kelas pengajian di universiti

Pendidikan bukanlah satu kehendak tetapi satu keperluan kepada setiap manusia. Walau bagaimanapun, di kebanyakan negara kos pendidikan yang tinggi menjerumus setiap pelajar untuk berhutang bagi membayar yuran pendidikan terutamanya bagi yang melanjutkan pendidikan pengajian di menara gading. 

Bagi pelajar di Denmark pula, mereka lebih bernasib baik kerana pendidikan diberikan secara percuma sehinggalah ke peringkat universiti. Dengan sistem pendidikan percuma yang diberikan oleh kerajaan ini, adalah para pelajarnya lebih berjaya dan tidak wujud sebarang masalah lain?

Salah.

Kewujudan golongan 'evighedsstuderende'

pendidikan percuma

Di Denmark, terdapat satu perkataan - 'evighedsstuderende', yang merujuk kepada golongan pelajar yang sengaja melambat-lambatkan untuk menamatkan pengajian dan sering bertukar-tukar kursus pengajian setiap tahun.

Biasiswa penuh dan elaun yang diberikan oleh kerajaan kepada para pelajar membolehkan para pelajar hidup bebas daripada bebanan hutang. Walau bagaimanapun, biasiswa dan elaun sara diri yang diberi oleh kerajaan ini sebenarnya melahirkan para pelajar yang tidak bersungguh-sungguh untuk segera menamatkan pelajaran.

Sebahagian pelajar atau golongan 'evighedsstuderende' ini merasakan mereka tidak perlu risau untuk menamatkan pelajaran secepat yang mungkin sebaliknya lebih gemar menghabiskan lebih banyak masa di universiti memandangkan kerajaan akan memberikan elaun sara diri kepada mereka. Oleh itu, sudah menjadi kebiasaan bagi sesetengah pelajar untuk menghabiskan pengajian selama 5 hingga 6 tahun bagi program pengajian yang biasanya hanya mengambil masa 4 tahun.

Pindaan Undang-Undang

Sejak sekian lamanya, kerajaan Denmark memberikan elaun sara diri sebanyak $1000 kepada setiap pelajar. Elaun ini menyebabkan sebahagian pelajar tidak terdorong dan termotivasi untuk menamatkan pengajian segera dan mula bekerja mencari duit. Tiada tekanan untuk menghabiskan pengajian secepat yang mungkin kerana sepanjang mereka di universiti, kerajaan tetap akan memberikan elaun bulanan kepada mereka.

Pada 2015, kerajaan Denmark telah mencadangkan dan meluluskan pindaan undang-undang dengan memperkenalkan polisi baru yang diberi nama Study Progress Reform yang memberi kuasa kepada pihak universiti untuk memaksa para pelajar menghabiskan pengajian sesegera yang mungkin.

sistem pendidikan percuma denmark mengalami kerosakkan

Pindaan undang-undang ini semestinya mendapat tentangan keras dan protes daripada sebahagian besar pelajar. Golongan ini berpendapat pindaan ini akan menarik kebebasan yang dinikmati sebelum ini. Walau bagaimanapun, terdapat ramai juga yang bersetuju dengan alasan pemberian elaun oleh kerajaan ini sebenarnya merugikan duit kutipan cukai daripada rakyat yang sebenarnya boleh digunakan untuk tujuan lain.

Dengan memaksa para pelajar untuk menghabiskan pengajian mereka dalam kadar segera, kerajaan sebenarnya akan mendapat lebih banyak keuntungan memandangkan golongan pelajar ini boleh bekerja dalam tempoh yang lebih lama setelah tamat pengajian, seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara.

Golongan 'evighedsstuderende' makin berkurang

Pindaan undang-undang tersebut didapati sedikit sebanyak mengurangkan golongan 'evighedsstuderende' ini. Selain itu, pindaan undang-undang ini juga mengurangkan kewujudan golongan 'fjumreår', iaitu golongan pelajar yang hanya mengambil subjek yang sedikit dalam satu-satu semester dan menghabiskan kebanyakan masa melancong ke luar negara.

Adakah pendidikan percuma sesuatu yang tidak bagus?

Setelah membaca artikel ini, besar kemungkinan sesetengah pembaca iluminasi akan berpendapat bahawa pendidikan percuma merupakan satu idea yang tidak bagus. Kami percaya bahawa pendidikan adalah hak setiap rakyat Malaysia. Sistem pendidikan percuma itu sendiri tidak mempunyai masalah sebaliknya cara pelaksanaan yang betul dan peraturan yang ketat perlulah diguna pakai bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan.

Kredit:

  1. The Atlantic
  2. Business Insider

tags : , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)