Oleh pada 01 Oct 2022 kategori

Pendedahan berkenaan kelakuan individu berkuasa Hollywood, yang menggunakan kedudukan mereka untuk memuaskan nafsu menjadi fokus media beberapa tahun kebelakangan ini.

Kisah yang diceritakan acuannya sama - individu lelaki yang ada pangkat dan jawatan mengarahkan kaum wanita menyerahkan maruah diri, demi memperkembangkan kerjaya atau kesenangan bersifat sementara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Malangnya, di negara kita pun kes sama berlaku melibatkan ahli politik, pegawai penguatkuasa dan juga selebriti.

Apa yang sukar kita fahami, kenapa ramai mangsa yang terlibat dalam kejadian sebegini memilih untuk mendiamkan diri mereka?

Berikut adalah lima sebab utama kenapa kes-kes sebegini jarang dilapor mangsa, sehingga membenarkan manusia durjana bermaharajalela.

1. Mereka percaya laporan tidak menyumbang kepada apa-apa tindakan

individu edar bauan lucah kepada wanita

Ramai mangsa yang memilih untuk mendiamkan diri, tidak melapor kesalahan berkaitan jenayah atau gangguan seksual, kerana mangsa percaya laporan mereka tidak akan mengakibatkan pemangsa dikenakan sebarang tindakan.

Ini kerana siasatan panjang perlu dijalankan oleh pihak polis terlebih dahulu sebelum jatuh apa-apa boleh berlaku.

Apabila siasatan selesai, kertas siasatan kemudiannya perlu dibawa ke peringkat mahkamah, untuk tertuduh didakwa - yang sukar dijangkakan berapa lama tempohnya.

Lagipun, memang ada kes di mana pendakwaan tidak dapat dilakukan akibat masalah teknikal mengakibatkan usaha mangsa tidak membawa sebarang hasil.

2. Malu

sebab mangsa gangguan seksual enggan lapor 35

Zaman sekarang di mana berita sensasi cepat tersebar, berita berkait jenayah seksual menjadi antara yang paling laju disebarkan.

Walaupun berita ditulis tanpa mendedahkan identiti pemangsa dan mangsanya, ramai di kalangan netizen dengan tekun, sabar dan pantas mengorek latar belakang yang terbabit, sehingga tersebar di media sosial, portal-portal dan juga di aplikasi bualan maya.

Semakin gila masyarakat menyebarkan maklumat sebegini tanpa tapisan, semakin takutlah mangsa melakukan laporan.

Ini kerana malu adalah punca utama kenapa majoriti mangsa jenayah dan gangguan seksual enggan melaporkan kejadian.

Mereka malu apa yang telah berlaku diketahui umum, malu identiti mereka akan terdedah dan malu perjalanan kes mereka akan tular, sehingga jadi topik perbualan hangat di seluruh negara.

Ramai mangsa enggan berdepan detik-detik sebegitu, memilih jalan senyap sebagai langkah paling mudah untuk mengubati luka diri.

3. Mereka takut reputasi mereka dengan pasangan hancur

punca wanita enggan lapor jenayah seksual

Reputasi adalah sesuatu yang sangat dilindungi kita khususnya di kalangan mereka yang sudah berpasangan ataupun sedang merancang untuk mendirikan rumahtangga.

Katakanlah anda pulang ke rumah, pasangan anda hadir dan duduk di sebelah anda menceritakan bagaimana dia pernah cuba dicabul dan dirogol oleh individu lain.

Mungkin juga tunang anda mengaku pada anda dia pernah dirogol sebelum mengenali anda. Apa reaksi anda?

Bagi segelintir individu, mereka mungkin boleh memproses dan menerima apa yang telah berlaku tanpa menjejaskan hubungan yang telah sedia terjalin.

Majoriti daripada kita rasanya akan berhadapan dilema dalam meneruskan hubungan yang ada.

Setiap hari dalam minda bermain imej bagaimana ada orang lain cuba mencabul atau 'telah merasa' secara paksa pasangan kita, yang membawa kepada stres, tekanan dan kemurungan sehingga bertukar kepada masalah lebih besar.

Bagi melindungi pasangan atau individu yang mereka sayangi, ramai wanita khususnya memilih untuk memendamkan saja peristiwa hitam yang berlaku tanpa melaporkannya.

Kerana mereka tahu yang akan terkesan bukan saja mereka, tetapi turut melibatkan pasangan atau bakal pasangan mereka.

4. Mereka risau kerjaya mereka terjejas

wanita diganggu di pejabat

Bayangkan anda berdepan gangguan seksual di pejabat.

Setiap hari ada seorang individu cuba menyentuh anda, mengusap anda walaupun anda menolak. Dia gemar menghantar mesej-mesej kurang enak kononnya mampu membuatkan anda melayannya.

Individu itu adalah majikan atau mungkin ketua anda sendiri. Adakah anda akan melaporkan tindakan itu?

Cuba letak diri anda dalam situasi sedemikian.

Pendapatan anda bergantung dengan kerja di situ. Anda suka kerjaya anda. Tidak ada syarikat lain mampu memberikan pendapatan sama seperti yang anda perolehi di sana.

Ramai mangsa memilih untuk mendiamkan diri khasnya dalam kes gangguan di pejabat, kerana bimbang kerjaya dan periuk nasi mereka terjejas.

Walaupun tidak suka diganggu, mereka pasrah terpaksa melayan saja kelakuan nakal majikan atau ketua kerana rasa bimbang hidup tidak menentu.

Anda mungkin berkata rezeki ada di mana-mana. Tetapi bukan semua mangsa mampu melihat isu ini semudah itu.

Sekiranya mereka lari dan kembali berdepan masalah sama, apa pula tindakan seterusnya? Besar kemungkinan kita akan salahkan mereka pula sebagai punca kejadian sama berulang di lokasi lain pula.

5. Mereka risau tindak balas pemangsa

mangsa ugutan jenayah seksual

Sebagai orang luar, kita melihat tindakan mendiamkan diri mangsa sebagai sesuatu yang salah. Pada kita, mangsa perlu berani bangkit melawan.

Bagi mangsa jenayah seksual, mereka sebenarnya sedang berhadapan kebimbangan setiap hari, takut akan ada tindak balas pemangsa disamping masih perlu menangani trauma yang menghantui.

Seorang pemangsa jenayah seksual boleh mengancam mangsa dengan bermacam kaedah untuk tempoh panjang selepas kejadian:

Mengugut akan mencederakan mangsa, mengedarkan gambar mangsa yang diambil semasa kejadian atau mengugut akan mencederakan ahli keluarga jika perkara itu dilaporkan.

Lebih menakutkan, ada juga mangsa diugut berdiam diri agar kejadian itu tidak didedahkan kepada ahli keluarga atau kenalan - oleh pemangsa sendiri.

Sekiranya kejadian itu pula melibatkan pemangsa yang ada kredibiliti dalam masyarakat, seorang tokoh dengan reputasi tinggi yang ramai pengikut dan ada kabel kuat orang kenamaan, situasinya pasti jadi semakin rumit.

Silap-silap mangsa yang akan kena cemuh, diserang dan dikutuk kerana dituduh berani mencipta fitnah atas tujuan mahu memalukan individu pujaan mereka.


Kepada semua mangsa jenayah seksual yang telah bangkit berani melaporkan sebarang salah laku yang pernah menimpa anda, kami hanya mampu bertepuk tangan menyokong keberanian anda.

Apa yang anda lakukan bukan mudah. Jika jadi pada kami insiden sama pun kami akan berfikir panjang, sebelum berani mendedahkannya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)