Oleh pada 20 Oct 2021 kategori

Dunia pada hari ini dipenuhi dengan kes jenayah yang belum selesai. Kekurangan bukti kukuh menyebabkan ramai penjenayah terlepas daripada hukuman. Namun, pihak berkuasa akan cuba sedaya upaya untuk menyelesaikannya sekiranya mempunyai petunjuk baharu.

Walau bagaimanapun, ada sebilangan kes jenayah yang diselesaikan dengan cara yang tidak diduga sama sekali sama ada oleh pihak berkuasa mahupun penjenayah itu sendiri. Berikut adalah beberapa kes jenayah yang diselesaikan dengan cara yang tidak diduga.

1. Penangkapan pedofilia bernama "Mr. Swirl"

christopher neil pedofilia

Seorang pedofilia yang digelar sebagai Mr. Swirl telah memuat naik lebih daripada 200 gambar tidak senonohnya melakukan perbuatan terkutuk ke atas kanak-kanak lelaki. Lelaki ini hampir mustahil untuk dikesan kerana menggunakan gambar profil yang diubah secara digital.

Namun, seorang saintis komputer Jerman berjaya mengenalpasti wajah Mr. Swirl yang tersebar di internet hanya dengan menggunakan perisian Photoshop. Pihak polis kemudian memuat naik wajah sebenar Mr. Swirl ke dalam internat.

Mr. Swirl atau nama sebenarnya Christopher Neil akhirnya ditahan di Thailand pada tahun 2008. Dia dipenjara selama lima tahun sebelum dihantar pulang ke Canada.

Tidak lama selepas pulang ke negaranya, Neil sekali lagi ditahan kerana memiliki gambar pornografi kanak-kanak di komputer ribanya. Dia dijatuhkan hukuman penjara selama lima setengah tahun.

2. DNA kucing pembunuh

Satu pembunuhan ngeri telah berlaku di pantai Hampshire. Sebahagian tubuh mangsa dipotong dan dibalut menggunakan kain langsir. Hasil siasatan, polis menemui lapan helai bulu kucing pada kain langsir itu.

Mereka kemudian menghantar sampel bulu kucing itu untuk diuji di makmal. Hasil DNA bulu kucing itu menjurus kepada salah seorang suspek bernama David Hilder. Bulu kucing yang terdapat pada mayat itu milik kucing peliharaan Hilder.

Untuk menjadikan bukti itu lebih kukuh, pasukan forensik melakukan ujian DNA kucing itu ke atas 152 kucing lain. Hasilnya menunjukkan hanya tiga ekor sahaja yang hampir serupa tetapi tidak sama. Ini menunjukkan bahawa ujian DNA yang dilakukan ke atas kucing Hilder itu benar-benar tepat.

3. Daun terup selesaikan kes pembunuhan

susan schwarz

Pada tahun 1979, seorang gadis bernama Susan Schwarz ditemui mati dengan tangannya terikat di rumahnya di Lynnwood, Washington. Pihak polis mempunyai seorang suspek bernama Greg D. Johnson iaitu suami kepada rakan baik Susan sendiri. Namun, mereka tidak mempunyai bukti kukuh untuk menahan Greg.

Hampir tiga dekad kemudian, Polis Amerika memperkenalkan daun terup unik kepada para banduan pada tahun 2008. Setiap daun terup mempunyai kisah berbeza mengenai mangsa jenayah yang belum selesai. Salah satu daun terup itu dicetak dengan gambar dan butiran Susan. 

Harapan polis agar ada banduan yang mengenali mangsa-mangsa ini akhirnya tercapai apabila seorang banduan mempunyai maklumat mengenai kes Susan. Hasil maklumat yang diberikan membawa kepada penahanan rakan baik Susan sendiri.

Rakan baik Susan mengaku bahawa dia berada di tempat kejadian ketika suaminya iaitu Greg membunuh Susan. Wanita itu bersetuju untuk memberi keterangan terhadap suaminya sendiri dan Greg dijatuhkan hukuman penjara selama 24 tahun.

