Oleh pada 25 Jun 2018 kategori

Piala Dunia FIFA merupakan temasya bola sepak terbesar di dunia dan pada tahun ini Rusia telah dipilih untuk menjadi tuan rumah. 32 buah pasukan terbaik tiba dengan kekuatan penuh sebanyak 23 pemain bagi setiap pasukan. Sememangnya menjadi cita-cita setiap pemain bola sepak untuk menyarung jersi negara mereka dan menyanyikan lagu kebangsaan dengan penuh bangga untuk mewakili negara masing-masing. Impian utama adalah untuk menjulang Piala Dunia pada 15 Julai 2018.

Posisi penjaga gol seringkali dipandang remeh dan kurang menjadi perhatian dalam padang dan kecemerlangan mereka selalunya kurang mendapat penghargaan berbanding posisi serangan. Setiap skuad yang bertanding di Piala Dunia biasanya akan menyenaraikan 3 penjaga gol tetapi tidak seperti pemain di posisi lain yang akan mendapat peluang sebagai pemain gantian, peluang penjaga gol simpanan untuk bermain adalah sangat tipis kecuali jika penjaga gol utama cedera atau dibuang padang.

Dalam artikel ini, kami menyenaraikan 7 penjaga gol simpanan terbaik yang mungkin akan hanya menjadi penonton kepada rakan seperjuangan mereka di bangku simpanan sepanjang kejohanan ini berlangsung.

7. Lukas Fabianski - Poland

fabianski dan szczesny merupakan bekas rakan sepasukan di arsenal

Woijceich Szczesny dan Lukas Fabianski adalah rakan yang agak rapat sejak tempoh mereka bersama dalam pasukan Arsenal. Mereka bersaing untuk posisi yang sama namun Szczesny merupakan pilihan utama kepada pengurus Arsene Wenger, sehinggalah masalah disiplin menyaksikan beliau meninggalkan kelab, dan Fabianski berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai penjaga gol nombor satu.

Disebalik pemergian Szczesny, persaingan mereka berterusan di peringkat antarabangsa. Fabianski yang jelas merupakan pilihan kedua sehingga kejohanan Euro 2016, dengan pantas berjaya menjadi penjaga gol kegemaran penyokong dengan persembahannya yang hebat sepanjang ketiadaan Szczesny. Sepanjang pusingan kelayakan, mereka mendapat peluang yang hampir sama rata.

Persaingan mereka akan terus dapat disaksikan di Piala Dunia di Rusia, dengan kedua-duanya memiliki peluang yang seimbang, dengan hanya posisi Szczesny di Juventus dan juga senioritinya akan menjadi kelebihan buat dirinya.

6. Steve Mandanda - Perancis

mandanda tidak dapat merampas posisi lloris

Steve Mandanda kekal menjadi penjaga gol utama kelab Perancis Marseille dalam tempoh sedekad, namun pemain berusia 33 tahun ini kekal menjadi pilihan kedua untuk pasukan kebangsaannya disebabkan oleh kehadiran Hugo Lloris.

Mandanda telah membuat sebanyak 28 kemunculan untuk pasukan Les Bleus, dan kebanyakannya adalah apabila Lloris tidak bermain atau berehat. Beliau nampaknya akan kekal menjadi pilihan kedua kepada kapten pasukan Perancis Lloris pada Piala Dunia kali ini.

5. Simon Mignolet - Belgium

persembahan longlai mignolet menjadikannya penjaga gol kedua

Simon Mignolet merupakan penjaga gol pilihan utama pasukan kebangsaan Belgium selepas melakukan 'debut' pada tahun 2011, namun peranannya dengan pantas diambil alih oleh Thibaut Courtois selepas bermain untuk Atletico Madrid. Sejak itu, Mignolet kerap kali hanya memanaskan bangku simpanan dan hanya diberi peluang bermain secara penggiliran.

Persembahannya yang kurang meyakinkan sejak berpindah ke Liverpool menyebabkan Mignolet gagal memberikan saingan yang hebat kepada Courtois. Ini bermakna beliau akan terus diletakkan sebagai pemain simpanan di Rusia.

