Sekiranya anda tinggal di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar lain di Malaysia, besar kemungkinan anda pernah melihat deretan basikal kuning yang tersusun di tepi jalan. Basikal-basikal ini boleh disewa dengan sejumlah bayaran dan perkhidmatan ini disedikan oleh syarikat oBike.

Perkhidmatan sewa basikal ini bukanlah sesuatu yang baru malah telah memasuki negara lain lebih awal seperti China, Amerika Syarikat dan Australia. Malah, kebiasaannya terdapat lebih daripada 1 syarikat yang menyediakan perkhidmatan ini di satu-satu tempat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

servis sewa basikal

Malangnya, kewujudan basikal yang terlalu banyak ini telah mewujudkan isu lain iaitu lambakan basikal di tepi-tepi jalan dan kawasan-kawasan yang tidak sepatutnya seperti dalam longkang, tepi sungai dan sebagainya. Hal ini tentulah merosakkan pemandangan mata sehingga pihak berkuasa terpaksa mengutip basikal-basikal ini dan menghantarnya ke tempat pelupusan atau pengumpulan basikal.

Kerosakan basikal-basikal akibat aktiviti vandalisma ini telah membangkit dua persoalan daripada orang ramai iaitu:

  1. "Adakah syarikat penyedia perkhidmatan ini membuat keuntungan?" 
  2. "Bagaimanakah syarikat-syarikat ini membuat keuntungan?"

Harga untuk satu unit basikal ini juga bukanlah murah. Dengan harga sewa basikal yang murah yang dikenakan mengikut tempoh masa penggunaan, bolehkah syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan ini menjana keuntungan? Mengikut laporan, dua penyedia perkhidmatan ini di China iaitu Ofo dan Mobike masih belum membuat keuntungan daripada perkhidmatan sewa basikal ini.

Berkenaan oBike di Malaysia dan syarikat-syarikat lain seperti LimeBike (Seattle), ReddyGo (Australia) dan lain-lain, tiada statistik yang dapat dikongsi kerana tiada laporan mengenainya. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa teori dan pendapat bagaimana syarikat-syarikat ini menjana keuntungan daripada perkhidmatan yang disediakan ini.

1. Data pengguna

aplikasi telefon pintar

Pembayaran untuk menggunakan basikal ini biasanya melalui aplikasi di telefon pintar. Di China, aplikasi WeChat biasanya digunakan sementara di Australia, penyedia perkhidmatan sewa basikal ini mempunyai aplikasi khas telefon pintar yang perlu dimuat turun oleh pengguna.

Pendaftaran pengguna melalui aplikasi ini membolehkan syarikat ini memperolehi data-data penting pengguna seperti lokasi, umur, pekerjaan dan lain-lain. Sekiranya anda tidak tahu, data-data ini sebenarnya berguna bagi syarikat-syarikat pengiklanan yang ingin membuat pengiklanan kepada golongan sasaran tertentu.

Dengan data pengguna yang ada, syarikat penyedia perkhidmatan sewa basikal ini boleh menyediakan ruang pengiklanan ataupun menjual/berkongsi data-data pengguna ini dengan syarikat pengiklanan. Walau bagaimanapun, perkongsian data ini perlulah mengikut cara dan perjanjian yang betul seperti yang telah dipersetujui oleh pengguna itu sendiri.

2. Tajaan atau pelaburan

ofobike

Syarikat-syarikat seperti Ofo dan Mobike ini boleh dikategorikan sebagai sebuah startup. Dalam erti kata lain, mereka juga memperoleh sumbangan atau pelaburan daripada syarikat-syarikat besar lain yang ingin membuat pelaburan dalam perkhidmatan mereka.

Sebagai contoh, Ofo dilaporkan telah mendapat pelaburan $1.2 juta daripada syarikat gergasi e-dagang Alibaba dan Coatue, syarikat pelaburan yang membuat pelaburan dalam sektor teknologi dan telekomunikasi. Sementara itu, Mobike pula mendapat suntikan $900,000 daripada Foxconn Technology dari Taiwan dan Tencent, sebuah lagi syarikat teknologi besar dari China.

