Bermula daripada acara kontroversi 'I Want to Touch A Dog' yang pernah dianjurkan dahulu yang mendapat pelbagai kritikan daripada pelbagai pihak, nampaknya masyarakat Malaysia akan lebih kerap diuji dengan isu anjing, dikaitkan dalam masyarakat Muslim di Malaysia.
Apa yang membingungkan adalah bagaimana munculnya segelintir individu Muslim yang secara terbuka bangga mempunyai anjing sebagai binatang peliharaan yang digomol seakan anak sendiri. Kenapa ini berlaku? Adakah ini bukti kegagalan badan agama atau sistem pendidikan kita dalam mendidik umat Islam berkenaan isu ini?
BESARKAN TEKS A- A+
Atau adakah ini petunjuk pengaruh luar yang kian meresap mempengaruhi masyarakat kita melalui mesej-mesej yang sentiasa menunjukkan anjing itu rakan baik manusia yang kerap ditayangkan di dalam filem dan drama. Wallahuaklam.
Bagaimanapun, umat Islam di Malaysia haruslah jelas mengenai kemudaratan yang boleh muncul jika anjing dijadikan teman setia mereka. Mungkin ramai yang belum jelas mengenai hukum Islam dalam isu anjing ini jadi artikel ini cuba menjelaskannya.
Program gila "saya mahu menyentuh anjing"
Sebenarnya. anjing boleh dipegang tetapi haruslah dengan keperluan. Ini kerana apa yang datang dari anjing itu najis. Kahak kita yang diludah dan hingus yang meleleh pun bukan najis tetapi benda kotor, geli untuk kita pegang. Anjing pula berada dalam kategori najis berat ataupun najis mughallazah. Sepatutnya lagi menggelikan.
Oleh kerana air liur dan peluh anjing itu najis, jadi secara tak langsung mulut dan lidah anjing juga tergolong dalam kategori najis dan apa saja yang memerlukan proses sertu dalam Islam, automatiknya adalah sejenis najis.
Ramai yang memberikan alasan amalan sertu kan ada? Memang logiknya seorang Muslim boleh bersertu setiap kali selepas memegang anjing tetapi realistiknya, larat ke kita nak bersertu setiap masa?
Nabi mengelak hadir ke rumah yang ada anjing
Ada satu kisah yang diriwayatkan berkenaan Rasulullah saw. yang enggan hadir ke jemputan sebuah rumah seseorang bukan Muslim kerana di rumahnya ada anjing. Rasulullah saw. sendiri nampak cuba mengelakkan rumah tersebut. Sehinggalah Rasulullah saw. sendiri disoal salah seorang sahabatnya, "kan rumah sebelum itu ada kucing?"
Rasulullah saw. menjawab, "kucing bukan najis."
Jika kita nak berpegang kepada logik anjing memberikan banyak faedah kepada manusia untuk membelanya, di satu sudut lain anjing juga banyak membawa keburukan kepada pembelanya jika mereka Muslim. Bagaimana nak kawal sebaran najis dari anjing? Najis anjing bukan sekadar tahi atau kencingnya, daripada perspektif Islam.
Pemilik anjing tidak mampu tahu di mana air liur dan peluh anjing itu akan jatuh. Kita tidak mampu kawal semua itu jika keluarga Muslim membiarkan seekor anjing berkeliaran di dalam rumah mereka.
Jika digunakan hujah "Islam memaafkan jika kita tidak tahu" , masalahnya sampai bila kita nak berpura-pura tak tahu? Tidakkah itu lebih kepada satu alasan yang diguna untuk meringankan sesuatu yang berat?
Saja-saja cari penyakit tanpa keperluan munasabah
Apa yang paling sukar diterima sesetengah masyarakat kita ketika ini, terutamanya golongan pendokong acara "I Want to Touch A Dog" dulu adalah status haram yang jatuh dalam perbuatan menyentuh anjing tanpa keperluan.
Sedangkan perkaranya mudah saja untuk kita fahami. Sebagai contoh, jika nak menyelamatkan anjing yang jatuh ke dalam longkang, angkatlah kerana Islam tidak melarang kita buat benda baik. Islam melarang kita dengan sengaja memegang najis. Kita nak bagi anjing makan, bagilah. Kita nak bagi anjing makan dengan mulut kita macam orang barat selalu buat? Itulah yang patut dielakkan.
Dari segi praktikalnya, apa pula status solat kita kalau pakaian atau rumah kita sentiasa diselaputi najis?
Memang kita boleh sertu cuma bila anjing itu dah dipeluk digomol atas sofa, atas tilam, atas kerusi, berapa liter air kita nak guna dan berapa kilogram tanah kita nak simpan setiap hari? Lagipun, takkan setiap hari kita nak jemur sofa? Buruklah sofa kalau setiap jam kena dilalukan air tanah, kan?
Harapnya, amat jelas Islam mengharamkan kita menjaga anjing sebagai binatang peliharaan rumah atas sebab-sebab najis dan kebersihan, kerana anjing itu ditubuhnya terkandung najis mughallazah. Tidak ada masalah kita nak rasa sayang pada anjing, rasa anjing comel atau merasa simpati pada anjing.
Cuma sempadannya perlulah dijaga agar diri kita bersih setiap masa dan yang penting, kita sentiasa berusaha untuk elakkan apa yang haram, ambil berat apa yang berat.
Lagipun, dalam sesetengah situasi - anjing merupakan antara haiwan yang dibenarkan untuk kita membunuhnya.