4. Roman Burki - Switzerland

burki dan sommer punyai kebolehan hampir setara

Perpindahan Roman Burki ke Bundesliga di Jerman telah menjadi titik perubahan dalam karier beliau. Selepas semusim di Freiburg, penjaga gol pasukan Swiss ini dibeli oleh Borrussia Dortmund bagi menggantikan kapten pasukan yang semakin dimamah usia iaitu Roman Weidenfeller. Pemain berusia 27 tahun ini telah menjadi penjaga gol utama Dortmund sepanjang tiga musim yang lalu.

Namun, Burki masih belum mampu untuk memecah dominasi penjaga gol Borrussia Monchengladbach iaitu Yan Sommer di kedudukan nombor satu pasukan kebangsaan.

Burki mungkin akan menghabiskan masanya dalam kejohanan Piala Dunia kali ini di bangku simpanan kecuali jika Sommer bergelut dengan masalah prestasi atau kecergasan. 

3. Pepe Reina - Sepanyol

reina masih gagal menjadi penjaga gol utama sepanyol

Walaupun melakukan debut pada tahun 2005, 13 tahun yang lalu, Reina hanya mengumpul s3banyak 38 penampilan untuk negaranya. Bekas pemain kegemaran Liverpool ini adalah pemain kesebelasan utama di Anfield tetapi sentiasa berada di belakang pemain seperti Iker Casillas dan David De Gea.

Setelah mengharungi beberapa musim terakhir yang sukar di Liverpool, Reina menemui semula rentaknya di Napoli. Pemain yang berumur 35 tahun ini akan menjadi simpanan kepada David De Gea dalam Piala Dunia di Rusia kali ini.

2. Ederson - Brazil

saingan sengit antara ederson dan allison bagus untuk brazil

Salah satu masalah utama yang dihadapi oleh Pep Guardiola pada musim lepas adalah ketiadaan penjaga gol yang berkualiti. Ederson ditandatangani dari Benfica dengan tanda harga yang sangat tinggi, menjadikannya penjaga gol kedua termahal di dalam sejarah. Timbul keraguan mengenainya namun Ederson menjawab segala persoalan tersebut dengan persembahan yang bergaya.

Ketika barisan serangan Manchester City meraih segala penghargaan, kebolehan dan kemahiran Ederson mencipta dan memulakan serangan dari barisan belakang berjaya membuka mata banyak pihak. Mempunyai kemampuan untuk membuat lontaran bola yang jauh dan sepakan gol yang agak 'gila' dan beliau baru sahaja memecahkan rekod dunia Guiness untuk 'drop-kick' paling jauh. Namun disebalik semua kebolehannya ini, beliau masih berada di belakang Allison Becker sebagai penjaga gol utama Brazil. Allison sendiri turut mengharungi musim yang menakjubkan yang membawa kepada khabar angin bahawa beliau akan menjadi penjaga gol paling mahal pernah dibeli setelah perjanjian tersebut selesai selepas Piala Dunia.

1. Marc-Andre ter Stegen

jerman tidak perlu risau jika kehilangan neuer dengan kehadiran ter stegen

Kekuatan barisan simpanan Jerman terbukti dengan kehadiran Marc-Andre ter Stegen di bangku simpanan.

Ter Stegen adalah antara calon penjaga gol terbaik pada musim ini, selepas kempen yang menakjubkan bersama Barcelona dimana beliau berjaya menyelamatkan beberapa situasi kritikal ketika barisan pertahanan mereka mempamerkan permainan longlai. Ketika ini prestasi ter Stegen adalah lebih baik dari Manuel Neuer, terutamanya apabila Neuer tidak bermain hampir keseluruhan musim kerana isu kecederaan yang teruk. Namun Jerman tetap akan memulakan permainan dengan Neuer yang lebih mendapat kepercayaan. Jika kecederaannya berulang di Rusia, ter Stegen sudah pasti akan mengambil alih peranan benteng terakhir Jerman tetapi jika ia tidak berlaku, beliau terpaksa bersabar menonton perlawanan dari bangku simpanan.

Rujukan: sportskeeda


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)