tengku ibrahim abbas taha anjng muzakarah

Walaupun jelas hukum berkenaan pemeliharaan anjing agak jelas di negara kita, masih ada banyak pihak cuba mempersoalkan perkara itu dengan hujah yang kadangkala tak masuk akal.

Hujah seperti boleh sertu (dibersihkan kawasan najis) dicanang seolah-olah perkara itu mudah, dengan perkongsian tokoh-tokoh agama kontemporari serta masa lampau yang didakwa membenarkan peliharaan anjing - dijadikan hujah penguat betapa kolotnya masyarakat Islam Malaysia zaman sekarang dalam isu anjing.

Salah satu bukti yang sering dikongsikan dakwaan pihak ini melibatkan gambar bekas Mufti Kelantan satu ketika dulu yang didakwa mengambil pendekatan mesra anjing. Apakah kisah sebenar di sebalik sejarah ini?

Benarkah dakwaan Mufti Kelantan mesra anjing?

haji abbas taha dalmatian

Gambar yang kami katakan sering ditular adalah gambar di atas, diambil daripada buku tulisan seorang penyelidik bernama William R. Roff berjudul 'Studies on Islam and Societies in Southeast Asia.'

Cuba anda 'google' kan 'mufti kelantan anjing' anda pasti mendapat salinan gambar tersebut; lengkap dengan gambar 'mufti Kelantan' sedang memegang anjing, diterbitkan oleh portal politik The Malaysian Insider (kini tidak aktif) pada 23 Oktober 2014.

Gambar itu menjadi senjata utama pihak-pihak pro-anjing dalam mempromosikan 'kekolotan' masyarakat Melayu Islam kini, yang dikatakan mempunyai minda tertutup jika dibandingkan dengan masyarakat Melayu terdahulu.

Untuk pengetahuan anda - gambar itu bukanlah gambar Mufti Kelantan dan gambar itu sebenarnya mempunyai konteks yang sangat besar dalam sejarah perkembangan Islam di negara kita, khasnya dalam isu berkaitan mazhab, fatwa dan kekhilafan.

Pergelutan adik-beradik mencetuskan polemik

muka depan buku william roff abbas taha anjing

Individu yang didakwa Mufti Kelantan itu sebenarnya adalah Haji Abbas Taha, seorang ulama' memegang jawatan Qadi Besar Singapura sekitar dekad 1930-an.

Ketika itu, di kalangan ulama' Tanah Melayu wujud dua kelompok aliran yang berbeza pandangan di antara ulama' berusia muda dan tua, dikategorikan pertembungan Kaum Muda dan Kaum Tua mencetuskan perdebatan dalam isu-isu melibatkan pelbagai aspek, khususnya isu-isu khilaf atau perbezaan pandangan di antara mazhab.

Kaum Tua berpegang kuat kepada pendapat Mazhab Shafie yang agak keras pandangannya. Sementara Kaum Muda pula yang banyak meneladani ilmu-ilmu dari pelbagai pandangan mahu Islam di Tanah Melayu diperkembangkan agar lebih terbuka untuk mengambil pandangan berbeza.

Salah satu topik yang membawa perdebatan hangat muncul ketika itu melibatkan seekor anjing yang juga haiwan peliharaan Putera Mahkota Kelantan, Tengku Ibrahim. Anjing dalam gambar yang sering tular itu adalah anjing milik Baginda.

william r roff pengkaji sejarah

William R. Roff (gambar di atas), seorang pengkaji sejarah Asia Tenggara merekodkan perdebatan yang tercetus dalam kontroversi tersebut.

Tengku Ibrahim membela seekor anjing jenis Dalmatian yang dibiarkan duduk dalam istana kediaman Baginda. Tindakan itu kurang disenangi adik kepada Baginda, Tengku Maharani yang merasakan sukar untuk melawat kediaman adiknya, khasnya bimbang dengan status air liur anjing itu yang pastinya meleleh di merata-rata tempat.

Tidak diketahui apa sebabnya Tengku Ibrahim mahu membela anjing tersebut. Ada pihak mengatakan dia terikut-ikut dengan gaya hidup pemimpin British ketika itu yang turut membela haiwan sebegitu dalam rumah.

Fatwa kontroversi ulama' beraliran muda

tengku ibrahim sultan ibrahim

Bagi menyelesai polemik itu, Tengku Ibrahim memohon agar satu panduan atau fatwa dikeluarkan, oleh seorang ulama yang baik dengannya bernama Nik Abdullah bin Wan Musa yang baru tamat pengajian di Mekah.

Nik Abdullah adalah anak kepada bekas Mufti Kelantan Wan Musa bin Wan Abdul Samad, terkenal sebagai pewaris ulama' generasi baru yang berilmu serta antara nama paling besar di kalangan ulama' Kaum Muda. Kontroversi mula marak selepas Nik Abdullah membenarkan tindakan Tengku Ibrahim.

Pandangan Haji Nik Abdullah disanggah golongan ulama' Kaum Tua. Tersepit di antara dua pandangan, Tengku Ibrahim memohon agar sebuah majlis muzakarah bagi membincangkan isu berkenaan anjing peliharaan di kalangan masyarakat Islam diadakan.

Dalam majlis itu, Tengku Ibrahim diwakili oleh Wan Musa sendiri, Haji Abbas Taha (Individu dalam gambar) ketika itu Qadi Besar Singapura dan Burhanuddin Muhammad Noor - kedua-duanya jemputan khas dari Singapura, beraliran Kaum Muda yang lebih progresif pandangan mereka.

