Terdapat pelbagai spesies burung yang dikenal pasti tidak boleh terbang di dunia seperti keluarga itik. Namun di dalam artikel kali ini kami ingin berkongsikan dengan anda 10 lagi spesies burung yang tidak boleh terbang.

New Zealand menjadi habitat kebanyakan burung tidak boleh terbang ini, namun spesies-spesies burung ini menghadapi kepupusan dengan peningkatan bilangan pemangsa seperti manusia, tikus, kucing dan lain-lain. Burung gergasi Moa misalnya telahpun mengalami kepupusan hanya 100 tahun selepas kedatangan manusia. Namun, beberapa burung gergasi lain seperti emu dan burung unta mempunyai sistem pertahanan yang lebih baik dan masih mampu bertahan dengan serangan pemangsa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mari kita tinjau 10 spesies burung tidak boleh terbang yang masih wujud atas muka bumi:

10. Grebe Amerika Selatan

 

Walaupun kebanyakan spesies grebe agak berat untuk terbang, terdapat dua spesies burung ini yang tidak boleh terbang sama sekali iaitu grebe Junin dan grebe Titicaca. Kedua-dua spesies ini merupakan spesies burung yang diancam kepupusan di Amerika Selatan.

Walaupun tidak mampu terbang untuk melarikan diri daripada haiwan pemangsa, kedua-dua spesies ini merupakan pakar selam yang sangat cekap. Apa yang pelik mengenai spesies grebe ini adalah mereka suka berhias dan adakalanya memakan bulu sendiri tanpa sebab. Bulu burung grebe ini kalis air dan digunakan untung mengimbangkan badan di atas permukaan air. Walaupun pandai menyelam dan berenang, namun ancaman utama seekor grebe dewasa ialah tersangkut pada pukat ikan.

9. Flightless Cormorant

flightless cormorant

Di Kepulauan Galapagos, terdapat sejenis spesies burung flightless cormorant dinamakan corvus marinus yang berasal daripada perkataan Latin bermaksud gagak laut. Spesies ini merupakan yang terbesar antara semua spesies cormorant dan memiliki sayap kecil yang tebal.

Mereka tidak boleh terbang walaupun dilihat sering mencuba. Seperti grebe, spesies ini juga merupakan pakar selam dan banyak berada di lokasi berhampiran laut atau tasik. Para saintis berpendapat spesies ini telah berubah kerana kekurangan pemangsa di kepulauan ini membuatkan mereka jarang terbang dan setiap generasi baru juga mengalami perubahan fizikal.

8. Greater Rhea

greater rhea 123

Burung terbesar di Amerika Selatan ialah Greater Rhea. Nama “rhea” diambil daripada perkataan Greek yang membawa maksud sayap. Anda dapat melihat sayapnya yang besar jika ia berada dalam keadaan panik atau terancam. Burung ini biasanya berlari zig-zag sambil cuba mengangkat kedua-dua belah sayapnya.

Spesies ini suka berkeliaran di tanah lapang dan tidak seperti rhea yang lain, Greater Rhea ini lebih senang menyesuaikan diri di mana-mana kawasan sekalipun. Apa yang menarik tentang burung ini adalah caranya mengawan. Rhea jantan akan membuat sarang yang besar dan memikat banyak rhea betina untuk menghasilkan dan meninggalkan telur mereka di dalam sarang itu. Telur itu akan dijaga sepenuhnya oleh rhea jantan termasuklah melakukan tugas mengeram.

7. Emu

emu 232

Di Australia, burung unta telah mula diternak untuk diproses menjadi makanan dan ia dapat menyesuaikan diri dengan baik di sana. Walaupun rata-rata burung unta adalah sedikit tinggi, namun secara fizikal, emu merupakan spesies burung terbesar yang menjadikan negara Australia sebagai habitat utamanya.

Burung ini tahan lasak dan mampu menahan lapar sehingga berminggu-minggu lamanya. Seperti kebanyakan burung lain, ia akan menelan batu-batu kecil untuk membantu penghadaman makanan di dalam usus. Emu gemarkan kawasan lapang yang terbuka dan Australia merupakan tempat yang sangat sesuai untuk haiwan ini hidup dan membiak. Emu yang tidak boleh terbang ini menggunakan kelajuan berlari untuk menyelamatkan diri dari pemangsa.

6. Kasawari Selatan

southern cassowary 98

Burung yang memiliki fizikal unik dan menarik dengan kepala berwarna biru ini hidup di kawasan hutan tropika Papua New Guinea. Ia adalah salah satu daripada 3 spesies yang terdapat di sini. Pemilihan tempat tinggal burung kasawari ini sedikit berlainan dengan emu atau burung unta kerana ia lebih gemar tinggal di kawasan hutan semak berbanding padang rumput yang lapang.