Walaupun suntikan kewangan ini bukanlah keuntungan secara langsung, tetapi sekurang-kurangnya ia membantu sedikit sebanyak dari segi kewangan terutamanya pada fasa-fasa awal penubuhan syarikat yang memerlukan kewangan untuk tujuan logistik, pembangunan aplikasi dan sumber manusia.

3. Pengiklanan

citibike

Bagi perkhidmatan sewa seperti ini, syarikat-syarikat ini sememangnya tidak dapat lari daripada tawaran pengiklanan. Data-data pengguna yang diperoleh melalui proses pendaftaran akaun pada aplikasi mereka boleh digunakan sebagai data penting untuk ditunjukkan kepada prospek.

Antara contoh terbaik syarikat yang menjana pendapatan melalui tawaran pengiklanan adalah syarikat Citibike yang menyediakan perkhidmatan sewa basikal ini bagi penduduk di bandar New York. Perkataan "Citi" itu sebenarnya merujuk kepada Citibank dan pihak Citibank dilaporkan telah membayar $41 juta kepada syarikat ini untuk menaja kos operasi syarikat ini selama enam tahun.

4. Jual kembali pada harga lebih tinggi

rocket internet 988

Ingat lagi syarikat Rocket Internet yang pernah kami tulis satu ketika dahulu? Rocket Internet merupakan sebuah syarikat yang menggunakan teknik genius bagi memperoleh keuntungan. Secara ringkasnya, mereka akan membuat kajian pemasaran dan mengklon cara perniagaan syarikat-syarikat besar menjalankan perniagaan.

Sebagai contoh, Lazada. Syarikat Rocket Internet tahu bahawa Amazon dan Alibaba belum lagi dapat meluaskan pengaruh mereka di Malaysia. Menyedari akan peluang yang ada, mereka menubuhkan Lazada pada tahun 2011 dan membangunkannya sehingga berjaya. Apabila berpeluang, mereka menjual sebahagian besar saham kepada pelabur (dalam hal ini, Alibaba).

Strategi mereka mudah, bina syarikat baru dan jual kepada pelabur dengan harga yang tinggi. Walaupun sekadar teori, terdapat beberapa pihak yang berpendapat bahawa strategi sama bakal digunakan oleh oBike dan syarikat-syarikat lain yang menyediakan perkhidmatan sewa basikal ini. Apabila tiba masa yang sesuai, pemilik syarikat ini akan menjual perniagaan mereka kepada pelabur baru.

5. Keuntungan jangka masa panjang

perkhidmatan sewa basikal

Kewujudan perkhidmatan sewa basikal ini boleh dikatakan masih baru dan belum cukup matang. Ketiadaan data mengenai jumlah pengguna yang menggunakan servis ini menyebabkan kebanyakan syarikat meletakkan terlalu banyak basikal di satu-satu tempat sehingga menyebabkan lambakan.

Walau bagaimanapun, dalam jangka masa panjang apabila pengguna lebih matang dan menghargai perkhidmatan sewa basikal seperti ini, syarikat-syarikat ini mungkin boleh mengurangkan kerugian yang disebabkan oleh kos selenggaraan, seterusnya membuat lebih banyak keuntungan. Daripada statistik jumlah penggunaan di satu-satu tempat juga, syarikat-syarikat ini akan lebih realistik untuk meletakkan sejumlah tertentu basikal di satu-satu tempat.

6. Perkhidmatan basikal itu sendiri

limebike

Ramai orang beranggapan bahawa pihak syarikat mungkin tidak mampu membuat keuntungan kerana harga yang dikenakan terlalu murah dan kos selenggaraan tinggi kerana basikal yang dirosakkan. Dakwaan ini memang ada kebenarannya.

Walau bagaimanapun, Pengarah Pembangunan Strategik syarikat LimeBike, Sam Dreiman berkata pendapatan dan keuntungan utama syarikat itu adalah daripada penggunaan basikal itu sendiri. Dengan mengenakan harga yang murah dan berpatutan, maka lebih ramai orang akan menggunakan perkhidmatan mereka.

Dalam erti kata lain, terdapat pengguna yang sanggup menggunakan perkhidmatan mereka hampir setiap hari berbanding memiliki basikal persendirian yang mempunyai risiko tinggi untuk dicuri.

Kredit:

  1. The Atlantic
  2. Quora
  3. The Star



Hakcipta iluminasi.com (2017)