Nikmat merasa sihat merupakan sesuatu yang seringkali kita pandang rendah, kerana kita selalu disibukkan dengan tugasan harian mencari rezeki.

Hanya mereka yang sakit khasnya yang berpenyakit kritikal tahu nikmat masih mampu menjalankan rutin seharian dengan baik, tanpa dibelenggu tahap kesihatan yang menurun sehinggakan ada yang sanggup melaburkan keseluruhan dana yang mereka ada untuk kembali pulih seperti biasa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun begitu ada juga ubat-ubatan yang kosnya terlalu tinggi, sehinggakan kita berhabis bergolok bergadai sekalipun tak tentu mampu kita mendapatkannya. Berikut merupakan 5 ubat paling mahal dalam dunia.

5. Takhzyro (RM67,700 satu dos)

takhzyro dos suntikan

Dibangunkan oleh syarikat perubatan dari Jepun bernama Takeda Pharmaceutical Co.Ltd, Takhzyro digunakan bagi merawat sejenis penyakit genetik yang dinamakan sebagai 'hereditary angioderma' yang mengakibatkan bengkak-bengkak pada bahagian badan seseorang; khasnya di bahagian tangan dan kaki, wajah, saluran perkumuhan serta tekak.

Seorang yang mempunyai masalah penyakit ini mempunyai masalah ketiadaan sistem semulajadi badan yang mengawal penyusutan atau perkembangan tisu yang membengkak, sehinggakan bengkak boleh berlaku bila-bila masa saja tanpa ada petanda.

Sekiranya bengkak wujud pada saluran perkumuhan, dia akan mula mengalami masalah cirit birit dan muntah-muntah. Jika bahagian tekak membengkak, pesakit akan mula mengalami masalah pernafasan dan boleh maut seandainya bengkak itu menutupi saluran udara.

Harga untuk satu dos Takhzyro adalah RM67,700 dengan kekerapan dua minggu sekali atau RM135,400 sebulan diambil secara suntikan, yang akan membantu tubuh pesakit mengawal tindak balas tubuh dengan berkesan.

Jumlah dos boleh dikurangkan kepada sekali dalam sebulan sekiranya pesakit tidak lagi mengalami serangan, namun persoalannya - sampai bila mereka perlu mengambil ubat bagi mengawal penyakit ini?

4. Brineura (RM110,000 satu karton)

brineura ubat mahal

Jangan ingat harga RM110,000 untuk satu karton ubat yang dinamakan Brineura ini murah berbanding ubat lain dalam senarai ini.

Walaupun satu karton itu kelihatan banyak, seorang pesakit yang perlu menggunakan ubat ini disebabkan oleh penyakit CLN2 atau 'infantile neuronal ceroid lipofuscinosis type 2' yang mereka hadapi - akan menggunakan kesemuanya dalam satu minggu.

CLN2 biasanya menyerang kanak-kanak berusia di antara 2 ke 4 tahun yang mempunyai kecacatan genetik, sehingga menganggu sel-sel dalam otak mereka disebabkan oleh ketiadaan sejenis enzim bernama TPP1. Ketiadaan enzim ini menyebabkan perkembangan pembentukan otak dan mata seseorang kanak-kanak mengalami kecacatan.

Mereka yang mengalami CLN2 majoritinya hidup setakat usia remaja.

Brineura diambil bagi memperlahankan aktiviti otak mereka agar kegagalan fungsi otak akibat ketiadaan enzim tersebut dapat diminimakan, seterusnya membolehkan pesakit terus bertahan.

Baru dilancarkan pada tahun 2017, setakat ini Brineura didapati berkesan melambatkan sindrom tersebut serta membantu perkembangkan kebolehan motor pesakit yang telah dirawat namun kosnya seperti yang sudah anda maklum - cukup tinggi.

Penggunaan setahun memerlukan ibu bapa pesakit mengeluarkan belanja melebihi RM2.815 juta (PDF) dan kesemua pesakit yang berjaya dirawat, telah dirawat tanpa henti selama 3 tahun. Rawatan mereka masih berjalan.