Walaupun ia sering mengelak apabila bertembung dengan manusia atau haiwan lain, namun burung ini dilaporkan boleh menyerang manusia, anjing dan sebagainya jika rasa terancam. Sebanyak 200 kes serangan kasawari yang dilaporkan setahun. Ini berpunca daripada kurangnya informasi seperti larangan memberi makan kepada hidupan liar kerana kebanyakan kes ini berpunca daripada pemberian makanan. Apa yang penting, biarkanlah mereka hidup secara liar mencari makanan sendiri. Kita hanya perhatikan kecantikan mereka dari jauh sahaja.

5. Inaccessible Island Rail

inaccessible island rail

Terdapat lebih 20 spesies burung rail dan kesemuanya tidak boleh terbang. Ini disebabkan mereka tinggal di pulau yang terpencil dengan jumlah pemangsa yang sedikit membuatkan mereka berevolusi kerana jarang menggunakan sayap. Burung rail di Pulau Inaccessible ini adalah burung tidak boleh terbang yang paling kecil di dunia. Seperti namanya, ia hanya boleh dijumpai di Pulau Inaccesible sahaja. Pulau yang sukar didatangi kapal atau manusia ini menjadi tempat habitat yang selamat bagi burung ini untuk jangka masa yang lama.

4. Burung unta

ostrich

Ostrich atau burung unta merupakan keluarga burung yang paling besar. Ia memerlukan banyak tumbuhan dan serangga setiap hari untuk menampung tabiat pemakanan bagi tubuhnya yang besar. Ia juga merupakan burung yang terpantas berlari dan mempunyai telur yang paling besar di dalam dunia burung.

Spesies burung Afrika ini biasanya bergerak di dalam kumpulan yang kecil (seekor burung jantan biasanya mengawasi antara 5-7 ekor betina). Kini, burung unta banyak diburu kerana dagingnya yang enak serta bulu dan kulitnya boleh dijadikan pelbagai produk. Seperti spesies burung yang lain, burung unta juga boleh menyebabkan kecederaan jika ia berasa diri dan anaknya terancam oleh keadaan sekeliling.

3. Penguin Maharaja

emperor penguins

Umum mengetahui bahawa penguin merupakan salah satu spesies burung yang tidak boleh terbang. Emperor penguin ini merupakan spesies penguin paling besar. Pelbagai kisah menarik mengenai penguin ini boleh diketahui. Antaranya ialah mereka akan berenang dan berhijrah sejauh ribuan batu apabila tiba musim mengawan.

Apabila telah mengenal pasti pasangan mengawan, penguin jantan akan setia dengan pasangan yang sama seumur hidup. Setelah menghasilkan telur, penguin betina akan menyerahkan tanggungjawab menjaga dan mengeram telur kepada pasang jantannya. Siapa sahaja yang melihat penguin yang comel ini pasti tertawan.

 2. Kakapo 

kakapo

Burung Kakapo yang berasal dari New Zealand ini merupakan satu-satunya burung kakak tua yang tidak boleh terbang. Burung yang merupakan spesies kakak tua terbesar ini adalah haiwan nokturnal yang hanya keluar pada waktu malam. Burung ini sangat terkenal di kalangan kaum Maori di New Zealand dan banyak kisah mengenainya diceritakan dalam hikayat dongeng mereka.

Kini hanya tinggal sebanyak 150 ekor kakapo sahaja yang masih hidup dan menjadi haiwan yang dilindungi. Mereka boleh dijumpai di tiga kawasan persisiran pantai yang tiada haiwan pemangsa. Usaha untuk memelihara spesies ini sedang giat dijalankan dan para penyelidik memantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa.

1. Kiwi kiwi

Burung Kiwi merupakan salah satu simbol kebangsaan negara New Zealand yang sangat dibanggakan. Terdapat lima spesies burung kiwi di negara ini dan kebanyakannya telah diancam masalah kepupusan. Burung kiwi dewasa tidak menghadapi masalah untuk mempertahankan diri dari pemangsa berbanding burung kiwi muda. Ada pihak yang cuba membiak dan membela kiwi kecil dan muda sebelum mereka benar-benar bersedia untuk dilepaskan ke alam kehidupan liar yang sebenar. Kiwi juga merupakan spesies burung yang menghasilkan telur terbesar jika diambil kira skala saiz badan.

 




Hakcipta iluminasi.com (2017)