat teori bahawa burung ini berkemungkinan mempunyai 2 bahagian otak sama seperti dolfin dimana apabila 1 bahagian berehat, satu bahagian otak lagi akan berada dalam keadaan sedar. Kedua-dua bahagian otak ini akan berada dalam keadaan berjaga-jaga secara alternatif.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. National Geographic
  3. New Scientist


Hakcipta iluminasi.com (2017)