Sumber foto: Paparan skrin YouTube / Malay Mail Online
Peminat bola sepak tanahair dikejutkan dengan pemergian seorang lagi legenda sukan tersebut, Chow Chee Keong yang menghembuskan nafas terakhir pada umur 69 tahun, pagi semalam.
Bekas penjaga gawang gol negara itu telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) semalam akibat mengalami masalah jantung.
Anak mendiang, Adrian Chow, mengesahkan perkara itu menerusi laman sosial Facebooknya.
“Pada jam 8:08 pagi (21 Februari 2018), ayah saya, Chow Chee Keong meninggalkan kita dengan tenang. Beliau telah lama berjuang dengan tabah untuk terus hidup bersama kami,” tulisnya.
Sumber foto: Gambar fail / Astro Awani
Chee Keong adalah salah seorang pemain tempatan yang bertukar ke kancah profesional dengan menyertai Jardine SA pada tahun 1970.
Dilahirkan pada 26 November 1948 di Selangor, beliau kemudiannya berhijrah ke Hong Kong bagi meneruskan hampir sepenuh kerjayanya di sana.
Beliau turut pernah bermain untuk beberapa kelab lain seperti HK Rangers dan South China AA, serta Bedford Town di England.
Di peringkat dunia, beliau telah menyarung jersi skuad kebangsaan pada seawal umur 15 tahun dan menjuarai temasya Pestabola Merdeka pada tahun 1968.
Menunjukkan prestasi cemerlang, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menobatkan Chee Keong sebagai penjaga gol terbaik selama 5 tahun berturut-turut, dari tahun 1966 hingga 1970.
Beliau turut pernah diundi sebagai penjaga gol terbaik Asia pada abad ke-20 yang dibuat oleh Persekutuan Bola Sepak Sejarah dan Statistik Antarabangsa (IFFHS).
Selain itu, bersama pasukan Malaysia, Chow Chee Keong pernah mewakili negara menerusi Kelayakan Piala Dunia sekitar tahun 1980 lalu bersara pada tahun 1985.
Menerusi sebuah kenyataan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga meluahkan ucapan takziah terhadap keluarga mendiang.
Sumber berita: Stadium Astro & Malaysiakini