4. Tulisan tangan di papan iklan

oba chandler

Pada tahun 1989, bandar Tampa di Florida dikejutkan dengan penemuan tiga mayat terapung di tasik tempatan. Mangsa merupakan seorang ibu dan dua anak gadisnya telah dirogol sebelum dibunuh.

Pihak polis tidak mempunyai sebarang petunjuk melainkan nota yang ditulis pembunuh. Polis menyedari bahawa pembunuh itu mempunyai gaya tulisan yang unik.

Setelah tiga tahun tidak berjaya menemui petunjuk baru, pihak polis mengiklankan tulisan tangan pembunuh itu di papan iklan awam di sekitar bandar Tampa. Dua bulan kemudian, mereka mendapat maklumat baru dan menahan seorang bekas banduan bernama Oba Chandler yang akhirnya mengaku membunuh ketiga-tiga wanita itu.

5. Nyamuk jadi bukti penting

Pihak polis Finland telah menemui sebuah kereta yang ditinggalkan di tepi jalan pada tahun 2007. Setelah diselidik, kenderaan itu telah dilaporkan dicuri. Mereka tidak menemui apa-apa bukti selain beberapa ekor nyamuk yang kekenyangan.

Mereka kemudian menangkap nyamuk-nyamuk itu dan menghantarnya ke makmal untuk dianalisis. Ujian DNA mendapati nyamuk-nyamuk itu menghisap darah milik seorang pesalah yang berada di dalam rekod polis.

Pihak polis akhirnya berjaya menjejaki lelaki itu dan mendapati dia mencuri kereta milik rakannya sendiri. Pada mulanya, lelaki itu menafikannya tetapi pihak polis mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwanya.

6. Mengaku secara tidak sengaja

robert durst

Robert Durst adalah seorang pewaris hartanah yang dituduh melakukan pembunuhan bersiri. Dia dituduh membunuh isterinya, Kathleen McCormack, rakan baiknya, Susan Berman dan seorang jiran. Namun, Robert bebas daripada semua tuduhan kerana polis kekurangan bukti.

Pada tahun 2015, Siaran TV HBO meminta untuk mewawancara Robert Durst dalam dokumentari berjudul "The Jinx : The Life and Deaths of Robert". Tujuan dokumentari itu adalah untuk mengetahui bagaimana Robert melalui kehidupan walaupun dituduh sebagai pembunuh bersiri selama puluhan tahun .

Ketika sedang melakukan rakaman, Robert telah meminta untuk ke tandas. Ketika inilah dia melakukan kesilapan terbesarnya. Dia yang tidak menyedari mikrofon masih lagi terpasang berbicara sendirian di tandas. Antara perkataan yang diucapkannya adalah "Apa yang saya buat? Saya sebenarnya yang bunuh semua."

Robert Durst ditahan kerana kata-katanya itu dan baru sahaja dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada Oktober 2021 ketika berusia 78 tahun.

7. Salasilah genetik selesaikan kes berusia 40 tahun

Seorang lelaki telah melakukan 120 pecah rumah, 50 jenayah rogol dan 13 pembunuhan selama 40 tahun sejak tahun 70-an lagi. Pihak berkuasa menemui kesan air mani suspek pada mangsa sekitar tahun 70-an tetapi gagal untuk mengesan suspek.

Siasatan kes itu dibuka semula pada tahun 2018 apabila pihak polis menggunakan kaedah analisis DNA yang baru. Pihak polis memasukkan DNA pembunuh ke dalam database awam untuk mengenalpasti salasilah keluarganya. 

Melalui DNA pembunuh itu, polis menemui satu keluarga yang mempunyai persamaan. Polis kemudian menyenaraikan semua ahli keluarga yang masih hidup dan menyiasat latar belakang mereka. 

Salah seorang suspek utama ialah bekas anggota polis bernama Joseph DeAngelo. Pihak berkuasa mengambil tisu terpakai daripada tong sampah Joseph untuk diuji. Hasil DNA dari tisu itu adalah sama dengan sampel air mani suspek kes tahun 70-an. Polis akhirnya menahan penjenayah berusia 74 tahun itu.



Hakcipta iluminasi.com (2017)