Seperti yang umum sedia maklum, aktiviti berbasikal dalam kalangan rakyat Malaysia kini kelihatan semakin popular. Dari kanak-kanak hinggalah ke warga emas, ia dijadikan aktiviti senaman yang sangat menyihatkan.

Walau pun begitu, kita juga tahu aktiviti ini menjadi agak kontroversi disebabkan oleh sikap sesetengah penunggang basikal yang tidak mengendahkan peraturan jalan raya, sekaligus mencetuskan bahaya kepada mereka dan juga pengguna jalan raya yang lain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Menurut statistik setakat, sebanyak 137 kes kemalangan jalan raya melibatkan penunggang basikal dilaporkan pada tahun 2020. Daripada jumlah itu, 56 nyawa terkorban, 18 mengalami kecederaan serius dan 63 yang lain mengalami kecederaan ringan.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menasihati para penunggang basikal agar mematuhi segala peraturan dan undang-undang jalan raya, walaupun aktiviti berbasikal di atas jalan raya dibenarkan.

JSPT menegaskan bahawa aliran lalu lintas boleh terganggu oleh aktiviti berbasikal memandangkan jalan raya digunakan oleh pengguna jalan raya yang lain. Ini memberikan risiko kemalangan kerana penunggang basikal mudah terdedah kepada bahaya.

Melakukan aktiviti berbasikal pada waktu dan tempat yang sesuai adalah sangat penting bagi mengurangkan risiko kemalangan. Malah, penggunaan basikal dan peralatan yang mempunyai ciri keselamatan adalah sangat penting, termasuklah lampu keselamatan dan brek yang selamat. 

iluminasi.com kongsikan 6 denda dan hukuman terhadap penunggang basikal yang melanggar undang-undang, menurut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959.

penunggang basikal ditahan polis

1. Gagal mematuhi tanda lalu lintas yang melarang penunggang basikal di lebuh raya - Denda hingga RM300 dan tidak lebih daripada RM2,000.

2. Basikal yang tidak mempunyai lampu hadapan dan belakang - Denda hingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan

3. Basikal tidak mempunyai brek atau loceng - Denda hingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan

4. Kegagalan berbasikal dalam barisan - Denda hingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan

5. Menunggang secara melulu dan berbahaya - Denda hingga RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000, dan penjara sehingga 12 bulan.

6. Seorang pegawai polis, pegawai pengangkutan atau polis trafik boleh menahan basikal, basikal elektrik atau basikal roda tiga yang berkenaan dengan kesalahan yang dilakukan menurut pandangannya.

Jadi, kami menyeru anda semua yang meminati aktiviti ini agar mematuhi segala yang telah ditetapkan bagi memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku. Jangan berbasikal sesuka hati sehingga membahayakan orang lain, seperti dalam artikel 5 Perangai Annoying Segelintir Geng Basikal.

Rujukan:

1. World of Buzz

2. Akta Pengangkutan Jalan 1987

3. Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959

3. The Star




Hakcipta iluminasi.com (2017)