Sementara Tengku Maharani pula diwakili Mufti Kelantan Haji Ibrahim Yusoff, Ahmad Mahir yang menjawat jawatan Qadi Kelantan serta Ahmad Abdul Manan dan Abdullah Tahir, dua orang wakil Mesyuarat Ulama' Kelantan.

Nik Abdullah malangnya telah meninggal dunia sebelum majlis tersebut dapat dilangsungkan.

Sekolah aliran baru dan aliran lama bertembung

sekolah pemikiran aliran muda tua ulama islam

Dua kelompok berbeza pandangan itu bertembung dalam majlis yang diadakan di Istana Negeri pada bulan Januari 1937, disaksikan lebih 2,000 hadirin khas khusus untuk membincangkan berkenaan isu pemeliharaan anjing oleh orang Islam.

Selepas bertikam lidah berdasarkan kepada hujah dan bukti yang ada, tidak ada kata putus dapat dikeluarkan daripada perbincangan itu. 

Dalam menjustifikasikan fatwa membenarkan belaan anjing, Nik Abdullah pada awalnya mengguna pakai pandangan Imam Malik dan mengenepikan pandangan Imam Shafie. Imam Malik membenarkan belaan anjing, tanpa perlu tuan punyanya membersihkan kediaman atau apa saja kawasan yang terkena air liur anjing tersebut.

Pandangan itu menjadi asas kepada hujah panel yang menyokong Tengku Ibrahim, di mana mereka merasakan tidak ada kewajipan untuk masyarakat Melayu tegas menurut hanya satu mazhab sahaja dalam apa saja isu, sebaliknya berpandangan orang Melayu Kelantan perlu belajar menerima pandangan 3 lagi mazhab utama yang berbeza.

Perbincangan yang pada awalnya berkait status air liur anjing serta pemeliharaan anjing, membesar sehingga turut mempersoalkan keperluan ketetapan amalan masyarakat Islam Kelantan berdasarkan mazhab Shafie secara menyeluruh, yang menjadi salah satu asas Majlis Agama Kelantan.

Gambar mesra anjing mula disebarkan

tengku ibrahim dan panel debat isu anjing

Bagi kumpulan Kaum Tua, mereka melihat perkara itu bukan sekadar dalam ruang litup mazhab semata-mata.

Sebaliknya mereka merasakan apa yang cuba dipromosikan oleh perbuatan Tengku Ibrahim itu sebagai sesuatu perbuatan yang hanya akan menimbulkan kesulitan kepada masyarakat, sekiranya orang kebanyakan turut sama meniru perbuatan Baginda.

Mereka juga melihat perbuatan membela anjing itu mencacatkan adat resam masyarakat Melayu ketika itu, yang jelas sudah mengguna pakai pandangan Imam Shafie sejak zaman berzaman.

Ekoran daripada tiada satu kesimpulan dapat dibuat atas nasihat Sultan Kelantan, kedua-dua pihak bersetuju untuk merujuk Sheikh Muhammad Fahm - ketika itu ketua majlis fatwa Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir. Haji Wan Musa mengirimkan sepucuk surat mengandungi 3 persoalan utama;

Pertama : adakah membela anjing dalam kediaman dibenarkan?

Kedua : adakah boleh air liur anjing dibersihkan mengikut kaedah saranan Imam Malik berbanding saranan Imam Shafie yang lebih berat kaedahnya?

Yang ketiga; adakah pandangan Mazhab Maliki berkenaan kebersihan anjing bercanggah dengan pandangan agama Islam?

Sheikh Muhammad Fahm menjawab 'dibenarkan' untuk dua soalan awal dan menjawab 'tidak' untuk soalan terakhir, memberikan kemenangan moral kepada kumpulan Tengku Ibrahim yang didokong ulama' lebih modernis.

Belalah jika ada keperluannya

foto anjing dicat harimau

Dari situlah risalah yang memaparkan gambar Tengku Ibrahim, Haji Wan Musa dan Haji Abbas Taha bersama anjing yang menjadi perbualan ramai ketika itu dicetak serta diedarkan kepada orang ramai.

Kami tidak tahulah bagaimana pada abad ke 21, gambar tersebut yang jelas dirujuk atas nama Haji Abbas Taha ditukar ganti sebagai Mufti Kelantan, Haji Ibrahim Yusoff yang kuat mempertahankan hujah pemeliharaan anjing bagi umat Islam berdasarkan Mazhab Shafie, yang langsung mengharamkannya tanpa sebab-sebab atau keperluan.

Bagi kami yang separa usia, kami cenderung untuk berpihak kepada pandangan Kaum Tua dan Mazhab Shafie. Mazhab Maliki memberikan kelonggaran-kelonggaran, tetapi kelonggaran itu perlulah kena dengan kesesuaian serta norma biasa masyarakat setempat. 

Walaupun Haji Abbas Taha ketika itu duduk sebagai Qadi Besar Singapura membenarkan tindakan Tengku Ibrahim, kini dalam abad ke 21 Majlis Islam Singapura atau MUIS secara terang lebih berpihak kepada pandangan yang diutarakan oleh ulama' Kaum Tua dalam perdebatan tersebut, sebagai panduan utama. 

Kami berharap agar kesilapan perkongsian sebegini dapat dielakkan khasnya apabila melibatkan nama baik Mufti sesebuah negeri, sehingga dikaitkan dengan pandangan-pandangan yang mampu mencetuskan kontroversi.

Rujukan

Whence Cometh the Law? Dog Saliva in Kelantan, 1937



Hakcipta iluminasi.com (2017)