3. Soliris (RM245,500 satu dos)

soliris ubat termahal

Dijual di bawah jenama Soliris, ubat yang dikeluarkan oleh syarikat Alexion ini diambil mengikut pelan tertentu bergantung kepada tahap pesakit, dengan setiap dos berkapasiti 30ml.

Sebagai contoh seorang pesakit dewasa perlu mengambil 2 dos Soliris setiap minggu selama 4 minggu, 3 dos pada minggu kelima dan 3 dos lagi untuk 2 minggu berikutnya sehinggalah sembuh pada harga RM245,500 satu dos.

Secara puratanya, seorang pesakit akan memerlukan 10 dos menjadikan jumlah keseluruhan yang diperlukan adalah sekitar RM2.45 juta bagi rawatan setahun.

Soliris digunakan bagi merawat sejenis penyakit pada darah seseorang yang jarang berlaku, dinamakan sebagai sindrom hemolitik uremik, yang mengakibatkan seseorang mempunyai sel darah merah yang rendah.

Pesakit sindrom ini berdepan masalah cirit birit, muntah-muntah serta mula susut berat badan yang akhirnya akan membawa kepada masalah buah pinggang dan kegagalan jantung.

2. Glybera (RM6.8 juta satu dos)

glybera ubat mahal tak laku

Dibangunkan oleh sebuah syarikat berpengkalan di Belanda bernama uniQure, Glybera merupakan ubat yang digunakan bagi membantu pesakit yang mengalami penyakit LPLD atau 'lipoprotein lipase deficiency', sejenis kecacatan genetik yang mengakibatkan tubuh tidak mampu mengawal penghasilan lemak yang dinamakan sebagai triglycerides.

Apabila lemak tersebut terhasil tanpa kawalan, lapisan lemak akan mula menyelaputi bahagian perut dan kulit yang akhirnya akan menyebabkan masalah pada hati dan pankreas seseorang. Seseorang yang mengalami masalah ini tidak boleh mengambil makanan yang mengandungi lemak melebihi sukatan yang dibenarkan sama sekali.

Hanya terjadi pada 1 daripada 1 juta orang individu, Glybera dijual pada harga RM6.8 juta semasa dilancarkan pada tahun 2012 namun keberkesanannya diragui. Tidak mendapat pengiktirafan badan perubatan Amerika Syarikat mengakibatkan pasaran Glybera agak terhad.

Dalam tempoh 5 tahun, dilaporkan hanya satu dos Glybera terjual disebabkan oleh kurangnya pesakit yang memerlukan ubat tersebut dan penjualannya ditamatkan pada tahun 2017.

1. Zolgensma (RM8.5 juta satu dos)

zolgensma ubat paling mahal dunia

Berapakah harga yang sanggup anda bayar untuk menyelamatkan nyawa anak anda? Agaknya itulah yang bermain difikiran syarikat pengeluar ubat Novartis, selepas mereka mula memasarkan dos terapi genetik yang dinamakan sebagai Zolgensma bagi kegunaan pesakit.

Zolgensma merupakan dos terapi yang mampu membantu pesakit, khasnya golongan bayi dan kanak-kanak yang mengalami masalah atrofi tulang belakang yang berlaku disebabkan kecacatan genetik seseorang - mengakibatkan pesakit ketiadaan kawalan ke atas otot mereka.

Diberikan hanya sekali dalam satu dos, Zolgensma setakatdiperkenalkansejak 2019 dilaporkan berjaya membantu ramai bayi untuk pulih, nyata menggembirakan ibu bapa mereka.

Novartis memberikan kelonggaran kepada keluarga yang perlu mendapatkan dos terapi ini dengan bayaran ansuran lima kali sebanyak RM1.7 juta setahun untuk tempoh lima tahun.

Pernjanjian jual beli pula boleh dibuat melalui pembiayaan peribadi mahupun perjanjian antara Novartis, syarikat insurans dan peserta insurans, bagi memastikan semua pihak yang mahu dan mampu mendapatkannya - mendapat rawatan terbaik yang ada.

Menakutkan bukan? Harus diingatkan - ini senarai untuk harga di pasaran antarabangsa. Bagaimana pula dengan kos ubat di negara kita?




Hakcipta iluminasi.com (2017)