emas paling pure asli

Bercakap tentang emas, istilah yang biasa kita dengar lebih kepada angka-angka tentang ketulenan emas, dengan emas 999 dianggap sebagai emas paling tulen di kalangan semua jenis emas.

Walaupun begitu, tidak ramai yang mengetahui tentang sebongkah emas berbentuk unik yang didakwa sebagai emas paling tulen dalam dunia. Apa yang menjadikannya unik adalah bentuknya yang seperti wayar atau tali, berlaku secara semulajadi. Selain itu, keseluruhan jalinan wayar emas tadi membentuk satu bongkah yang sangat istimewa.

Kerana itulah bongkah emas itu dinamakan 'Ram's Horn' kerana bentuknya menyerupai tanduk kambing. Selama lebih 130 tahun tersimpan, akhirnya rahsia emas itu bakal diketahui tidak lama lagi.

Kisah penemuan 'Ram's Horn'

pemilik asal rams horn

Penemuan 'Ram's Horn' yang unik berlaku pada tahun 1887, di sebuah lombong bernama Lombong Groundhog yang terletak di Colorado, Amerika Syarikat, semasa era kemuncak perlombongan emas di Colorado. Mempunyai ketinggian 12 cm dengan berat sekitar 263 gram, Ram's Horn dianggap sebagai penemuan emas paling tulen setakat ini berikutan bentuknya.

Walaupun begitu, berikutan keunikannya yang hanya ada satu dalam dunia - penyelidik tidak berani melakukan sebarang kajian terhadap logam berharga itu.

Minat untuk mengetahui bagaimana bongkah emas itu boleh terbentuk sedemikian rupa terpaksa dipendamkan penyelidik, kerana ketiadaan teknologi yang membolehkan mereka mengkaji emas itu tanpda merosakkannya.

Atas sebab itu, pihak yang bertanggungjawab menemuinya mengambil keputusan untuk menyerahkan emas itu kepada Muzium Mineral dan Geologi Universiti Harvard untuk menyimpannya, selepas dibeli oleh seorang alumni Harvard bernama Albert C. Burrage.

Semasa ditemui dan ditimbang beratnya - harganya dianggarkan $160 pada waktu tersebut. Nilai tersebut seandainya dihitung semula dengan kadar inflasi lebih kepada $4500 atau sekitar RM18,800.

Bagaimanapun, nilai emas yang memuncak sekarang menyebabkan harganya sudah tentu melonjak lebih tinggi. Berapakah harganya ketika ini? Terpaksa dirahsiakan atas sebab faktor keselamatan.

Teknologi baru memungkinkan penyelidikan

lansce pandangan atas

Pada bulan Februari tahun 2018, pihak Universiti Harvard membuka cadangan kepada wakil penyelidik daripada Miami University of Ohio, untuk cuba mencari jalan mengkaji emas tersebut dengan teknologi sedia ada.

Tawaran serta cabaran itu disambut dengan tangan terbuka oleh kumpulan penyelidik di universiti tersebut. Bagi mendapatkan bantuan kepakaran yang memungkinkan kajian tanpa mencacatkan logam berharga itu, Miami University of Ohio meminta bantuan daripada Makmal Nasional Los Alamos yang terletak di New Mexico.

Sejarah Makmal Nasional Los Alamos yang panjang dengan penglibatan mereka dalam banyak projek rahsia kerajaan Amerika Syarikat, membolehkan mereka menyediakan teknologi yang diperlukan - dengan kepakaran mereka dalam bidang kajian neutron dan nuklear bakal dicabar.

Apa yang membuatkan penyelidikan itu sukar adalah kerana setakat ini, belum ditemui mana-mana objek daripada emas mempunyai bentuk yang sama. Emas berbentuk wayar itu merupakan satu kertas kosong yang baru pada semua penyelidik.

Pemecut neutron LANSCE diperlukan

pemecut partikel

Bagi membolehkan kajian terhadap emas itu dilakukan tanpa mengubahnya, satu-satu teknologi yang memungkinkannya adalah dengan menggunakan pemecut partikel atau 'particle accelerator.'

Oleh sebab itulah kemahiran Los Alamos ditagih, kerana mereka mempunyai kepakaran mengendalikan sebuah pemecut partikel berpuluh tahun lamanya. Sebuah pemecut partikel yang dinamakan LANSCE atau Los Alamos National Service Centre Accelerator digunakan bagi melihat bahagian dalaman emas itu.

Dibina lebih 30 tahun lalu bagi kegunaan ketenteraan dan persenjataan, LANSCE yang mempunyai saiz lebih 800 meter keseluruhannya menembak proton dan neutron, mendapati wujud campuran emas dan aloi perak di dalamnya pada kadar 70% emas dan 30% perak.

Penemuan yang lebih unik mendapati logam emas itu dibuat hanya dengan gabungan beberapa bongkah partikel emas dan perak berbentuk kristal, berbeza dengan emas dan perak lain yang mempunyai gabungan partikel emas dan perak lebih halus.

Apa implikasi penemuan ini?

emas paling pure dan berharga

Dengan membandingkan teknologi melahirkan perak tiruan atau sintetik berbentuk wayar yang pernah dijalankan sebelum itu oleh penyelidik, mereka melakukan perbandingan dalam kadar kepadatan partikel di antara emas berbentuk wayar Ram's Horn dan logam perak berbentuk wayar yang dibiakkan.

Perbandingan yang dijalankan mendapati logam perak berbentuk wayar mempunyai kadar kepadatan partikel berbentuk kristal yang lebih tinggi dan lebih kecil saiznya, menandakan berlakunya proses pembentukan dalam tempoh yang lebih cepat.

Partikel di dalam Ram's Horn pula lebih besar kristalnya, disebabkan oleh proses pembentukan yang lebih panjang serta kondisi emas sendiri yang tidak mudah bertindak balas dengan ejen asing.

Hasil kajian yang dijalankan bakal membantu penyelidik khasnya mereka dalam bidang geofizik, untuk memahami bagaimana emas boleh terbentuk. Penyelidik dalam kajian bahan serta kejuruteraan pula dapat lebih memahami sifat logam emas berbentuk wayar ini, serta kesesuaian penggunaan logam serupa dalam teknologi sedia ada.

Buat masa sekarang, laporan penuh penyelidikan yang telah berjaya dijalankan belum lagi diterbitkan sepenuhnya. Sambil menunggu, apa kata anda fahamkan kenapa daerah Kuala Pilah di Negeri Sembilan menjadi syurga bagi peminat barangan perhiasan yang diperbuat daripada emas.

Rujukan

Miami University

Los Alamos National Laboratory



Hakcipta iluminasi.com (2017)